Pandu Uji: Hyundai Santa Fe 2019 - petrol atau diesel?

oleh HEZERI SAMSURI|
Waktu Hyundai mula-mula memperkenalkan SUV segmen D mereka, Santa Fe, ramai yang mungkin keliru dengan rekabentuk berlekuk pada badannya.

Paling diingati, tempat pembuka pintu hatch belakang yang saling tak tumpah seperti pembuka peti sejuk Kelvinator tahun 1960-an.

Ya, zaman itu Korea suka menghasilkan rekabentuk yang hanya boleh dihadam oleh mereka sendiri sahaja.

Namun begitu, perubahan drastik berlaku bila Korea sedar nilai kualiti setinggi gunung atau teknologi secanggih dunia Wakanda tidak akan dihargai jika ia dipakej dalam bentuk yang hanya boleh diterima oleh ibu kandungnya sahaja.

Pakej itu penting dan Korea menggunakan pereka-bentuk dari Barat untuk mengolah semula halatuju bentuk-bentuk produk mereka.

 

 

Kali ini, Santa Fe generasi keempat dengan nama kod TM itu hadir dengan rekabentuk yang lebih kontemporari tetapi berani.

Tetap sebuah SUV tujuh tempat duduk segmen D, ia berjaya menyorokkan saiz besarnya di sebalik rekabentuk futuristik yang membuatkan ibu muda di sebelah rumah berpaling tiga kali untuk mengintai Santa Fe ini.

Ia adalah 80 mm lebih panjang (jarak roda juga 65 mm lebih jauh) dan 10 mm lebih lebar dari Santa Fe DM, iaitu generasi sebelumnya. 

Bahagian hadapan mempunyai bentuk yang selari dengan SUV Hyundai yang terbaharu - Kona dan juga Venue (keduanya tidak dijual di Malaysia).

Lampu bertingkat (bahagian atas ialah DRL LED sementara bahagian bawah ialah unit lampu utama - halogen untuk standard dan LED untuk varian Premium) serta gril sebesar alam semesta (namanya Cascading Grille) seolah-olah menjerit dengan berani "Hey, akulah adiwira Korea bergaya dan nampak kaya!".

Errr ... anda setuju bukan?

 

 

Bahagian belakang lebih menjadi pilihan penulis, kerana ia nampak lebih Teutonik (ada ciri Jerman) - malah tidak keterlaluan, ia ada mirip lampu Audi. 

Antara kedua lampu belakang itu ialah garisan seperti spoiler terbina, dan bahagian tengah bamper belakang dihiasi oleh sepasang lampu tambahan (lampu under dan lampu kabus), diakhiri dengan "plastic cladding" yang memberikan gambaran ia adalah sebuah SUV yang mampu memanjat gunung berapi Kilimanjaro.

Hanya dari sisi anda akan perasan ia mempunyai tiang D yang lebar dan tebal, memberikan sedikit "hint" bahawa ia mempunyai tujuh tempat duduk.

Berbanding dengan sepupunya, Kia Sorento, Santa Fe TM nampak lebih garang dan agresif, pada hemat penulis (cybertroopers dipersilakan untuk membuka satu forum baharu di LowYat.com jika tidak setuju).

 

 

Lompat ke dalam dan anda sekali lagi ternganga dengan kabin yang nampak modern dan ya, mewah. Ia mempunyai garisan seolah-olah "mengepung" anda di dalam balutan kulit/plastik cantik.

Bagi varian premium, ia menggunakan kulit sebenar dengan jahitan benang sebenar, sepadan dengan harga yang dibayar.

Penutup pembesar suara di pintu hadapan diberikan efek "quilted leather" yang penulis rasa nampak realistik jika anda berdiri 10 batu nautika jauh. 

Bila disentuh, plastik keras rupanya. Apapun, ia unik.

Di bahagian tengah papan pemuka, berdiri megah skrin sesentuh 7-inci besar yang memuatkan sistem infotainment termasuk Apple CarPlay dan Android Auto (CarPlay sudah rasmi di Malaysia tetapi Android Auto, masih belum dilancarkan di Malaysia selepas berkurun lamanya).

Pemandu juga mempunyai skrin tujuh-inci miliknya sendiri, dan mempamerkan meter-meter penting yang akan bertukar warna mengikut mod pemanduan yang dipilih.

Bunyi canggih tetapi sebenarnya, grafik meter itu tidak secantik Jepun atau Eropah. Masih lebih baik dari yang digunakan dalam kenderaan China acah Melayu itu, tetapi Hyundai sepatutnya boleh menggunakan rekabentuk dan kualiti grafik yang lebih baik.

 

 

Untuk penumpang barisan kedua, ada dua corong pendingin hawa di konsol tengah dan dua port USB. Juga ada ruang untuk menyimpan barang atau telefon pintar anda sekali.

Bagi varian premium, tempat duduk penumpang hadapan diberikan suis sisi agar taukey di belakang boleh menggerakkan tempat duduk itu ke depan agar ada lebih ruang kaki.

Tempat duduk paling belakang, iaitu barisan ketiga, boleh diakses dengan menekan butang pada sisi tempat duduk barisan kedua - sekali tekan dan tempat duduk itu condong dan boleh ditolak ke hadapan.

Terus terang, tempat duduk barisan ketiga memang lebih besar dari Santa Fe generasi sebelum ini tetapi ia masih tidak menjanjikan tempat yang selesa untuk penumpang dewasa bersaiz normal. 

Penulis yang setinggi 6-kaki dan bertubuh sasa di bahagian abdomen, punggung dan peha masih boleh meloloskan dirinya untuk ke barisan ketiga.

