Pandu Uji: Daihatsu Gran Max Auto: 2 tempat duduk, pacuan roda belakang juga tau!

oleh HEZERI SAMSURI|
Sebenarnya selama lebih dua puluh tahun saya menjadi wartawan automotif, peluang untuk memandu uji kenderaan komersil sangat jarang berlaku.
 
Namun begitu, sekali sekala kami disajikan dengan jentera-jentera tersebut. Dari traktor kepada bas ekspress dan juga trak-trak trailer, kami juga memandu uji van-van dan pikap kecil pelbagai jenama.
 

Dari trak pikap China yang sangat mampu milik tetapi cuma ada radio frekuensi AM serta pendingin hawa yang sangat hiba walaupun pada setting yang paling dingin, kepada trak trailer Eropah yang super modern, dapat saya cuba di kawasan-kawasan yang sesuai.

 

Namun begitu, walau apapun kenderaan komersil yang saya uji, faktor utama yang sering menjadi pertanyaan "veteran" perniagaan ialah masa "downtime" untuk kenderaan tersebut.

 

 


"Setiap minit ia berada di jalanraya, ia membawa keuntungan kepada syarikat," jelas David Fong, seorang CEO berbangsa Cina yang saya sudah kenal berbelas tahun.

"Oleh kerana itu, setiap kali ia dihantar untuk servis, setiap minit ia di sana, ia merupakan kerugian kepada syarikat."

"Kalau boleh, saya mahu servis di tempat saya sendiri!" ujar David, menekankan bahawa masa itu sangat berharga dalam perniagaannya.

David mengaku pernah mencuba jenama lebih murah tetapi terbukti ia merugikan.

"Bukan sahaja pusat servisnya kecil, alat gantipun tak mencukupi. Ia juga sering rosak, dan saya perlu menunggu beberapa hari untuk alat ganti tiba. Rugi!!!" terangnya.

Kerana itu David tersenyum melihat Daihatsu Gran Max Van Panel yang saya pandu uji itu.

 

 

Menurut David, beliau anggapkan Gran Max itu seperti makciknya.

"Dia tak cantik, dia tak kuat, tapi kalau saya sakit ka, saya sihat ka, saya sedih ka, itu makcik gerenti ada. Sama macam GranMax - dia punya MC (hari di pusat servis) satu tahun lagi kurang dari MC saya punya pekerja!"

Memang, memandu uji kenderaan komersil akan menarik perhatian rakan-rakan saya yang lain dari yang biasa.

Kali ini, mereka yang lebih arif kerana kenderaan itu adalah alat untuk mereka berniaga.

 

Daihatsu di Malaysia sekarang ini hanya terbatas kepada penjualan kenderaan komersil. Untuk kenderaan penumpang, mereka sudah ada Perodua.

Dan bagi model kenderaan komersil, Daihatsu mempunyai model utama- iaitu Gran Max.

Model ini sangat popular di seluruh dunia dan untuk Malaysia, ia dipasang di kilang Daihatsu di Jakarta dan ia juga dieksport ke Jepun sebagai Townace.

Kami berkesempatan untuk ke kilang itu tahun lalu dan walaupun kilang itu masih banyak menggunakan tenaga manual untuk tugas-tugas remeh (tugas penting yang memerlukan kerapian akan menggunakan robot-robot modern), ia adalah contoh sebuah kilang yang cekap dan bersih.

Seperti di Thailand, pekerja-pekerja automotif Indonesia berbangga dengan kerja mereka dan akan memastikan prestasi yang terbaik agar mereka dapat terus kekal bekerja.

 

 

Didatangkan dalam bentuk pikap atau van, ada berbelas-belas variasi yang anda boleh janakan dari Gran Max ini bagi menepati keperluan perniagaan anda.

Untuk varian van contohnya, laman web Daihatsu Malaysia menyenaraikan lima jenis van, dari van panel sehingga ke van utiliti.

Untuk Gran Max pikap, ada sembilan variasi, termasuk Gerai Pasar Tani Mobile, Mobile Kafe, Kargo, Penyejuk malah pentas bergerak pun ada!

Dari segi trenkuasa, semua varian Gran Max dikuasakan dengan enjin Daihatsu 3SZ-VE, enjin 1,495cc petrol 4-silinder 16-injap, DOHC, DVVT dengan sistem pancitan bahan apiEFI.

Ia menghasilkan 95.2 hp pada 6,000 rpm dan 134 Nm pada 4,400 rpm.

 

 

Enjin ini sebenarnya hampir sama dengan yang ada pada Toyota Vios, Perodua Myvi dan Alza, cuma untuk Vios, Myvi Alza, ia ditala lebih untuk kegunaan rekreasi dan pemanduan di bandar.

Berat Tanpa Muatan Gran Max ialah 1.13 tan, dan Berat Dengan Muatan pula ialah 2.0 tan. Secara ringkas, ia mampu membawa muatan sehingga 890 kg.

Sebagai panel van, ia tidak mempunyai tingkap di belakang. Varian semi panel ada tingkap penumpang dan sebaris tempat duduk di belakang.

Dari segi saiz muatan, Gran Max ini tidak kompak dan tidak besar - ia "just nice".

 

 

Ia memang "ngam-ngam" untuk kebanyakan perniagaan.

Pintu gelungsur di kiri dan kanan membolehkan kita memasukan barangan dari dua dua belah, manakala pintu belakang dengan lantai rendah memudahkan kita membawa barang masuk atau keluar dari Gran Max ini.

Kabin hadapan memang tidak mewah, tetapi tidak juga nampak murah. Daihatsu masih mampu meletakkan sedikit ciri-ciri rekabentuk moden pada papan pemuka GranMax ini.

