Pandu Uji: Honda HR-V Hybrid 1.5L DOHC - masih gerun dengan sistem hibrid?

oleh SALINA JALIL|
Honda HR-V telah diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 2015 dan kini ia didatangkan dengan varian Hybrid dan bertuahnya negara kita kerana Malaysia adalah negara kedua yang diberikan varian ini selain negara Jepun sendiri!


HR-V yang membawa maksud Hip, Smart Runabout Vehicle ini sememangnya berpadanan dengan ukuran fizikal sebuah sub-kompak SUV Crossover yang berkembar dengan JDM Vezel. Di jalan raya kita sendiri sememangnya dibanjiri dengan Honda sub-kompak ini, jadi terbukti rakyat Malaysia menggemari HR-V ini kerana ia praktikal dan berbaloi. Tetapi bagaimana pula dari segi prestasi dan pengendalian untuk varian Hybrid?


 

Careta berbesar hati menerima pinangan untuk sesi pandu uji bersama para pengamal media yang lain di Langkawi baru-baru ini. Hero yang disajikan adalah Honda HR-V Hybrid 1.5L DOHV i-VTEC atau nama sinonimnya adalah Hybrid i-DCD. Di negara kita sendiri, Honda telah mengeluarkan beberapa model Hybrid, bermula dari Honda Civic Hybrid, Honda Insight  dan selang beberapa tahun kemudian Honda City, Jazz varian hibrid dan kini segmen SUV pula, iaitu HR-V Hybrid kerana Honda pasti ia mempunyai pelanggan yang mementingkan alam semulajadi dan yang paling penting penjimatan penggunaan bahan api.

 


Honda HR-V Hybrid 1.5L DOHC i-VTEC ini bukanlah penawaran dengan spesifikasi paling tinggi model berkenaan. Ini kerana, daripada empat varian yang ditawarkan (semuanya dengan pilihan enjin 1.8L sama seperti sebelum ini), versi hibrid berada di tangga kedua di bawah varian HR-V RS yang datang dengan senarai kelengkapan dan kemasan lebih tinggi berbanding model hibrid. Dua lagi varian ialah V dan yang paling rendah, E.

 

 

Kenapa dan mengapa Honda Malaysia tidak meletakkan varian hibrid ini dengan penawaran spesifikasi yang tertinggi sepertimana jenama lain lakukan? Pada pendapat kami, ini adalah tindakan yang bijak dari Honda Malaysia kerana sekiranya ia di kategorikan sebagai varian tertinggi, pastinya harganya juga menjadi yang tertinggi dan menjadikan angka jualan untuk kenderaan hibrid malap dan tidak memberangsangkan. 
 

 

Perbezaan utama di antara HR-V Hybrid dan versi enjin petrol adalah dari penggunaan enjin kenderaan itu sendiri; enjin petrol 1.8L dan enjin 1.5L DOHC i-VTEC, iaitu enjin yang sama digunapakai pada Honda City dan Jazz Hybrid. Walaupun sama tetapi tidak serupa kerana ciri suntikan terus tidak ada di model dua model tersebut dan ini memberikan daya output yang lebih tinggi. 

 

Unit enjin ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 132 PS pada 6,000 rpm serta tork sebanyak 156 Nm pada 6,600 rpm. Dan disebabkan ia menggunakan sistem hibrid, janaan kuasa enjin turut dibantu oleh motor elektrik; ia menyediakan kuasa tambahan 29.5 PS dari 1,313 rpm hingga 2,000 rpm serta 160 Nm tork dari sifar hingga 1,313 rpm.

 

engine bay

 

Gabungan kedua-dua unit janaan kuasa ini memberikan kuasa keseluruhan yang dimiliki ialah sebanyak 152 PS dan 190 Nm tork. 

 

Sekali gus ia menyamai janaan kuasa yang biasanya dihasilkan oleh enjin 2.0L dan kerana itu Honda HR-V Hybrid ini mempunyai output kuasa yang paling tinggi di antara kesemua empat varian dalam penawaran terbarunya termasuk mendahului janaan kuasa enjin 1.8L menurut kenyataan dari pihak Honda sendiri.

 

 

Honda HR-V Hybrid ini juga didatangkan dengan transmisi klac berkembar (DCT) 7-kelajuan. Ini merupakan satu lagi faktor perbezaan di antara versi hibrid daripada versi biasa yang menggunakan kotak gear jenis CVT. 


Rumusan yang boleh kami nyatakan adalah secara keseluruhan ia lebih responsif dan penukaran gear dilakukan dengan begitu 'smooth' atau lancar tanpa daya 'sentakan' atau terhenjut-henjut.  

 

side look

 

Oleh itu, HR-V Hybrid ini sememangnya lain dari model hibrid yang terdahulu, perbezaan yang ketara jika dibandingkan dengan varian petrol. Ia mempunyai prestasi dan personaliti tersendiri, sekali gus berganjak menaiki ke tahap yang lebih tinggi dan berbaloi untuk dimiliki.

