Pandu Uji Ferrari GTC4Lusso - keramat nombor empat!

oleh HEZERI SAMSURI|
Ferrari memang dikenali sebagai jenama supercar dan jika anda mahukan sebuah kereta keluarga, jarang Ferrari tersenarai.

Namun begitu, Ferrari tahu bahawa memang ada segelintir pemiliknya yang mahukan sebuah kereta yang boleh dikongsi dengan ahli keluarga atau rakan-rakan.

Dan kerana Ferrari tidak tergamak lagi untuk membuat sebuah SUV, maka model seperti GTC4Lusso ini dihasilkan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Gantian kepada model FF yang juga membawa konsep yang sama, antara ciri menarik GTC4Lusso ini ialah ia mengekalkan lagi rekabentuk shooting-brake ala wagon. 

Malah, GTC4Lusso nampak lebih wagon dari FF.

Jika FF nampak seperti sesuatu yang direka selepas semalaman bersama kawan bermain snooker dan selepas itu mengeteh di mamak Seksyen 222, rekabentuk GTC4Lusso nampak lebih kemas.

 

 

Bahagian belakang diberikan penekanan yang lebih berat - dengan lampu brek berkembar yang menggiurkan dan empat corong ekzos tersembul dari bahagian bawah.

Spoiler bumbung juga kemas, selari dengan spoiler di bahagian bawah cermin belakang.

Jika ada yang bertanya kenapa bahagian belakang GTC4Lusso ini menegak dan tidak tirus, jawapannya ialah ini adalah konsep shooting brake dan bentuk itu memberikan ruang yang cukup untuk dua penumpang dewasa di tempat duduk belakang. 

 

 

Penulis mempunyai ketinggian enam kaki dan susuk tubuh yang ganteng (100 kg) tetapi masih boleh duduk dengan selesa di dalam bucket seat di belakang itu.

Untuk ibubapa yang prihatin, jangan risau. Anda boleh memuatkan dua buah kerusi bayi atau kanak-kanak dengan sistem Isofix pun.

Ruangan but ialah sesuatu yang tidak begitu penting untuk Ferrari, tetapi bagi GTC4Lusso, anda boleh memuatkan barang seluas 450 liter. Jika tempat duduk belakang diturunkan, ruangan kargo menjadi 800 liter. 

Papan pemuka GTC4Lusso menerima beberapa elemen dari LaFerrari. Contohnya, corong pendingin hawa yang nampak seperti corong enjin jet pejuang. 

 

 

Sebenarnya, papan pemuka dan segala kelengkapan di dalam GTC4Lusso ini adalah jika tidak yang terbaik, tetapi yang paling cantik pernah penulis lihat untuk sebuah Ferrari.

Setiap sentuhan terasa premium, pilihan bahan yang digunakan nyata hanya ada satu objektif - untuk menunjukan ini adalah model termewah Ferrari.

Mutu dan penghalusan kerja tangan Ferrari di dalam persiapan kabin GTC4Lusso ini juga perlu dipuji. Segalanya nampak kemas dan teratur, tidak ada yang cela di mata dan kita tahu ia dipasang menggunakan tangan sepenuhnya.

 

 

Dari susunan carbon-fibre yang kemas, jahitan kulit yang sekata dan lurus serta kombinasi warna dan bahan, terasa seperti tidak mahu keluar dari kenderaan V12 tanpa turbo ini.

Teknologi terkini turut wujud agar penumpang tidak merasakan ia ketinggalan.

Skrin paparan ialah jenis touch-screen sebesar 10.25 inci - antara yang pertama untuk jenama ini sebenarnya.

Tak cukup dengan itu, tempat duduk penumpang hadapan turut mempunyai skrin sesentuh sendiri agar isteri atau teman wanita atau wanita misteri hidup anda boleh mengawal beberapa perkara dan juga melihat betapa laju anda sedang memandu. Unik dan ya, menarik. 

Mungkin nanti ada kereta biasa akan meniru stail itu.

 

 

Stereng GTC4Lusso ini juga baharu dan lebih mirip kepada stereng kereta Formula 1.

Ia dilengkapi dengan hampir kesemua kawalan yang anda perlukan untuk memandu - butang untuk lampu isyarat membelok, butang lampu hadapan, butang bilah pengelap hujan (wiper), butang mod pemanduan yang diberi nama "manettino" dan juga butang Start/Stop untuk enjin.

Tidak ada tombol gear kerana ia menggunakan paddle shifters 100 peratus. Untuk gear undur, ada butang R di konsol tengah. 

 

 

Pasti anda tahu masalah bamper hadapan tersagat bila melalui "speed hump" atau bonggol jalan, atau ketika masuk/keluar dari tempat parkir.