Genap 10 saat dan penulis berteriak mahu keluar dari ruang sempit itu, membuktikan tempat duduk barisan ketiga lebih sesuai untuk kanak-kanak atau rakan-rakan yang anda paling tidak suka.

Apapun, kemudahan corong pendingin haawa dan juga tempat letak cawan wujud di bahagian itu.

 

 

Jika barisan itu diturunkan, anda akan mendapat ruangan kargo seluas 547 liter - 13 liter lebih besar dari Santa Fe lama.

Penutup pintu but Santa Fe ini juga dilengkapi dengan ciri pembuka tanpa sentuh. Jika yang lain akan membuatkan anda menendang-nendang angin di bawah bamper seperti orang kurang siuman (terutama bila but tidak terbuka), Hyundai menggunakan pengesan kawasan.

Bila ia mengesan anda berdiri berhampiran pintu but dengan kunci, ia akan membuka pintu itu secara automatik.

Memang lebih mudah cuma penulis menjangkakan jurutera Hyundai tidak pernah berdiri berbual di belakang kenderaan. Beberapa kali bila penulis berdiri untuk berbual dengan rakan-rakan, pintu but itu terbuka dengan sendirinya.

Hampeh.

Namun begitu, ada satu ciri yang penulis rasa perlu untuk semua kereta keluarga - Rear Occupant Alert.

Apa yang berlaku ialah ia menggunakan pengesan ultrasonik untuk mengimbas tempat duduk belakang bagi memastikan ibubapa tidak terlupa ada anak yang tertinggal di dalam Santa Fe itu.

Jika ada, ia akan membunyikan hon, membuatkan lampu-lampu utama berkelip dan menghantar mesej kepada telefon pintar pemandu melalui sistem Blue Link.

Mantap dan sepatutnya ini dijadikan standard untuk kesemua kereta yang dimiliki oleh ibubapa.

 

 

Dua varian enjin ditawarkan - enjin 2.4L Theta II petrol dengan 172 PS dan 225 Nm serta enjin 2.2L R CRDi turbodiesel yang menghamburkan 193 PS dan 440 Nm. 

Hyundai-Sime Darby Motors membenarkan penulis untuk mencuba kedua-dua varian tetapi penulis sudah pasti, varian petrol itu hanya akan dibeli oleh mereka yang malas untuk memandu uji kedua-dua varian.

Ada juga yang berkata enjin diesel terlalu bising, jadi mungkin ini ialah pemandu istimewa yang duduk di atas hud enjin bila memandu, bukan duduk di dalam kabin.

Dengan kadar daya kilas setinggi 440 Nm, Santa Fe terasa sangat lancar dan berkuasa.

 

 

Ujian offroad yang dilakukan oleh Hyundai untuk para media di kawasan hutan Kenaboi di Jelebu membuktikan bukan hanya casis atau kerangka Santa Fe TM ini lebih kukuh untuk melayan aksi-aksi tripod (satu tayar di udara, tiga tayar jejak ke lumpur) dan meredah jeram-jeram kecil, ia juga membuktikan betapa percayanya Hyundai terhadap prestasi sistem elektronik pacuan semua roda (AWD) HTRAC.

HTRAC mampu mengawal kadar daya kilas antara gandar hadapan dan belakang, serta mengawal brek roda kiri atau kanan, depan atau belakang, bagi memastikan tenaga dihantar hanya kepada roda yang mempunyai cengkaman.

Lumpur-lumpur tebal di denai-denai itu menjadi bukti betapa efisen sistem HTRAC itu kerana kesemua Santa Fe yang dibawa berjimba itu datang dengan tayar standard untuk jalanraya berturap - bukan tayar All Terrain! 

Sayang sekali, HTRAC hanya diberikan untuk varian diesel sahaja. 

Malah, transmisi untuk 2.2L CRDi juga ialah varian 8-kelajuan automatik, sementara untuk enjin orang tua 2.4L petrol, anda hanya perlu menerima kehadiran transmisi 6-kelajuan automatik seadanya.

 

 

Akhir sekali, varian dan harga untuk Santa Fe ini.

Hyundai Malaysia menyediakan empat varian untuk SUV besar ini:

  • Santa Fe 2.4L MPI Theta II petrol Executive
  • Santa Fe 2.4L MPI Theta II petrol Premium
  • Santa Fe R 2.2L CRDi diesel Executive
  • Santa Fe R 2.2L CRDi diesel Premium

Harga bermula dari RM169,888 untuk petrol Executive, RM189,888 untuk petrol Premium dan RM191,888 untuk diesel Executive dan RM211,888 untuk diesel Premium.

Akhirnya, model Korea ini sudah mencecah harga di atas paras RM210,000 dan sudah mula mengetuk pintu kenderaan-kenderaan premium Eropah.

Mahal?

Tepuk dada tanya selera kerana jika tidak suka, ada pelbagai lagi pilihan di luar sana.

Untuk spesifikasi lengkap dan harga terkini, lawati pautan di bawah ini.

https://www.hyundai.com.my/showroom/Santa-Fe/#specification

 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Global
  Terbaru Hyundai memperkenalkan model konsep RM19 Racing Midship pada acara AutoMobility LA 2019…
Berita Domestik
Hyundai Elantra   Sedan Hyundai sememangnya bergaya. Model baharu ini dikuasakan enjin 2.0L Nu…
Berita Global
  Di peringkat akhir, dua model yang tercalon adalah Hyundai Veloster 2020 menentang Chevrolet…