Pandu Uji: Mazda CX9 SkyActiv-G 2.5L Turbo 2WD - tudung dUCk untuk lelaki. (Dengan Video)

oleh HEZERI SAMSURI|
Jenama Mazda memang unik.

Ia bukanlah sebuah syarikat yang besar, tetapi ia masih mampu menghasilkan produk-produk ikonik yang diterima secara global.

Pengendalian Mazda juga sangat berbisa. 

Sepuluh tahun dahulu, penulis pernah menulis bahawa Mazda adalah sebenar-benarnya "Asia's answer to BMW" kerana pemanduan yang mengujakan sesiapa sahaja.

Walaupun begitu, ada produknya yang masih tidak begitu diterima ramai kerana ditenggelami oleh keluaran jenama premium Eropah.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
mazda cx9

 

CX9 adalah contoh yang terbaik kerana harga yang diminta membuatkan anda berfikir berkali-kali.

  • Mazda CX9 SkyActiv-G 2.5L Turbo 2WD: RM290,610.40
  • Mazda CX9 SkyActiv-G 2.5L Turbo 4WD: RM307,610.40

Ya, harga-harga itu memungkinkan anda membeli produk Eropah yang walaupun lebih kecil, nilai prestij dari jenama premium mereka jauh lebih tinggi dan ini penting di mata khalayak ramai.

Untuk mereka yang matang dan sudah tahu prestij itu hanya mainan sementara, CX9 menawarkan sebuah pakej yang lebih lengkap.

 

mazda cx9 2

 

Dari segi rekabentuk, ciri-ciri asas Kodo yang ada pada CX5 diteruskan di sini. Ia tajam, garang dan cukup kuat untuk membuat orang ramai terteleng-teleng.

Seperti Ezurin Khyra sedang berjalan di Jalan Chow Kit, begitulah efeknya.

Penulis merasakan CX9 nampak lebih seimbang dan lebih cantik, berbanding dengan CX5 yang mempunyai mata sepet dan terlalu kecil.

Cuma lampu kabus CX9 ini dirasakan terlalu kecil. Walaupun sinaran dari lampu LED itu cukup terang, tetapi bila ditutup, kita langsung tidak tahu bahawa wujudnya sepasang lampu kabus pada bahagian bawah bamper hadapan dengan gril sebesar serombong kapal itu.

 

 

Lompat ke dalam, ruang kabin CX9 adalah yang terbaik buat masa sekarang ini di dalam keluarga Mazda.

Bentuk papan pemuka dan paparan meter masih kekal Mazda - agresif, sporti tetapi mudah dibaca. Tiga "corong" meter, tradisi Mazda dikekalkan pada CX9 ini walaupun ia adalah sebuah kenderaan keluarga.

Skrin sesentuh 8-inci tercatuk kemas di tengah papan pemuka, seolah-olah ia boleh ditanggalkan dan dijadikan tablet. Cara penggunaan sistem infotainment MZD Connect pada skrin itu juga mudah untuk difahamkan.

Kawasan tuil gear juga nampak kemas dan teratur, dengan permainan warna hitam dan kemasan krom yang benar-benar nampak mahal. Tombol ala i-Drive kemas diletakkan di situ, tidak kekok untuk dicapai oleh tangan kiri pemandu.

 

 

Pasti anda perasan di dalam kebanyakan kenderaan tujuh tempat duduk, barisan hadapan sekali ialah umpama Bukit Bandaraya, terasa benar premiumnya. 

Barisan kedua pula ialah seperti Taman Tun Dr Ismail, masih mahal tetapi tetap wujud sedikit-sedikit gerai pisang goreng dan burger di pesisir jalannya.

Barisan ketiga pula bagaikan kawasan Perumahan Rakyat ketika musim pilihanraya - sangat asas tetapi dihias cantik.

 

mazda cx9 third row

 

Tidak untuk Mazda. Hmmm...

Okay, tidak begitu teruk untuk Mazda.Barisan ketiga masih mewah seperti barisan tempat duduk yang lain. Cara kemasan kulit digunakan memang sedap mata memandang, lebih enak punggung diletak cuma bila digunakan, kita akan mengeluh juga kerana ia tidak ada corong udara di situ.
 

 

 

Satu lagi yang membuktikan Mazda ini berbeza dari geng Jepang yang lain ialah ketulenan yang digunakan ketika cuba membangkitkan atmosfera mewah di dalam kabin CX9 ini.