Supercar juga mempunyai masalah yang sama sebenarnya, cuma yang tidak sama ialah skirting fibre Satria anda berharga puluhan atau ratusan RM; untuk Ferrari dan supercar lain, bunyi terseret itu berharga ribuan, malah pulhan ribuan RM.

Untuk memastikan GTC4Lusso ini kekal praktikal, Ferrari memasang sistem motor elektrik yang boleh menaikan bahagian hadapan kereta ini. 

Oleh kerana ia panjang, Ferrari juga memastikan bahagian belakang dinaikkan sedikit agar ekzos tidak tersagat.

Anda cuma perlu ingat untuk menggunakan fungsi ini sahaja bila perlu. Jika dua kali anda terlupa, jual GTC4Lusso ini dan beli Myvi Kuning.

 

 

Enjin kekal V12 "normally-aspirated" atau n/a, bermakna ia tidak ada pengecas turbo atau supercharger (Ferrari juga ada GTC4Lusso dengan enjin 3.9L V8 Turbo).

Walaupun begitu, kuasa dipertingatkan dari 651 hp (pada FF) kepada 680 hp pada 8,000 rpm untuk GTC4Lusso ini. Pecutan 0 - 100 kmsj dilakukan dalam masa 3.4 saat sehingga jarum meter halaju menunjukan 335 kmsj, sahaja.

Kadar tork pula ialah pada 697 Nm @ 5,750 rpm tetapi hampir 80 peratus tork itu sudah boleh dirasai dari kelajuan putaran enjin serendah 1,750 rpm.

 

 

Untuk memastikan Ferrari station-wagon ini bergerak lurus dan tidak ke kanan menghala ke pembahagi jalan seperti Proton Iswara dengan enjin Galant VR4, jurutera-jurutera Itali mengekalkan sistem pacuan 4-roda dari Ferrari FF kepada GTC4Lusso ini.

Sebelum ada pelawak yang akan berkata kita boleh memandu jentera Itali ini masuk offroad, biar kami terangkan dahulu bahawa sistem AWD yang ada pada GTC4Lusso ini lebih kepada untuk pengendalian mantap di jalanraya ketika musim salji atau untuk kestabilan bila dipandu laju.

 

 

Mungkin kerana ia sebuah Ferrari, maka sistem pacuan 4-roda ini yang juga dipanggil 4RM Evo juga unik dan sangat kompleks. Ia tidak sama seperti yang wujud pada Honda CR-V milik isteri jiran anda, atau sistem 4X4 dengan lower transfer case pada Hilux milik suaminya.

Sistem AWD pada Ferrari GTC4Lusso ini diambil dari FF dan diperhalusi agar lebih efisien dan tidak mengganggu.

Apa yang terjadi ialah GTC4Lusso ini mempunyai dua kotak gear - satu di belakang (7-kelajuan dwi-klac automatik) dan satu lagi terletak di hadapan enjin.

 

 

Kedudukan enjin yang dipasang jauh ke dalam membolehkan Ferrari mencipta ruang bagi meletakkan satu kotak gear untuk roda hadapan. Dipanggil PTU atau Power Transfer Unit, kotak gear 2-kelajuan ini mengambil tenaga terus dari aci engkol dan dilengkapi dengan dua klac basah - satu untuk setiap roda hadapan.

PTU itu cuma mampu menerima 20 peratus dari daya kilas (torque) maksimum enjin dan selalunya ia langsung tidak menerima apa-apa tenaga pun. 

Untuk gear pertama PTU, ia berfungsi semasa transmisi belakang dalam gear pertama dan kedua. Gear kedua atau tertinggi PTU pula digunakan bila transmisi belakang dipacu dalam gear ketiga dan keempat.

 

 

Selepas gear keempat, klac PTU akan melepaskan segala tenaga kerana pada gear kelima dan seterusnya, kelajuan kereta sudah mencecah 195 kmsj.

Pada ketika itu, tenaga yang terhasil dari enjin sudah melebihi batasan mekanikal PTU dan akan hanya menghasilkan beban. Ketika itu kesemua tenaga akan dihalakan ke roda belakang sahaja.

Perjalanan kami bermula dari dewan pameran Ferrari di Naza Auto Mall PJ dan buat pertama kalinya penulis merasakan Ferrari ini sudah mencipta rekod keselesaan yang paling mantap bagi jenama kuda wheelie itu.

Ia senyap, cuma kedengaran bunyi V12 di hadapan mengaum lunak bila pendikit ditekan sedikit di kawasan bandar. 

 

 

Lubang dan bonggol yang tumbuh melata di kawasan Petaling Jaya diserap dengan sangat baik sehingga buat seketika penulis merasa seperti memandu sebuah Honda Accord - selesa!

