PANDU UJI: Kia Rio 1.4 liter MPI - Kereta bandar yang lincah

oleh Mohamad Hanif|
Pasaran segmen B hatchback di Malaysia sememangnya meriah dengan kehadiran pelbagai jenama, malah masing-masing kini menampilkan model dengan rekaan yang lebih sporty dan bodykit yang agresif untuk menarik perhatian bakal pembeli.

Antara yang turut mencuri perhatian ialah Kia Rio 5 pintu hatchback yang memasuki pasaran Malaysia pada tahun lepas.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dengan rekaan yang semakin tajam meninggalkan imej bulat pau tuna pada model terdahulu, penulis seakan tidak percaya sedang memandu uji sebuah Kia Rio, apatah lagi model terdahulu pada hemat penulis tidaklah begitu menarik perhatian.  

Kesempatan selama empat hari yang diberikan oleh Naza Kia Malaysia digunakan untuk mendalami isi hati sebuah Kia Rio generasi YB ini. 
 


Kia Rio ditawarkan dengan empat pilihan warna termasuklah Signal Red, Clear White, Silky Silver dan Smoke Blue seperti mana yang diuji pada kali ini. 

Aspek keselamatan Rio ini juga sangat lengkap dengan penawaran enam buah beg udara, sistem brek anti kunci (ABS), kawalan cengkaman (TC), bantuan mula mendaki (HSA), dan juga cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak.  
 


Pasaran Malaysia mendapat model varian tunggal dengan enjin Kappa 1.4 liter MPI yang mampu menghasilkan 100 PS dan daya kilas sebanyak 133 Nm. 

Sejujurnya, kuasa yang diberikan daripada enjin empat silinder sebaris itu sememangnya mampu untuk menggerakkan kereta ini di dalam keadaan pemanduan santai di dalam bandar dan juga ketika memasuki kawasan kampung. 

Kata kunci di sini ialah santai. 


Tatkala majoriti pemain utama sudah mula beralih kepada penggunaan transmisi CVT, Kia masih mengekalkan penggunaan transmisi automatik empat nisbah kelajuan dengan tujuan untuk memberikan pengedaran kuasa yang lancar ketika pemanduan santai tersebut.

Untuk enjin-enjin yang kecil dan kurang berkuasa, padanan kotak gear memainkan peranan yang penting bagi membekalkan kuasa dengan lancar dan mengurangkan isu 'Gear hunting' terutamanya ketika pecutan semasa memotong atau mendaki bukit. 

Lihat sahaja Perodua yang masih mengekalkan penggunaan kotak gear automatik empat kelajuan pada model kenderaan moden mereka. 

Bak kata orang, "If it ain't broke, don't fix it".

Sesebuah kereta berenjin kecil dengan terlalu banyak nisbah gear akan menjadikan pemanduan semakin tidak lancar oleh kerana kotak gear sentiasa 'downshift' untuk mencari nisbah gear yang sesuai ketika pemanduan seperti contoh Chevrolet Cruze 1.8 LT dan juga Chevrolet Orlando. 
 


Pengendalian Rio dirasakan amat baik ketika menyelusuri selekoh-selekoh di kawasan bukit Hulu Langat, terasa seperti mengendalikan sebuah jentera sukan yang sebenar dengan rekaan kerusi yang memegang kemas pemandu daripada tersasar melayan selekoh. 

Aksi yang ditunjukkan oleh Kia Rio juga amat mengkagumkan walaupun ia hadir dengan sistem suspensi tipikal hatchback segmen B iaitu torsion beam axle di bahagian belakang.

Ketika mengambil selekoh, olengan badan Rio ini dirasakan amat kurang, menjadikan penulis semakin yakin untuk menyerang beberapa lagi selekoh di hadapan sebelum berhenti seketika akibat kekurangan tenaga ketika berpuasa pada panas terik.
 


Cuma apa yang sedikit menyedihkan jiwa kelajuan penulis ialah transmisi dirasakan lambat bertindak mencari nisbah kelajuan yang lebih rendah ketika pedal minyak ditekan semasa kereta mendaki bukit, ataupun ketika memotong kereta di lebuhraya, ada kalanya penulis seakan mahu berdiri menekan pedal minyak. 

Penggunaan rim 17 inci sedikit sebanyak memberikan penambahbaikan terhadap pengendalian sporty kereta hatchback ini namun pada hemat penulis, rim 14 atau 15 inci sudah memadai untuk kereta yang kurang berkuasa ini. 

Kadar NVH pada Kia Rio ini dirasakan amat baik kerana kurang bunyi bising luaran dan bunyi angin yang menderu memasuki ruang kabin, namun bunyi bising dari tayar seakan mengganggu tumpuan ketika pemanduan, mungkin faktor jalan raya Malaysia yang kurang berkualiti. 
 


Sistem hiburan Kia Rio ini didatangkan dengan penawaran skrin sentuh 5 inci dengan bantuan butang menu fizikal pada kiri dan kanan memudahkan lagi usaha untuk menghiburkan diri disebalik kekurangan kuasa tadi. 

Malah, ia lebih cepat membaca data lagu pada USB berbanding sesetengah sistem audio pada kereta baru yang lain, sehinggakan penulis boleh sempat mengira dari satu hingga sepuluh persis seorang budak kecil sebelum sistem memainkan lagu kegemaran. 

Secara keseluruhan untuk bahagian dalaman kabin yang telah direka semula, ia menampakkan rekaan yang ringkas namun berfungsi. 
 


Satu ciri menarik ialah bumbung suria automatik yang didatangkan secara standard untuk Kia Rio, tidak ada pada pesaing di dalam kelasnya, membolehkan penulis duduk bersantai di puncak bukit Ampang menikmati kelipan bintang di langit bersama yang tersayang.
 


Pemanduan ketika waktu malam juga turut dibantu dengan ciri lampu suluh membelok yang disembunyikan pada lampu utama Rio ini yang akan menyala mengikut arah putaran stereng. 

Ciri ini amat membantu para pemandu memastikan tiada sebarang objek melintang ketika pemanduan pada waktu malam, terutama ketika mengambil selekoh tajam dan memasuki kawasan parkir yang sempit. 

Mengakhiri sesi pandu uji pada kali ini ialah kadar kelahapan Rio menelan bahan api.
 


Untuk sebuah kereta hatchback bandar dengan enjin sekecil itu, pada hemat penulis amat mudah untuk Rio mencapai tahap penggunaan minyak yang menjimatkan - sekiranya ia tidak didatangkan dengan rim sebesar anak gajah itu. 

Menurut paparan penggunaan bahan api, hasil gabungan pemanduan di dalam bandar, lebuhraya dan juga jalan kampung, penulis hanya mampu mencapai 8.4 km/100 km dengan pemanduan sekitar melebihi 400 km untuk sekali pengisian penuh bahan api. 
 


Kia Rio hatchback ini dijual pada harga RM75,381.32 atas jalan tanpa insurans, dengan jaminan daripada pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan. 

Mungkin jenama dari Korea ini mampu menawan hati anda, sekiranya anda menginginkan kelainan daripada rata-rata pengguna yang memilih jenama Jepun sebagai kenderaan seharian. 
 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Saiz DAL-e Delivery sebenarnya lebih kecil berbanding model terdahulu dan dapat beroperasi…
Berita Domestik
Panggilan semula produk dilakukan oleh pihak pengeluar apabila terdapat penemuan isu keselamatan…
Berita Global
Dibina di atas platform E-GMP, ia juga lebih kecil berbanding dengan EV6 yang sudah dijual di…