 

Perbandingan angka penjimatan bahan api di antara varian hibrid dan petrol adalah seperti dibawah:

No Varian L/KM
1. HR-V Hybrid 4.4L/100km
2. HR-V Petrol RS 6.6L/100km
3. HR-V Petrol V & E 6.5L/100km

 

Jangan salah faham, ia bukan sebuah kenderaan yang dibina untuk berentap dengan Ferrari atau Lamborghini tetapi ia lebih mementingkan keselesaan, praktikaliti dan bersesuaian untuk sebuah keluarga kecil pada harga mampu milik.

 

 

Ramai yang masih gerun dengan bateri kenderaan hibrid, rata-rata disajikan dengan cerita 'ia mahal' dan 'kerap rosak'. Namun pihak Honda Malaysia telah menyahut cabaran ini dan memberikan jaminan lapan tahun untuk menggantikan bateri Lithium-Ion ini sekiranya ia gagal berfungsi. Dan selepas tamat tarikh jaminan, harga bateri ini adalah pada kadar RM6,064 (harga diskaun buat masa ini), itu pun masih belum ada rekod yang ada mengalami permasalahan bateri ini di negara kita sendiri.

 

Sekilas pandang, sememangnya varian hibrid ini sama sahaja dengan varian V dan E yang dikemas kini dengan gril baharu beserta bar krom, lampu depan dan bampar baharu, dan kemasan jalur krom di bahagian lampu belakang. Semua varian HR-V didatangkan standard dengan butang penghidup pintar (push start button), penyaman udara automatik, lampu depan automatik dengan lampu siang (DRL), kawalan jelajah, pedal syif, HDMI dan palam USB, empat pembesar suara dan kamera belakang multi sudut.

 

Kami rasakan bahawa lampu hadapan varian ini didatangkan dengan jenis halogen dan lampu kabus mentol ini perlu diganti dengan lampu projector supaya lebih menarik. 
 

 

Bahagian kabin pula, paparan sistem audio bersaiz 6.8 inci dan segalanya berfungsi di hujung jari anda. Ruang kabin yang kemas tetapi tidak kelihatan terlalu ekslusif dan paling penting tidak terlalu 'plastik'.

 

Rim aloi di tayar pula didatangkan dengan dua tona bersaiz 17-inci. Paling menarik adalah, anda tidak sedar apabila enjin dihidupkan kerana ia senyap dan tiada bunyian luar yang masuk ke dalam kabin, yang membawa maksud bahawa kadar NVH model ini sangat rendah dan anda tenang mendengar lagu-lagu kegemaran anda.
 

 

Dengan cuma tertera perkataan "Hybrid" di belakang jentera ini dan sekilas pandang tidak berbeza dengan varian yang lain tetapi jangan gusar kerana anda masih boleh mengubahnya tanpa menyentuh bab waranti melalui penambahan pakej aksesori yang ditawarkan agar ia nampak lebih sporty dan 'garang'.

 

"No car is perfect", menyentuh bab ini, kekurangan pada kenderaan ini adalah pada kadar minimal, seperti ruang boot yang sedikit kecil berbanding varian petrol sepenuhnya kerana ia dilengkapi dengan bateri Lithium-Ion yang diletakan di bawah tempat duduk penumpang.

 

Namun sekiranya anda melipat bahagian kerusi, ia masih mampu mengisi sebuah basikal apatah lagi dengan susunan beg-beg secara teratur, ia masih melebihi ruang boot Mazda CX-3 dan Toyota C-HR.

 

Ini dibuktikan semasa kami berada di Langkawi dan ditunjukan cara melipat kerusi dengan betul dan bagaimana anda boleh memanafaat ruang boot HR-V Hybrid ini.

 

Kami juga inginkan slot USB lebih dari satu dan pilihan untuk dilengkapi dengan Honda Sensing atau sekurang-kurangnya "Lane Departure Warning".
 

boot hrv hybrid

 

 

 

Harga untuk sebuah HR-V Hybird adalah RM120,800 tanpa insuran dan ia adalah satu-satunya model dari Segmen SUV hibrid yang berharga mampu milik seperti ini. Kami sarankan agar anda memandu uji sendiri dan rumuskan perbandingan dari segi prestasi, keselesaan dan penjimatan bahan api. 

 

Setelah seharian bersama HR-V Hybrid ini, kami berikan markah lulus dengan kepujian walaupun bukan cemerlang.

 

*Gambar-gambar adalah dari koleksi Honda Malaysia dan Careta.my

group pix

 

Vlog ringkas tentang Honda HR-V RS disertakan disini bersama video ringkas dari pengamal media tentang Honda HR-V Hybrid ini:

 

 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, "Honda…
Berita Global
Fasiliti yang dibina atas tanah berkeluasan 2.56 juta meter persegi ini mempunyai bilangan pekerja…
Berita Domestik
Sebelum ini kami pernah mendengar khabar angin dari negara jiran yang mendakwa Honda Jazz 2020…