 

 

Unit pandu uji kami hadir dengan sistem audio Single DIN dari jenama JVC - lengkap dengan slot USB dan juga CD. 

Ini jauh lebih baik dari sistem audio OEM yang sering kelihatan seperti dijual di pasar malam.

Tombol gear terletak sekali dengan papan pemuka, membolehkan tangan kiri mencapainya dengan mudah dan membebaskan kawasan lantai.

Nampak biasa tetapi ia menjadikan kabin lebih luas, praktikal dan ergonomik.

Dengan transmisi automatik, memang lebih mudah dan lebih selesa untuk memandunya. 

 

 

Enjin 1.5L itu tidak akan memenangi mana-mana perlumbaan di lampu merah, tetapi cukup pantas untuk tidak dimaki oleh pengguna jalanraya yang lain.

Sistem gantungan juga memang dikhususkan untuk membawa beban. Jika kosong, terasa bahagian belakang sedikit memantul tetapi bila disumbat dengan beban, ia lebih selesa.

Mengejutkan juga kerana Gran Max ini mampu melayan selekoh dengan penuhkeyakinan.

Cuma bila ada bonggol atau bonjolan, bahagian belakang melompat sedikit walaupun ia menggunakan sistem gantungan 5-link dengan pegas gelung.

 

 

Tangki bahanapi ialah 43 liter dan kiraan mudah saya, ia mampu membawa Gran Max ini lebih dari 400 km (transmisi automatik).

Menurut kajian Daihatsu, penggunaan bahanapi untuk Gran Max ini ialah:

    •    8.4L/100 km untuk transmisi manual
    •    9.3L/100 km untuk transmisi automatik

Penggunaan transmisi automatik cuma lebih kurang 10 peratus lebih tinggi - masih boleh diterima dan jauh lebih baik dari sistem transmisi automatik zaman dahulu yang lebih bernafsu meminum petrol.

Transmisi automatik yang digunakan juga ialah dari varian 4-kelajuan torque converter, yang memang sudah terbukti kelasakannya.

 

 

Kehadiran transmisi automatik ini lebih memudahkan bagi pemandu wanita dan juga untuk yang sering memandu di dalam kawasan sesak.

Pemandu atau pekerja kita tidak letih dan ini satu faktor yang mampu meningkatkan produktiviti mereka.

Satu lagi ciri penting pada Gran Max yang perlu disebut ialah ia menggunakan sistem pacuan roda belakang atau Rear Wheel Drive.

Ya, ini memang sinonim dengan BMW dan Lotus, dengan jentera-jentera drift seperti Toyota GT86 dan Nissan Silvia tetapi sebenarnya, ia juga adalah pacuan paling popular untuk kenderaan komersil.

 

 

Antara puncanya ialah bila ia membawa beban, bahagian belakang yang lebih berat itu akan "menekan" roda belakang dan memberikan ia lebih cengkaman.

Selain dari itu, bila kita membawa beban, "menolak" adalah lebih baik dari "menarik". Kerana itu, lori-lori besar, bas-bas dan sebagainya mengekalkan pacuan roda belakang.

Di dalam video di saluran YouTube Careta TV (video di hujung artikel ini), saya buktikan bahawa berbanding dengan pesaingnya yang menggunakan pacuan roda hadapan (Front Wheel Drive), Gran Max lebih mampu membuat dakian di jalan yang curam.

Daihatsu mendakwa Gran Max ini masih mampu membawa beban ketika mendaki di cerun 11-darjah curam dengan permukaan 20 peratus licin (loose surface).

 

 

Selain dari itu, sistem pacuan roda belakang juga lebih mudah kerana tidak ada mekanikal yang kompleks untuk roda hadapan (drive shaft dan steering rod contohnya).

Ini menjadikan ia lebih lasak dan lebih mudah untuk diselenggara. Dan ya, lebih murah!

Antara ciri lain yang saya kira menarik dengan Gran Max ini ialah:

    •    Mampu membuat pusingan U dalam kawasan 4.7m dengan mudah.

    •    Sistem brek dengan ABS

    •    Dua beg udara di hadapan

    •    Stereng berkuasa

    •    Ruang barang (van panel) sehingga 5.8 meter padu

    •    Waranti untuk tiga tahun atau 100,000 km

    •    10 pusat servis dan 31 wakil servis di seluruh negara

 

 

Harga Gran Max Panel Van Automatik bermula dari RM70,728 (harga atas jalan tanpa insuran). Tidak begitu mahal jika kita kira masa yang akan dijimatkan bila kenderaan murah kita meragam dan tidak ada alat ganti.

Lotus Elise mungkin tidak secanggih sebuah Porsche Cayman atau Boxer, namun kerana ia ringkas, ringan dan menggunakan enjin Toyota, ia adalah sebuah kereta sport yang anda boleh pandu setiap hari dan lanyak, tanpa risau ia akan rosak teruk dan mengosongkan akaun bank anda di pusat servis.
Walaupun ringkas, harga Elise masih bukan yang termurah di pasaran.

Sama seperti Elise, Daihatsu Gran Max ini mungkin mahal sedikit dari jenama-jenama China tetapi seperti kata pepatah Melayu, alah membeli menang memakai.

Tonton video review Gran Max kami di bawah! 

 


 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Global
Dilancarkan serentak bersama-sama Toyota Raize pada 5 November lalu, Daihatsu Rocky tidak…
Berita Domestik
Bagaimanapun menurut Pengerusi Daihatsu, Soichiro Okudaira masih terlalu awal untuk mengulas…
Berita Global
Namun, Daihatsu ada cara tersendiri bagi 'mengacau' kembali dominasi yang dibawakan oleh Suzuki…