Pandu Uji Lexus ES 250 F-Sport - pilihan sedan eksekutif Jepun yang sporti

oleh Mohamad Hanif|
Bila bercakap soal kereta sedan eksekutif, rata-rata kita mungkin sudah terbiasa dengan model-model popular dari Jerman seperti Mercedes-Benz E-Class dan BMW 5-Series.

Kedua-dua model tersebut tidak dapat dinafikan lagi kehebatan dari segi prestasi, dan kelebihan teknologi moden yang ada, dipadankan lagi dengan imej yang serba premium.

Namun untuk mereka yang mahukan sedikit perisa dan elemen Jepun yang mewah, nama yang harus anda tahu - Lexus.

Bukan biskut Lexus yang mampu milik itu, tapi Lexus ES 250 F-Sport.
 

Lexus


Model facelift ES telah pun rasmi dilancarkan di pasaran tempatan pada tahun lalu, dan versi F-Sport yang penulis pandu uji kali ini merupakan versi tertinggi yang hadir dengan tanda harga bermula dari RM345,134.00.

Apa yang wujud pada varian F-Sport? Macam-macam juga sebenarnya.

Anda boleh dapatkan rim aloi bersaiz 19 inci dengan kemasan Dark Premium Metallic, upholsteri merah hitam dan kemasan aluminium, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, pedal kaki sport daripada aluminium, jam analog Lexus, dan gelung pada bahagian paparan meter yang sama macam model Lexus LFA.
 

Lexus


Jadi, apa yang menarik sangat pasal sedan ES 250 F-Sport ini?

Tatkala adik-beradiknya yang lain tampil dengan rupa paras sedan pejabat, Lexus ES 250 F-Sport ini cuba tampil dengan imej eksekutif yang lebih sporti.

Manakan tidaknya, dengan elemen hitam berkilat yang menguasai dan rim bersaiz 19 inci itu sudah pun cukup untuk membuatkan kehadiran atas jalan dirasai.
 

ES


Pakej F-Sport banyak ditunjukkan di dalam ruang kabin, yang paling mengubati jiwa dan lara penulis adalah kehadiran paparan meter dengan gegelung logam 3D yang menyamai model kereta sports LFA.

Entah bila dapat peluang pandu LFA pun penulis tidak tahu.

Selain daripada itu, penulis juga tidak merasakan penggunaan warna merah di dalam ruang kabin itu terlalu melampau, cuma mungkin boleh dikurangkan supaya ia menjadi warna yang minor.
 

F-Sport


Tipikal kereta-kereta premium, bermacam-macam fungsi juga yang wujud di dalam ruang kabin.

Namun, disebalik kehadiran butang-butang fungsi yang banyak itu, penulis tidak merasakan ia sukar untuk dioperasikan.

Ia lebih bersifat 'straight forward', mudah untuk digunakan tanpa perlu mengalihkan tumpuan pemanduan dengan lebih kerap, berbanding sesetengah model kereta yang lebih gemar menyembunyikan fungsi penting di sebalik skrin paparan.
 

ES


Sebut pasal skrin, sistem infotainmen Lexus ES ini bersaiz 12.3 inci dengan paparan grafik yang memang mudah untuk dibaca, dan ia telah pun diposisikan supaya lebih dekat dengan pemandu. Disebabkan posisi yang lebih tegak, senang juga untuk baca paparan peta menerusi fungsi Apple CarPlay.  

Untuk menggunakan skrin ini juga tidak mendatangkan masalah, sentuh sahaja skrin itu jika anda jenis sukar untuk menerima kehadiran pad sesentuh di sebelah tombol gear itu.

Sistem audio juga tidak mengecewakan untuk sebuah Lexus. Alunan lagu yang dilontarkan cukup mengasyikkan dan lebih sedap berbanding speaker 2.1 yang wujud di meja kerja penulis.
 

Lexus


Lexus (atau Toyota amnya) boleh penulis sifatkan sebagai sebuah pengeluar yang ortodoks dan degil kerana masih lagi setia dengan enjin bersesaran besar, tatkala pesaingnya sudah mula hadir dengan enjin bersesaran kecil dengan bantuan turbo.

Sedan ES 250 F-Sport ini datang standard dengan enjin aspirasi natural, iaitu nadi Dynamic Force 2.5 liter (kod nama A25A-FKS).

Kuasa yang dihamburkan 204 hp @ 6,600 rpm, dan daya kilas 247 Nm @ 5,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi Direct Shift automatik lapan kelajuan.

Enjin NA ini sebenarnya mengajar anda untuk menjadi seorang pemandu yang lebih bersabar dan tidak terburu-buru dengan asakan pemandu di sebelah berdasarkan kata-kata hikmat 'sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit'.
 

ES


Untuk situasi pemanduan seperti contoh di persimpangan lampu isyarat trafik, ia mungkin sedikit perlahan, namun di atas lebuh raya pada kelajuan yang tinggi, enjin aspirasi natural ini mula menunjukkan kelebihan yang tersendiri.

Di sini, Lexus ES menawarkan pemanduan yang cukup stabil, dan masih lagi boleh dikerah keupayaannya untuk mencapai kelajuan yang lebih tinggi.

Namun, lebih mengejutkan penulis apabila karakter sebenar Lexus ES 250 F-Sport ini lebih terserlah bila mana penulis mula keluar dari lebuh raya mencari jalan-jalan dalam yang lebih berliku.
 

Lexzus


Biarpun dikerah dengan agak agresif, kereta ini masih lagi berada di dalam kawalan yang cukup cemerlang, ditampung dengan sistem suspensi yang bijak menyerap segala lekukan dan lubang tanpa menyebabkan penumpang terjaga dari tidur.

Ya, tidak dapat dinafikan penumpang di sebelah memang nyenyak tidur disebabkan tahap kesenyapan ruang kabin Lexus ES ini.

Apa yang penulis mahukan dari sebuah sedan yang sporti bukanlah setakat kuasa ataupun tombol gear yang cantik dan sedap dipegang, akan tetapi respons stereng yang cukup rasa, serta sistem suspensi yang mampu bekerja dalam apa jua keadaan.

Pendek kata, penulis lebih yakin dengan pemanduan Lexus ES ini di selekoh-selekoh berbanding sesetengah kereta yang lebih gemar 'meloncat'  dan membuang ekornya apabila bertegur sapa dengan lubang jalan yang kurang teruk berbanding jalan raya di sekitar Klang ini.
 

Lexus


Di penghujung hari, penulis tidak langsung menafikan kelebihan yang ada pada model-model sedan eksekutif buatan Jerman, namun bila tanya pada hati, Lexus ES 250 F-Sport merupakan jawapan yang penulis carikan untuk genre sedan eksekutif.

Baca: Spesifikasi Lexus ES 2021 (Facelift)