Pandu Uji: Geely Emgrand EV300 - Sesuaikah untuk Proton?

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Dalam masa kita rakyat Malaysia menantikan pelan tenaga negara (nation's energy roadmap) diumumkan secara rasmi, banyak aktiviti nampaknya membuktikan bahawa kerajaan lebih ke arah Electric Vehicle atau Kenderaan Elektrik (EV).

Antara sebabnya ialah ia lebih mudah kerana teknologi EV sudah mula digunakan meluas di banyak negara maju dan ini akan memudahkan Malaysia menerima dengan pantas perubahan ini kerana teknologi itu sudah wujud.

Ia juga merendahkan kos, dan itu paling penting. Namun begitu, syarikat automotif negara juga perlu dipastikan sudah bersedia untuk menerima teknologi itu.

Umum  mengetahui bahawa Perodua memang sudah lama bersedia, asalkan rakan teknikalnya sudah mempunyai teknologi tersebut di Jepun.

 

Modenas C-Tric
Sebelum dilancarkan, penulis sudah menunggang uji model Ctric ini untuk ujian dan penyelidikan. Sayang kerana zaman itu, bahagian R&D Modenas mempunyai ramai tenaga-tenaga berkaliber dan kebanyakan dari mereka sudah berhijrah ke syarikat lain.

 

Untuk syarikat motosikal nasional kita pula, mereka pernah menghasilkan produk EV sebelum ini. Walaupun kurang berjaya di pasaran, usaha Modenas untuk menghasilkan motosikal CTric itu membanggakan.

Kini, Modenas mempunyai rakan teknikal dari India dan Taiwan dan untuk EV baharu, mereka mempunyai daya usaha yang tinggi untuk menjemput mana-mana negara untuk hadir dan masuk ke pasaran kita dengan mudah dan murah.

Bagi Proton pula, perjalanan EV mereka memang sedikit unik. Pengumuman akan projek EV sudah dilakukan beberapa kali dan hasil kajian sudah dipertontonkan di seluruh dunia namun walaupun sudah pelbagai pasukan pengurusan dan juga teraju bertukar, hasilnya masih di peringkat "krik-krik". 

Cengkerik.

Namun begitu, kini mungkin jawapannya sudah ada kerana rakan strategik Proton, Geely Auto sudah pun mempunyai model EV yang bukan di dalam peringkat kajian, tetapi telah dilancarkan dan memang sudah setahun berada di pasaran.

 

Emgrand EV300

 

Model Geely Emgrand EV300 ialah sebuah sedan dalam segmen C yang mempunyai ukuran 4,631mm (panjang), 1,789 mm (lebar) dan 2,650 mm (tinggi).

Sebenarnya Emgrand EV300 ini besar sedikit dari Preve dan kecil sedikit dari Honda Civic baharu.

Bentuk sedan tiga-kotak Emgrand EV300 ini sangat tradisional dan terus-terang dikatakan, nampak sedikit berusia.

 

Emgrand EV300 bontot

 

Walaupun lampu hadapan diberikan sentuhan modern lengkap dengan projektor dan LED light tube serta lampu belakang mirip Mercedes-Benz S-Class W221 atau Nissan Teana, bentuk keseluruhan sedan ini mengingatkan kami kepada zaman Kia Spectra dan Chevrolet Optra.

Bahagian kabin nampak lebih berseri di dalam gambar walaupun secara realiti, ia mungkin perlukan warna yang lebih nampak "mahal". Kualiti sebenarnya baik dan di sesetengah tempat, ia menggunakan bahan yang lebih premium seperti "soft-touch plastics" dan "textured surfaces".

 

Emgrand EV300 dalam

 

Perkara penting seperti stereng, pemegang pintu dan pedal terasa tegap tetapi tuil gear mungkin boleh menggunakan rasa yang lebin sedap dipegang.

Panel meter memang nampak canggih dan menarik cuma kerana ia dibina untuk pasaran domestik China, perkataan dalam bahasa Mandarin masih utama dan kami nampaknya perlu belajar Mandarin dalam masa terdekat. Sekiranya ada guru bahasa Mandarin wanita yang muda yang sudi membantu, sila hubungi kami.

 

Emgrand EV300 meter panel

 

Keluasan kabin tidak menjadi masalah kerana pasaran China menginginkan tempat duduk yang selesa, terutama di bahagian belakang yang mesti mempunyai ruang lega kaki yang panjang.

Walaupun ia sebuah EV, ruang tempat letak barang tidak menjadi masalah kerana barisan bateri diletakkan di bawah lantai.

Dari segi teknikal, ia menggunakan bateri lithium-ion berkuasa 41 KWh dan mempunyai kuasa maksimum setinggi 127 hp dan 240 Nm.

Bateri boleh dicaj penuh selama 13 jam jika menggunakan soket biasa di rumah tetapi dengan pengecaj pantas (fast charger), ia mengambil masa 45 minit untuk hampir penuh (lebih dari 90 peratus). 

 

Emgrand EV300 side

 

Jarak perjalanan dengan satu caj penuh dikatakan sejauh 300 km, namun secara realistik, Careta merasakan ia akan pergi sejauh 250 km dan itu pun sudah cukup untuk perjalanan seharian kita. Kepada yang berkata tidak cukup jauh untuk balik kampung, maka memang ia tidak direka untuk balik ke kampung. Buat masa sekarang, EV lebih untuk kegunaan urban harian.

