Tampan daripada XLT biasa
Daripada segi paras rupa, tidak ada banyak beza berbanding dengan XLT, kecuali model ‘Plus’ ini dipasang terus dengan lampu hadapan automatik jenis projektor HID lengkap dengan DRL LED yang memang menarik.
Roda aloi untuk XLT Plus ini juga lebih besar, 18-inci dan ada pelekat bertulis Limited di kiri dan kanan untuk memberitahu rakan kelab anda yang XLT anda ada ‘Plus’.
Dalam erti kata lain, ia hampir sama dengan Wildtrak kecuali tiada sport-bar Wildtrak dan tiada pelekat sisi dan belakang Wildtrak. Oh ya, bamper belakang juga besi berkrom, bukan kelabu metalik seperti Wildtrak.
Kabin lebih mirip Wildtrak
Lompat ke dalam ruang dalam dan anda akan lihat papan pemuka XLT Plus sudah lebih hampir kepada varian Wildtrak.
Selain dari skrin sesentuh 8-inci dengan sistem SYNC 3 lengkap dengan Apple CarPlay dan Android Auto, XLT Plus juga mempunyai dua skrin TFT di panel meter yang sama seperti Wildtrak.
Yang kurang ialah warna papan pemuka yang lebih biasa, tempat duduk balutan kulit hitam tanpa jahitan benang oren ala Wildtrak dan kemasan kelabu terang (Wildtrak menggunakan warna kelabu gelap).
Sebenarnya, jika anda tidak suka warna-warna oren pada Wildtrak yang nampak lebih agresif, kabin XLT Plus ini nampak lebih "eksekutif".
Tempat duduk pemandu juga menggunakan kawalan manual, bukan elektrik.
Dari segi teknikal?
Inilah perbezaan paling besar untuk XLT Plus ini apabila dibandingkan dengan XLT biasa dan Wildtrak.
Kali ini, Ford memberikan beberapa jenis enjin dan talaan yang berbeza, khusus untuk menunjukan ini ialah trak pikap teknologi Eropah - bukan Asia.
Jadual di bawah menunjukkan perbezaan enjin-enjin pada Ford Ranger.
Varian |
Enjin |
Kuasa Maksimum |
Daya-kilas Maksimum |
Transmisi |
Ranger XLT Auto 4X4 RM116,888 |
2.2L 4-silinder turbodiesel dengan VGT dan Commonrail Direct Injection (rantai pemasa)
|
160 PS @ 3,200 rpm |
385 Nm @ 1,600 – 2,600 rpm |
6-kelajuan automatik (Limited Slip Differential) |
Ranger XLT Plus 4X4 RM124,888 |
2.0L 4-silinder turbo tunggal diesel dengan VGT dan Commonrail Direct Injection (tali sawat pemasa)
|
180 PS @ 3,500 rpm |
420 Nm @ 1,750 – 2,500 rpm |
10-kelajuan Automatik dengan Selectshift (Limited Slip Differential)
|
Ranger Wildtrak 4X2 RM134,888 |
2.0L 4-silinder turbo tunggal diesel dengan VGT dan Commonrail Direct Injection (tali sawat pemasa)
|
180 PS @ 3,500 rpm |
420 Nm @ 1,750 – 2,500 rpm |
10-kelajuan Automatik dengan Selectshift (Limited Slip Differential)
|
Ranger Wildtrak 4X4 RM144,888 |
2.0L 4-silinder BiTurbo diesel dengan VGT dan Commonrail Direct Injection (tali sawat pemasa)
|
213 PS @ 3,750 rpm |
500 Nm @ 1,750 – 2,000 rpm |
10-kelajuan Automatik dengan Selectshift (e-Locking Rear Differential)
|
Ranger Raptor 4X4 |
2.0L 4-silinder BiTurbo diesel dengan VGT dan Commonrail Direct Injection (tali sawat pemasa)
|
213 PS @ 3,750 rpm |
500 Nm @ 1,750 – 2,000 rpm |
10-kelajuan Automatik dengan Selectshift (e-Locking Rear Differential)
|
Enjin pada XLT sebenarnya ialah dari enjin 2.2L yang lama.