Mazda tidak perlu menggunakan banyak tona warna untuk nampak premium, tetapi lebih mengutamakan jenis bahan yang digunakan bagi menaikan ciri-ciri kemewahan.

Kabin CX9 ini bukannya seperti kain tudung "lycra" yang dihiasi labuci dan permata "zircon", diberi nama "Prada" dan kemudian dijual oleh selebriti bertudung dengan baju ketat dada membusung untuk menjadikan ia "mahal". 

Kabin CX9 ini ialah umpama tudung dUCk yang direka secara profesional, kemudian dijual di butik yang terletak di KLCC dan paling penting, ia tidak pernah malu dengan asal-usulnya.

Itu yang menjadikan ia, mahal. "It's mahal done right".

 

 

Di bawah hud, hanya ada satu pilihan enjin untuk Malaysia.

Enjin petrol SkyActiv-G dengan sesaran 2,488 cc itu menghasilkan tenaga yang tinggi - 228 hp dan kadar daya kilas umpama sebuah jentera diesel - 420 Nm dari kelajuan enjin serendah 2,000 RPM.

Transmisi SkyActiv Drive 6-kelajuan automatik menyalurkan tenaga ke roda, dan untuk 2WD dan 4WD, kedua-duanya mempunyai halaju maksimum yang sama - 210 kmsj.

 

Mazda CX9 engine bay

 

Penggunaan bahan api bagaimanapun, berbeza.

  • Mazda CX9 SkyActiv-G 2.5L Turbo 2WD: 9.1L untuk 100 km
  • Mazda CX9 SkyActiv-G 2.5L Turbo 4WD: 9.4L untuk 100 km

Ujian ekonomi yang menurut piawaian UN Regulation 101 membuktikan tidak ada begitu banyak beza antara dua jenis pacuan tersebut.

Tangki bahan api juga mempunyai perbezaan, varian 2WD menggunakan tangki sebesar 72 liter sementara varian 4WD mempunyai tangki 74 liter.

 

 

Dari aspek keselamatan, Mazda CX9 ini mempunyai barisan aksesori dan kelengkapan yang boleh tahan panjang.

  • Lampu hadapan LED dengan teknologi adaptif ALH - memang berkesan.
  • Blind Spot Monitoring - semua kenderaan wajib ada ini!
  • Rear Cross Traffic Alert - tidak penting, sehingga ada kapchai yang tiba-tiba muncul ketika kita mengundur
  • Lane Departure Warning System - jika ia berbunyi, baik berhenti dan tidur.
  • Lane Keep Assist System - sebenarnya, penulis benci fungsi ini.
  • Driver Attention Alert - memang berkesan!
  • Smart City Brake Support 
  • 6 beg udara - tidak sempat diuji.
  • ABS, Traction Control dan Dynamic Stability Control - berkesan dan efektif (jangan tanya bagaimana kami tahu)
  • Sistem brek EBA dan EBD 
  • Hill Launch Assist
  • Walk-away Lock - sama seperti pada Subaru
  • Isofix dengan Top Tether

 

 

Pandu uji di dunia sebenar selama lima hari menunjukan Mazda tidak "auta" dengan spesifikasi yang diberikan di dalam risalahnya.

Enjin SkyActiv-G 2.5L Turbo itu benar-benar mengujakan. Ia membolehkan jentera gedabak lebih dari dua tan ini meluncur tanpa dipaksa-paksa.

Sistem turbo dengan teknologi Dynamic Pressure Turbo itu sememangnya terbukti berkesan. Bilah-bilah yang mampu mengubah geometri kedudukan siripnya itu digunakan untuk memastikan aliran gas ekzos lebih lancar.

Daya kilas setinggi 420 Nm itu sangat-sangat membantu ketika hendak memotong kenderaan, membawa bilangan maksimum penumpang dan ketika hendak mendaki.

Tipulah sekiranya penulis berkata turbo-lag langsung tidak wujud, tetapi jika pemandu memastikan jarum tachometer berada melepasi 2,000 RPM, tenaga akan masuk segera untuk menjamin kadar prestasi yang linear selepas itu.

 

 

Perjalanan Careta dengan CX9 berkisar di kawasan yang lazim dilawati penulis - dari KL ke Bukit Gambir, dan kemudian ke kawasan Bukit Kepong serta Segamat.

Di atas lebuhraya, penulis lebih suka memandu secara santai dan memastikan penggunaan bahan api adalah seminimum yang mungkin.

