Pandu Uji: Haval H6 HEV - King baru SUV segmen C ?

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Beberapa hari lepas penulis bersama beberapa rakan media lain telah berpeluang untuk menguji sebuah lagi pencabar baharu bagi SUV segmen C, iaitu Haval H6 HEV yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Pandu uji bersama Haval H6 HEV kali ini membawakan perjalanan sejauh 400 km sehala atau 800 km dua hala yang bermula dari GWM USJ Superhub menuju ke Desaru, Johor.

Untuk pengetahuan, tempahan bagi Haval H6 HEV telah dibuka awal bulan ini dengan anggaran harga bermula di bawah RM145,000 sahaja!

Hanya satu varian yang akan mula ditawarkan iaitu Ultra, mampukah pendatang baharu ini memberikan saingan kepada pencabar seperti Proton X70, Honda CR-V dan Tiggo 7 Pro?

Berikut merupakan ulasan yang mungkin boleh memberikan anda jawapan.

 

Harga SUV segmen B untuk sebuah SUV segmen C

2

 

Harga sememangnya memainkan peranan penting untuk membolehkan sesebuah jenama bersaing terutama sekali dengan kebanjiran pelbagai model dalam segmen yang sama.

Untuk pasaran Malaysia, GWM akan mula menawarkan Haval H6 HEV dengan satu varian sahaja iaitu Ultra dengan harga dijangka bermula di bawah RM145,000.

Jika kita sebut tentang ciri premium, Haval H6 HEV pasti bakal memberikan saingan kuat sebagai SUV "best value for money" dengan harga yang ditawarkan.

 

Antara SUV segmen C paling berkuasa dalam pasaran

3

 

Haval H6 HEV dikuasakan nadi 1.5 liter 4 silinder turbo yang menghasilkan 150 PS dan 230 Nm, di mana ia dipadankan dengan motor elektrik yang menghasilkan 130 PS dan 300 Nm.

Motor elektrik itu pula terletak di dalam transmisi 2 kelajuan DHT atau Dedicated Hybrid Transmission, jadi gabungan enjin dan motor elektrik itu menghasilkan kuasa sehingga 243 PS dan 530 Nm.

Seperti kebanyakan model HEV,  motor elektrik pada Haval H6 HEV menjadi pembekal kuasa utama, sementara enjinnya pula bertindak sebagai kuasa sokongan pada kelajuan tinggi sambil mengecas bateri berkapasiti 1.8 kwj.

Untuk sebuah SUV segmen C, daya kilas sehingga 530 Nm yang dihantar ke roda hadapan itu sememangnya sangat membantu terutama sekali semasa memotong kenderaan lain dengan muatan penuh.

Untuk purata penggunaan minyak, ia mampu mencapai sekitar 7.2 km/L dengan purata kelajuan yang tidak mengikut had laju kebangsaan.

 

Pengendalian yang cukup selesa untuk mereka yang berkeluarga

4

 

Haval H6 HEV dilengkapi dengan tetapan suspensi McPherson di hadapan dan jenis multilink di bahagian belakang yang ditala khusus untuk keadaan jalan di Malaysia.

Bagi mereka yang mencari sebuah SUV untuk memenuhi keperluan seharian bersama keluarga, ini sememangnya antara SUV yang patut anda pertimbangkan.

Pastinya untuk lebih ke arah keselesaan, aspek prestasi harus dikorbankan sesuai sebagai sebuah SUV, di mana semasa menghadapi selekoh olengan badan (body roll) yang dihasilkan sangat terasa.

 


Ruang dalaman yang premium, tapi...

5

 

Seperti kebanyakan jenama China, rekaan ruang dalam Haval H6 HEV ini turut mengikut trend terkini dengan rekaan mewah yang premium.

Bahagian kabin dilengkapi kluster instrumen bersaiz 10.25 inci dibahagian pemandu bersama paparan head-up, sementara bahagian tengah datang dengan skrin instrumen bersaiz 12.3 inci.

Pemanduan sejauh lebih 800 km secara keseluruhan membolehkan penulis berkata bahawa Haval H6 HEV ini sememangnya sebuah SUV segmen C yang sangat selesa.

Tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan dengan gaya semi-bucket itu boleh dikatakan amat selesa untuk perjalanan jauh tanpa sakit-sakit badan.

 

5

 

Pada bahagian barisan kedua juga, kedudukan dan ruang kaki sangat luas untuk penulis dengan ketinggian 170 cm.

Hampir semua aspek pada bahagian dalam amat memuaskan, tetapi...Ada dua perkara yang menjadikan pengalaman memandu kurang enak.

Pertama sekali sudut roda stereng yang agak janggal bagi penulis dengan kualiti yang terasa murah dan tidak solid untuk dipegang.

Kedua, ketiadaan butang kawalan fizikal bagi penghawa dingin yang sememangnya menyusahkan semasa pemanduan.

 

Sarat dengan ciri bantuan pemanduan terkini

7

 

Salah satu aspek yang membolehkan sesebuah model untuk berdaya saing adalah tahap dan ciri keselamatan yang ditawarkan.

Haval H6 HEV hadir dengan 6 beg udara dan pelbagai ciri lain termasuk kamera 360 darjah dan sistem bantuan parkir.

Ia turut dilengkapi sistem ADAS Tahap 2 yang merangkumi pelbagai ciri bantuan pemanduan terkini, antaranya Secondary Collision Mitigation (SCM), Cornering Brake Control (CBC), Roll Over Mitigation (RMI), Hill Descent Control (HDC), Front Collision Warning, Rear Collision Warning dan banyak lagi.

Bakal dilancarkan dalam masa terdekat, para pelanggan yang menempah Haval H6 HEV sebelum pelancarannya akan ditawarkan dengan waranti enjin selama 10 tahun atau 1,000,000 km.

Sistem HEV, termasuk transmisi DHT, pek bateri dan komponen hibrid lain juga akan didatangkan dengan waranti selamat 8 tahun atau 1,000,000 km.

 

Berita Berkenaan

Pelancaran
Hadir sebagai pencabar baharu dalam SUV segmen C, Haval H6 HEV tampil dengan gabungan teknologi…