Untuk model Ranger XLT Plus dan Wildtrak 4X2 baharu, keduanya menggunakan enjin hijau generasi terkini Ford dengan kapasiti 1,966 cc dan turbo tunggal.
Enjin yang sama juga digunakan untuk Wildtrak 4X4 dan Ranger Raptor, tetapi dengan dua unit pengecaj turbo (BiTurbo), dan ini memberikan tenaga yang jauh lebih tinggi.
Kesemua varian yang menggunakan enjin baharu 2.0L itu juga menggunakan transmisi yang sama – automatik 10-kelajuan dengan Selectshift.
Pemanduannya bagaimana?
Memang terasa jauh berbeza tenaga dan prestasi Ranger XLT Plus bila dibandingkan dengan Ranger XLT enjin 2.2L yang lama.
Ungkapan langit dengan bumi memang sesuai digunakan kenapa perbezaan 20 PS dan 35 Nm itu sangat besar.
Pecutan ketika hendak memotong nyata lebih tegar dan untuk mereka yang berjalan jauh, enjin terasa seperti rileks sahaja walaupun kapasiti lebih rendah. Kami syak 10 nisbah dalam transmisi baharu ini memang menjadi punca enjin baharu itu boleh lebih santai.
Ini penting kerana enjin yang sentiasa bekerja keras akan cepat rosak sementara enjin yang bersahaja sentiasa akan berada dalam keadaan tidak tertekan. Sama seperti manusia – lebih tekanan, lebih tinggi risiko untuk mendapat penyakit yang mengakibatkan kematian.
Dari segi sistem gantungan, Ranger XLT Plus dan generasi baharu ini terasa lebih tegap di atas lebuhraya berbanding dengan trak-trak pikap yang lain.
Ini jelas dapat dirasakan ketika memandu di Lebuhraya KL-Karak, di mana Ranger menunjukan sikap neutral ketika berada di selekoh. Cubaan untuk membrek di tengah selekoh juga melihat bagaimana sistem gantungan menerima peralihan berat dari belakang ke hadapan dengan baik, tanpa sikap “understeer” yang menghantui pesaingnya yang dipasang di Malaysia itu.
Walaupun ia masih menggunakan spring daun (leaf spring) di belakang, jurutera-jurutera Ford masih dapat memastikan pengendalian Ranger ini yang terbaik di dalam kelasnya.
Ini ditambah pula dengan kesenyapan kabin dan ciri-ciri modern XLT Plus yang menjadikan trak pikap ini sungguh selesa.
Memang, tetapi dengan sensor serta kamera undur, ia semudah memandu sedan segmen D sahaja. Malah ujian kami membuktikan pemandu wanita tiada masalah untuk parkir Ranger ini di kompleks membeli belah.
Siapa pula yang terbaik untuk menggunakannya?
Kelebihan teknologi modern seperti sambungan Apple CarPlay atau Android Auto memang berguna bagi mereka yang menggunakan telefon pintar mereka dalam kerja harian.
Memang ini ialah trak yang lebih sesuai untuk pengurus-pengurus besar yang mahukan sebuah kenderaan yang lasak untuk pemanduan “off-road” sekali sekala.
Bagi pengguna “lifestyle” atau gaya hidup aktif, Ranger XLT Plus adalah umpama kereta sedan segmen D yang lebih praktikal. Ia selesa seperti sebuah SUV, lebih bertenaga dan jauh lebih lasak.
Enjin 2.0L itu juga menjadikan cukai jalan XLT Plus lebih rendah dari XLT biasa ataupun Ranger sebelumnya yang menggunakan enjin 2.2L.Bukankah ini yang dipanggil bijak?