PANDU UJI: Honda City Sport Hybrid - Sedan impian rakyat Malaysia!

oleh Mohamad Hanif|
Menjelang Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, penulis telah diberikan peluang oleh Honda Malaysia untuk membawa pulang sebuah Honda City Sport Hybrid ke kampung halaman.

Bersama dengan kereta hibrid selama 10 hari ini digunakan oleh penulis untuk menguji sejauh mana tahap kesukanan (Sport) yang ditawarkan oleh jentera ini, disamping menilai tahap penjimatan yang mampu diberikan oleh sistem hibrid Honda City ini.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Sebut pasal kereta hibrid, rata-rata ramai yang terbayangkan kereta-kereta seperti Toyota Prius dan Honda Insight yang hadir dalam bentuk lima pintu hatchback (penulis lebih menggemari terma aeroback) aerodinamik tapi membosankan untuk lebih penjimatan bahan api. 
 


Namun, apabila penulis memandu kereta Honda City Sport Hybrid ini pulang ke kampung halaman, ramai yang terkejut apabila diterangkan kereta ini merupakan sebuah kereta hibrid yang dijual secara rasmi oleh Honda Malaysia. 

Selain daripada beberapa lencana Hybrid di bahagian sisi dan belakang kereta, rata-rata menyangka kereta ini masih merupakan sebuah Honda City biasa yang banyak dilihat di atas jalan. 

Dijual pada harga RM89,200.00, ini merupakan kereta hibrid yang paling mampu milik yang boleh dibeli oleh rakyat Malaysia yang selalu menginginkan sebuah kereta yang tampak mewah, jimat minyak dan harga yang murah. 

Berapakah jimatnya Honda City Sport Hybrid ini?

 


Berdasarkan pemanduan meliputi kawasan trafik yang sibuk, jalan luar bandar, serta beberapa lebuhraya sekitar ibu negara dan PLUS, bacaan penggunaan bahan api mencatatkan 20.7 km/liter atau bacaan yang paling mudah untuk setiap 100 km, Honda City Sport Hybrid ini hanya menggunakan sekitar 4.8 liter bahan api sahaja. 

Pencapaian ini sebenarnya banyak dibantu oleh sistem hibrid yang membenarkan hanya kuasa elektrik sahaja digunakan untuk menggerakkan kereta ini, terutamanya di dalam kesesakan trafik. 

 


Kuasa daripada enjin 1.5 liter kitaran Atkinson itu hanya akan digunakan sekiranya sistem komputer mengesan kekurangan kuasa yang diperlukan oleh motor elektrik, ataupun ketika bateri sudah hampir kehabisan kuasa. 

Sistem bateri pada Honda City ini membenarkan pemanduan di dalam mod elektrik sahaja sejauh 2 km sebelum enjin 1.5 liter tersebut dihidupkan bagi mengecas kembali kuasa yang kehilangan ketika menggunakan mod elektrik tadi. 

Malah, gegaran yang terhasil ketika sistem Start/Stop memulakan operasi hampir tidak terasa oleh pemandu mahupun penumpang di dalam kabin, menghasilkan perjalanan yang serba selesa ketika di dalam bandar. 
 


Ketika di lebuhraya, penulis lebih menggemari mod Cruise Control pada butang di sebelah kanan supaya kaki kanan boleh berehat dengan tenang, dan hanya perlu bersedia untuk memotong spesis yang suka membawa perlahan di lorong kanan dan tengah. 

Bercakap mengenai kuasa memotong dan mendaki bukit, Honda City Sport Hybrid ini sememangnya telah dikhaskan untuk melakukan kerja sedemikian dengan mudah tanpa enjin bekerja keras memerah tenaga dengan gabungan kuasa daripada enjin 110 PS/134 Nm tadi serta motor elektrik yang menghasilkan 30 PS/170 Nm. 

Secara ringkasnya, enjin 1.5 liter ini berupaya menghasilkan 137 PS dan 170 Nm daya kilas, kuasa setanding yang dihasilkan oleh enjin yang lebih besar (dalam kes ini, Civic 1.8L).  
 


Kuasa yang diberikan tidak putus-putus, malah penulis tidak perlu berdiri tegak bagi mengerahkan kereta pergi dengan lebih cepat ketika mendaki bukit di Hulu Langat. 

