Pandu Uji: Maserati Levante S 2019 (RM788,800)

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Apakah yang anda boleh lakukan jika anda mahukan sebuah Ferrari yang mampu membawa lima penumpang dan barang-barang serta tidak perlu risau bila melalui bonggol di jalan?

Tidak ada apa-apa.

Tetapi jika anda luaskan minda, ada satu jenama yang mempunyai sebuah SUV tetapi dengan nadi Ferrari di dalamnya.

Maserati Levante.

Jawapan Maserati kepada Porsche Cayenne dan Range Rover (maaf BMW X5 dan Mercedes-Benz GL, anda di kasta lebih bawah), Levante pertama kali dilancarkan pada tahun 2016.

 

 

Konsep pertama dipertontonkan dalam tahun 2011 sebenarnya, tetapi dengan nama lain yang lebih exotic - Maserati KUBANG.

Mungkin ada bangsa Melayu yang memberitahu syarikat Itali itu bahawa nama itu terlalu hampir kepada aktiviti kegemaran kerbau, Maserati menukarkan namanya kepada Levante.

Levante di dalam bahawa Itali bermaksud terbitnya matahari dan kepada Maserati, model ini ibarat matahari yang memberikan sinar baharu kepada syarikat yang hampir muflis ini dahulu.

Okay cukup mencecer, kita terus ke keretanya.

 

 

Naza Italia, pengedar rasmi Maserati menerbangkan Careta ke Langkawi untuk mencuba Levante S model 2019 ini.

Datang dalam tiga varian, model asas berharga dari RM788,800 sementara varian Gran Lusso dan Sport ialah RM838,300.

Nampak mahal tetapi ia satu kategori dengan pesaingnya dari Germany dan UK itu.

Model 2018 menerima beberapa pembaharuan kosmetik (bamper dan roda aloi) serta kelengkapan kabin yang lebih menarik (sistem multimedia dan tombol gear antara yang ditukar) tetapi paling menarik pada pendapat Careta ialah lampu hadapan jenis LED matriks penuh - sungguh seksi bila ia hidup.

 

 

Dari segi teknikal, ia masih menggunakan enjin petrol F160 3.0L V6 Twin Turbo dengan transmisi automatik 8-kelajuan.

Bunyinya tidaklah begitu menggempakkan, sehingga diberitahu bahawa enjin ini direka oleh Ferrari khusus untuk Maserati.

Dan kerana ia hasil Ferrari, enjin ini membolehkan Levante "kerek" dengan angka-angka yang menggiurkan.

  • Kuasa maksimum: 430 bhp @ 5,750 rpm
  • Daya kilas maksimum: 580 Nm @ 2000 - 4750 rpm
  • Pecutan 0-100kmsj: 5.2 saat
  • Halaju maksimum: 264 kmsj

 

 

Enjin pada Levante ini mempunyai beberapa persamaan dengan enjin F154 pada Ferrari 488 Italia, tetapi semasa pandu uji kami, terasa ia tidak begitu "garang" pada putaran enjin rendah.

Ini mungkin kerana SUV ini menggunakan nisbah gear yang membenarkan ia dipandu secara tertib di kawasan urban, atau bila ia dipandu oleh siisteri ketika menghantar anak ke sekolah swasta anda atau ke Jaya Grocer membeli jus oren berharga RM40 sekotak.

Pada awal sesi pandu uji kami sendiri, kami "dipaksa" memandu seperti lebai ke surau kerana Quattroporte yang menjadi "marshal" kami mengawal had kelajuan kami.

 

 

Tidak mengapa kerana kami dapat merasa betapa mudahnya hendak memandu Levante S ini, walaupun ia sebuah SUV prestasi.

Ketika rakan Careta memandu pula, penulis dapat menghayati kerja seni yang terpampang dalam kualiti papan pemuka serta jahitan kulit di pintu dan tempat duduk.

Sistem infotainment tidak begitu menarik perhatian kami kerana ia lazim dan seperti yang dijangka, menghasilkan bunyi yang mahal walaupun lagu Inul Daratista dipasang.

 

 

Transmisi buatan ZF menukar nisbah dengan sedikit gaya Ferrari - kasar bila perlu. Mungkin ada yang berkata ini tidak sepatutnya berlaku tetapi pada penulis, ia mengingatkan kami kepada sepupunya, Ferrari.

Jika mahu tukaran nisbah selancar bayu malam, belilah jenama lain yang direka untuk makcik dan pakcik. Ini Maserati, dan sedikit rasa agresif diperlukan.