Sekali-sekala, demi tugas (ehemm, alasan), CX9 ini dipandu selaju yang mungkin, dan memang ia mampu melangkau angka 200 kmsj.

Kadar kebisingan semasa kelajuan malar 120-130 kmsj masih lebih rendah dari jenama-jenama Jepun yang lazim. 

Ini menyebabkan sistem audio berprestasi tinggi 294 W dengan 12 pembesar suara Bose dan subwoofer itu menghasilkan mainan balik audio yang sangat baik.

 

 

Stereng elektrik terasa sangat "jujur", dan tidak ada feedback palsu yang dibuat-buat. Cara ia kembali ke posisi tegak (centering) dilakukan dengan sangat baik dan neutral.

Di jalanraya persekutuan, terutama di kawasan Bukit Kepong dan jalan ke Segamat melalui laluan Pogoh menunjukan sistem gantungan MacPherson (hadapan) dan Multilink (belakang) itu lebih ditala untuk keselesaan.

Ya, ada yang berkata sistem G-Vectoring Control (GVC) itu sepatutnya membuatkan SUV ini sedap dipandu di kawasan selekoh tetapi membaca risalah dan mempercayai risalah 100 peratus bukanlah tugas penulis.

Ia mungkin berkesan pada kelajuan rendah, tetapi bila kita mula memandu dengan lebih agresif, olengan badan terasa semakin ekstrem walaupun teknik slow-in/fast-out digunakan pada racing-line. 

 

 

Jenis tayar pada roda aloi 20-inci yang digunakan juga nampaknya lebih menggemari permukaan kering. Bila hujan, masih terasa ia menggeli-geli sedikit. 

Mungkin jika pemanduan jitu yang dicari, mungkin jenama dari Munich masih lagi juara dalam kategori itu.

Untuk parkir, sistem kamera 360-darjah membantu, walaupun untuk penulis, ia masih boleh diperbaiki kerana kualiti gambar tidak begitu terang dan menyebabkan perasan was-was.

Dalam cuaca panas, penumpang hadapan boleh menggunakan sistem pendingin hawa yang mengalirkan udara sejuk dari liang-liang pada tempat duduk itu sendiri.

 

 

Walaupun barisan ketiga tidak mempunyai corong pendingin hawa, ia tidak begitu menjadi masalah kerana pergerakan udara sejuk ke belakang menggunakan corong pada barisan kedua dan juga pada lantai itu cukup untuk menjadikan penumpang barisan ketiga itu selesa.

Sayangnya, tempat itu tidak begitu luas seperti sebuah MPV. Ini adalah kelemahan paling ketara untuk sebuah SUV tujuh tempat duduk. 

Ruang kepala bagaimanapun, sudah cukup untuk individu setinggi 5 kaki 10 inci (seperti ditunjukan di dalam video ringkas kami).

Paling menggembirkan ayah lima orang anak ini ialah ruang but CX9 yang sebenarnya paling besar dalam kategori SUV 7-tempat duduk.

 

 

Dengan tempat duduk barisan ketiga digunakan, ruang but ialah seluas 230 liter - paling besar yang pernah penulis lihat untuk kategori ini.

Jika barisan ketiga dibaringkan, ruang barang membesar kepada 830 liter.

Ini cukup untuk pemanduan seharian dengan tujuh penumpang, tetapi di musim perayaan, nescaya kotak keranda bumbung Thule bakal menjadi penyelamat.

Mazda CX9 ialah sebuah SUV tujuh tempat duduk yang terbukti mewah dan boleh dikatakan lengkap untuk harganya.

Walaupun masih ada ruang untuk diperbaiki, Mazda ini menjanjikan pemanduan yang masih memuaskan hati.

Jika dibandingkan dengan pesaing Eropahnya, dilubuk hati kita, kita yakin CX9 ini akan berkhidmat untuk keluarga kita dengan lebih taat setia tanpa risiko cuti MC dengan bil rawatan yang tinggi.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Ia memiliki sifat yang ringan dan kuat dalam masa yang sama, namun harus diingat gentian karbon…
Telah Diuji
Kalau diikutkan sejak CX-5 generasi kedua ini mula dilancarkan pada tahun 2017, sudah enam kali…
Berita Global
  Kesemuanya dipadan bersama kotak gear automatik lapan kelajuan dan pacuan semua roda (AWD) i-…