Memandangkan penambahan berat sebanyak 69 kg disebabkan oleh sistem bateri, Honda telah menala kembali sistem gantungan supaya mampu menampung beban tambahan, di samping tidak mengorbankan keselesaan para penumpang ketika perjalanan merentasi jalan kampung. 

Di sini penulis dapat menilai pemanduan sporty yang diberikan oleh Honda City Sport Hybrid ini, dan penulis mengakui ia memang lebih mudah untuk 'dipaksa' meratah selekoh di samping kurang olengan badan dirasakan. 

Bukan sahaja lincah di kawasan berbukit, malah Honda City ini juga sebenarnya lincah ketika merentasi kawasan bandar dan mencelah dengan sopan ketika trafik sibuk. 

 


Pertukaran nisbah gear yang dilakukan oleh transmisi Intelligent Dual Clutch Drive (i-DCD) itu sememangnya lancar dan tiada sentapan gear langsung dirasakan, walaupun di dalam mod S.

Untuk kebanyakan pemanduan, penulis lebih menggemari mod D untuk apa jua keadaan oleh kerana punat S itu terletak agak jauh memerlukan penulis membongkok seketika untuk mengaktifkan mod S. 

Mungkin ada baiknya sekiranya pihak Honda mengalihkan punat tersebut pada stereng berdekatan dengan punat Cruise Control. 

 


Menjengah ke dalam kabin, ia masih sama seperti varian Honda City yang lain, apa yang membezakannya hanyalah panel meter rpm dan meter info telah digantikan dengan skrin LCD sepenuhnya bagi menunjukkan beberapa info penting seperti penggunaan bahan api, status kenderaan, odometer dan sebagainya. 

Meter rpm pula telah 'dihilangkan' secara lalai dan boleh diakses menerusi butang di bahagian bawah kanan stereng, ataupun sekiranya pemandu mengaktifkan mod S. 

Secara peribadi, penulis kurang menggemari sistem kawalan iklim yang terlalu moden menggunakan mod sentuhan oleh kerana tumpuan pemanduan terpaksa dialihkan seketika untuk menukar tetapan suhu, terutama ketika memandu bersendirian. 

 


Sistem hiburan yang didatangkan dengan enam buah speaker ini menjalankan tugas memecahkan kesunyian ketika pemanduan dengan baik, namun oleh kerana masalah silau disebabkan orientasi skrin yang terlalu mengikut reka bentuk papan pemuka, penulis jarang mengakses tetapan yang terdapat di dalam sistem tersebut. 

Malah, imej yang terhasil oleh kamera undur juga menjadi sedikit kelam dan agak terganggu disebabkan faktor sudut skrin tadi serta tetapan kamera yang memberikan imej yang tidak natural. 

 


Di samping penawaran ruang kabin yang luas tipikal sebuah Honda, penambahan pek bateri yang terletak di ruang simpanan tayar tidak menjejaskan 536 liter ruang bagasi yang mampu memuatkan apa sahaja barangan peribadi untuk pulang ke kampung halaman. 
 


Sekiranya anda mengalami masalah kebocoran tayar ketika pulang beraya, Honda Malaysia ada menyertakan kit tampal tayar jenis cecair serta pam udara 12V yang boleh dioperasikan menerusi soket kuasa yang terdapat di dalam kabin.
 


Setelah 10 hari menggunakan kereta Honda City Hybrid ini, penulis dapat menyimpulkan ia sebuah jentera hibrid yang amat berbaloi untuk dimiliki pada julat harga di bawah RM100,000. 

Seperti nama yang dicadangkan, ia sebuah Honda City yang menawarkan pemanduan yang Sport(y), dan tambahan sistem Hybrid yang memberikan lebih penjimatan bahan api sesuai untuk kegunaan harian. 

Jimat minyak, serba mewah, luas, dan moden dan harga yang mampu milik. Bukankah ini kenderaan terbaik yang dicari oleh majoriti rakyat Malaysia?

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Pada tahun 2014, Honda Malaysia telah menjadi perintis dalam memperkenalkan teknologi hibrid…
Berita Domestik
Pada tahun ini Honda Malaysia telah melancarkan lima buah model yang kesemuanya mendapat sambutan…
Uncategorized
Honda Malaysia hari ini telah meraikan penghantaran Honda City Sport Hybrid i-DCD kepada pelanggan…