Pandu uji kami berlangsung di satu jalanraya yang lurus lebih kurang tiga km berhampiran dengan Pusat Penyelidikan Geely di Hangzhou Bay, lebih kurang tiga jam setengah dari Shanghai.

Litar ujian Geely masih dalam peringkat pembinaan dan selama ini, Geely menggunakan litar-litar lumba dan litar-litar ujian di pusat penyelidikan asing untuk proses R&D.

Apapun, laluan tegak tiga km itu menjadi saksi akan prestasi Emgrand EV 300 ini. Di bawah ialah nota-nota kaki semasa kami memandu ujinya.

 

Emgrand EV300 front

 

- Pecutan terasa tegar dan sedar, dan dengan 240 Nm, nyata ia lebih laju dari Emgrand varian enjin petrol.

- Tujahan tork itu boleh didapati dalam apa-apa kelajuan. Ini memudahkan jika kita mahu memotong kenderaan -kenderaan lain seperti kenderan Taliban Kuning yang nakal.

- Tiada gegaran pada pedal kaki atau mana-mana bahagian di dalam kabin, Juga tidak ada bunyi berdesing (whizzing) atau bunyi berdengung (droning) bila pecutan dilakukan. Segala gegaran dan getaran berjaya ditapis dari masuk ke dalam kabin. Hanya ada seadikit "tyre roar" dan "wind noise" (gema tayar dan deruan angin).

 

Emgrand EV300 front three

 

- Jalanraya selurus bendul itu mempunyai beberapa speed humps (orang Malaysia panggil bamper atau paling haru, bumping) dan juga penutup lubang (manhole cover) yang dibenci oleh rakan kita Lando Zawawi dan kesemua penunggang motosikal tempatan. Emgrand EV300 melanda segala kekusutan itu dengan cemerlang.

- Tiada bunyi yang terlalu kasar dan tidak terasa sistem gantungan yang terlalu keras. Namun begitu, oleh kerana ia sebuah EV, sistem gantungan itu memang sedikit keras dari varian enjin biasa kerana bateri lebih berat. Bagi sebuah EV, Careta rasa sistem gantungan Emgrand EV300 ini cemerlang berbanding dengan beberapa EV Eropah yang pernah dipandu uji.

- Kawalan stereng tidak terasa seperti senyuman wakil penjual alat mekap di pasaraya. Ia telus dan direct, tidak fake. Apapun, jangan bandingkan ia dengan stereng sebuah Lotus pula. Namun harus ingat juga, kami tidak dapat melakukan pemanduan berkelajuan tinggi di selekoh ya. Tak tahulah pula kalau-kalau ada penulis lain yang lebih handal boleh membaca kenderaan dalam keadaan jalan setegak tiang TNB ini,

 

Emgrand EV300 cabin again

 

- Satu perkara di China yang sama dengan Malaysia ialah suhunya. Walaupun China luas dan ada tempat-tempatnya mempunyai suhu yang sangat sejuk, namun di kawasan Hangzhou, ia panas kering. Bayangkan baju kami berjeruk basah kerana panas dan kawasan pandu uji betul-betul dilakukan di tepi jalan di kawasan baharu yang tiada berpokok. Malah tiupan angin sepoi-sepoi Bahasa Mandarin itu juga membawa bahang dan bukan kedinginan. Namun lima minit di dalam Emgrand EV300, pendingin hawanya terus meredakan kekusutan di luar dan dalam pakaian kami. Teknologi pendingin hawa Geely nampaknya setaraf dengan Proton!

- Kami minta Nur Balkish Hood, Ketua Bahagian Komunikasi Proton untuk memandu uji Emgrand EV300 sementara penulis duduk di belakang. Ujian "taukey" ini membuktikan tempat duduk belakang turut selesa dan tiada lambungan ketika dipandu laju (siapa kata wanita sekarang lembab di belakang stereng ya). Paling penting, Nur Balkish berkata ia tidak ada beza dari kenderaan varian petrol dan ia sangat-sangat pantas!

 

Emgrand EV300 charging port

 

Pastinya pandu uji yang jauh lebih lama diperlukan bagi mendapat gambaran yang lebih baik akan produk EV dari Geely ini namun yang pasti, Geely sudah mempunyai teknologi EV dan sudah berada di atas jalanraya. 

Pelaburan mereka dalam EV mendatangkan hasil dan kami pasti rakan kongsi mereka bukan dari syarikat penyelidikan butik Frazer-Nash dari UK.

Apapun, sekiranya pihak kerajaan mahukan EV di Malaysia, berikan Proton dan Geely setahun untuk mengubah kembali Emgrand EV300 ini agar lebih berselera dipandang (secara jujur, Emgrand ini dibina untuk pasaran domestik China dan kerana itu bentuknya khusus untuk pembeli di sana) dan kami pasti, ia akan Menawan Keluarga Bahagia.

 

Emgrand EV300 cabin general

 

 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh CEO Proton, Dr. Li Chunrong dalam satu majlis sambutan…
Berita Global
Beliau mendedahkan bahawa Geely Auto akan menggabungkan platform Cell-to-body (CTB) generasi baharu…
Berita Global
Kini, Geely baru sahaja melancarkan EV pertama di bawah jenama mereka sendiri iaitu Geely Galaxy E8…