Mungkin kerana ia tidak mempunyai bahagian sisi yang lebar seperti Ferrari lain,  penulis merasakan ia lebih mudah untuk memandu super wagon ini di celah-celah kenderaan lain di ibukota metropolitan Kuala Lumpur.

Bila jalanraya mulai lapang menghala ke Lebuhraya KLK (Kuala Lumpur - Karak), kaki kanan mula terasa berat dan enjin terus hidup, menyebabkan bahagian hadapan mendongak sedikit sambil jarum speedometer terus mendaki dengan pantas.

 

 

Oleh kerana itu tiada turbo, kadar kepantasan naik dengan sekata dan mudah diagak. Terasa "berat" atau solid dan ini menambahkan keyakinan penulis untuk terus menyingsing lengan dan mula berkomunikasi dengan GTC4Lusso ini secara lebih agresif.

Berat hampir dua tan itu tidak langsung menunjukan sebarang cacat cela bila diajak menari di Lebuhraya KLK yang lengkap dengan selekoh panjang, selekoh tajam dan "chicane". 

Di selekoh off-camber, terasa stereng pada GTC4Lusso ini memberikan komunikasi yang baik dan penulis yakin akan grip-level yang ada pada roda hadapan.

 

 

Upshift sungguh pantas dan setiap kali nisbah gear diturunkan, ekzos menghadiahkan muzik meletup brap-brap-brap yang lebih seksi dari ucapan selamat malam dari Kilafairy kepada penulis dalam mimpi kelmarin.

Sistem gantungan berubah menjadi lebih keras pada mod Sport, dan memang ia hanya sesuai di lebuhraya yang rata sahaja. 

Bila selekoh tajam tiba, prestasi brek dari Ferrari terus memperlahankan kadar kelajuan dengan stabil, seolah-olah tahu penulis akan mengambil selekoh itu dengan perlahan tapi mahu melonjak keluar dari apex selaju roket.

Walaupun GTC4Lusso hadir dengan sistem rear-steer (4RM-S) di mana roda belakang boleh membelok sedikit untuk membenarkan kereta ini berpusing dengan lebih ligat, penulis langsung tidak sedar bila ia beroperasi.

 

 

Apa yang dirasakan ialah kereta panjang ini mampu mengambil selekoh sehebat kereta sport yang lebih kecil. Ia tidak terasa lembab bila kita membalas stereng untuk masuk ke apex, dan terasa sangat stabil bila kita "membuka" pendikit dan "melepaskan" stereng untuk keluar dari selekoh.

Dalam masa yang sama, penumpang terasa teruja dalam keselesaan premium - sesuatu yang sesungguhnya bukan satu faktor terbaik supercar lazim.

Ya, ia tidak nampak seperti sebuah supercar dan ia pun tidak direka untuk menghambat Audi R8 atau menghenjut dengan Lamborghini Aventador ataupun bermain touge bersama McLaren 720S.

 

 

Ia adalah sebuah Ferrari yang direka untuk anda membawa keluarga atau isteri pergi membeli belah atau bercuti di kawasan pesisir pantai di Trengganu.

Bila ada mamat rambut cagang memakai t-shirt dengan kolar dinaikkan tiba di sebelah mengajak anda "bermain" dengan supercar beliau, baling kad dan suruh dia tunggu sementara anda balik dan bertukar kepada 488 Pista Piloti anda.

Idea menarik bukan? 

 

 

Spesifikasi Ferrari GTC4 Lusso

  • Enjin: V12 65-darjah, 6,262cc, compression ratio 13.5:1
  • Kuasa maksimum: 680 hp @ 8,000 rpm (petrol RON98)
  • Tork maksimum: 697 Nm @ 5,750 rpm (petrol RON98)
  • Transmisi: 7-kelajuan dwi-klac automatik (belakang); 2-speed PTU (hadapan)
  • Panjang: 4,922 mm
  • Lebar: 1,980 mm
  • Tinggi: 1,383 mm
  • Berat kering: 1,790 kg
  • Peratus pembahagian berat: 47 / 53 (depan/belakang)
  • Pecutan 0-100 kmsj: 3.4 saat
  • Halaju maksimum: 335 kmsj
  • Penggunaan bahan api: 15.3L/100km (purata)
  • Harga: RM1,158,000 (harga asas tidak termasuk aksesori, cukai jalan, insurans dan duti import serta cukai lain)

Berita Berkenaan

Berita Global
Tuntutan itu mendakwa bahawa pembuat kereta itu hanya boleh memberikan penyelesaian "interim" untuk…
Informasi
Pada tahun 2016, Ferrari mendakwa ia mempunyai jumlah pelanggan tiga kali lebih ramai daripada…
Berita Domestik
Selain dari Hyundai, syarikat itu kini mempunyai pelbagai jenama automotif lain di bawah lembayung…