Esoknya, Naza Italia melepaskan kami bersendirian dengan Levante S itu.

Sebaik sahaja bayang mereka hilang dari cermin pandang belakang, Sport Mode ditekan dan pendikit semakin rapat ke lantai.

 

 

Perkara pertama yang kami sedar ialah bunyi ekzos dan enjin SUV ini. Tidak pernah seumur hidup penulis mendengar bunyi seseksi ini dari sebuah SUV. 

Ia nyaring tetapi garing, meletup-letup bila nisbah transmisi dipaksa menurun dan garau bila daya kilas maksimum dikerah keluar.

Nyaring bunyi enjin apabila penulis menukar gear menggunakan paddle shifter memang benar-benar mengeluarkan karektor Itali pada Levante S ini.

 

 

Pengendalian cukup mantap, dan walaupun stereng tidak setegap dan setelus Porsche Cayenne, cara Levante S ini membelok seolah-olah meminta kita menggunakan sterengnya dan memberikan input yang tepat.

Bila kita beli air kopi dari mesin, kita terima air tanpa sebarang interaksi. Benar, ia lebih cepat, lebih pantas, lebih efisien dan sangat Jerman.

Tetapi bayangkan anda membeli secawan air kopi dari sebuah cafe Itali, dan pelayan wanita yang tinggi dengan muka iras Maria Farida melayan anda dengan begitu mesra. 

Dua saat sebelum beliau menyerahkan kopi, mata anda tertumpu selama dua saat pada belahan skirtnya.

Itulah Levante S.

 

 

Sistem gantungan udara pada Maserati ini membolehkan ia direndahkan - sesuai untuk bermain di selekoh di kawasan Langkawi.

Tetapi di kawasan di mana jalan tar sudah tiada, mode Off Road dipilih dan udara dipam masuk ke penyerap hentak untuk meninggikan lagi Levante agar tidak tersagat bahagian bawahnya (3.4 inci lebih tinggi).

Levante memang sudah menggunakan sistem pacuan 4-roda sepenuh masa Q4 dari Maserati (tetapi dalam keadaan normal, kebanyakan kuasa disalurkan ke roda belakang).

Selesai meredah, tekan butang dan Levante kembali rendah seperti sebuah SUV prestasi.

 

 

Keselesaan di jalanraya yang tidak rata dan berlubang-lubang mendapati ia masih lagi mengekalkan keselesaannya. Tidak begitu kasar tetapi tidak begitu lembut sehingga berbuai-buai. Paling penting, bunyi tayar meredah lubang diredam dengan baik.

Bahagian tempat barang cukup besar untuk sekeluarga, cuma lantainya sedikit tinggi. Jangan risau, sistem gantungan udara membolehkan Levante diturunkan dalam mod Parkir. 

Sayang sekali kami tidak mendapat cukup masa untuk benar-benar menguji Levante ini. Malah, jika diberi masa seminggu pun belum tentu akan puas kerana ia adalah SUV yang benar-benar berhati Itali - seperti Ferrari tinggi.

 

 

Walaupun singkat, ternyata bunyi dan bau Levante ini masih terngiang-ngiang di dalam kepala penulis.

Mungkin ada SUV lain yang lebih pantas, lebih laju dan lebih mampu milik, tetapi ada satu perkara yang mereka kekurangan berbanding dengan Maserati ini.

Jiwa. 

Dan jiwalah yang menentukan sepanjang mana senyuman anda ketika memandu.

 

 

Spesifikasi Maserati Levante S

Enjin: 2,979 cc V6 Twin Turbo 24-injap
Transmisi: 8-kelajuan automatik (buatan ZF) AWD
Kuasa maksimum: 430 bhp @ 5,750 rpm
Daya kilas maksimum: 580 Nm @ 2000 - 4750 rpm
Pecutan 0-100kmsj: 5.2 saat
Halaju maksimum: 264 kmsj
Penggunaan bahan api: 11.8 - 12.2L/100km (campuran)
Harga: Dari RM788,800 untuk Base Model.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Perkara tersebut disahkan menerusi satu siaran media yang dikeluarkan baru-baru ini. Difahamkan,…
Pelancaran
Grecale GT merupakan salah satu dari 3 versi Grecale yang ditawarkan oleh Maserati dimana versi GT…
Pelancaran
Ia membawakan trenkuasa yang terdiri daripada enjin turbo bersesaran 1,995 cc yang dipadankan…