Pandu Uji: BMW i4 eDrive40 M Sport - sedan mewah mesra alam

oleh Mohamad Hanif|
Di Malaysia, BMW Group Malaysia merupakan antara syarikat kenderaan mewah terawal yang mula menawarkan kenderaan berelektrik kepada para pelanggannya.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Jadi, bila mana pengeluar itu mula menawarkan barisan kenderaan elektrik seperti SUV iX dan i4, penulis mula menanam rasa tidak sabar untuk menguji bagaimana pemanduan jenama yang sudah diketahui dengan pengalaman pemanduan yang mengujakan, akan tetapi dalam 'perisa' tenaga elektrik.

Penulis sudah pun mencuba beberapa buah model plug-in hybrid BMW sebelum ini, dan apa yang penulis boleh simpulkan, memandu kereta tersebut ibarat seperti selangkah ke arah dunia EV.
 

EV


Kali ini penulis akhirnya berjaya memasuki dan merasai seketika pengalaman di dalam dunia kenderaan elektrik sepenuhnya biarpun dalam tempoh masa yang singkat, menerusi model sedan coupe BMW i4 eDrive40 M Sport.

Dari segi luaran, BMW i4 ini sebenarnya merupakan salinan secara terus daripada model sedan BMW 4 Series Gran Coupe (yang turut ditawarkan secara rasmi di Malaysia), memandangkan kedua-dua model ini sebenarnya masih lagi menggunakan platform Cluster Architecture (CLAR) untuk mengekalkan kos pembangunan ke tahap minimum.

Ia hadir dengan elemen-elemen seperti rekaan gril buah pinggang yang agresif, garis bumbung coupe dengan pintu liftback di bahagian belakang, pakej M Sport serta rim aerodinamik M bersaiz 19 inci yang sangat besar itu.
 

i4


Membezakan antara model i4 dengan 4-series Gran Coupe adalah kehadiran elemen biru cerah pada sesetengah tempat, seperti logo BMW pada bahagian depan, belakang dan rim, kemasan keliling jeriji hadapan, serta pada komponen diffuser di bahagian belakang.

Di sebalik komponen diffuser itu tadi, anda memang tidak akan melihat kelibat walau satu tip ekzos memandangkan i4 ini memang tidak langsung mempunyai enjin pembakaran dalaman.
 

i4


Berdasarkan intipan di sebalik plastik pelindung ruang enjin di depan, bahagian tersebut sememangnya kosong, entah kenapa BMW tidak mahu menawarkan ruang storan tambahan di bahagian depan tersebut.

Memasuki ruang kabin, anda boleh bersujud syukur kerana masih lagi boleh mendapati kelengkapan pemanduan yang biasa didapati pada sebuah BMW.

Ini kerana operasi pemanduan BMW i4 ini masih lagi mirip kepada model BMW yang dilengkapi dengan enjin pembakaran dalaman, anda perlu menekan butang pandu mula, alih posisi gear kepada D dan pandu kereta ini seperti biasa.
 

BMW i4


Cuma, pemanduan EV ini adalah amat senyap sepanjang masa melainkan jika anda mula memilih mod pemanduan yang didatangkan sama ada Eco Pro, Comfort atau mod pemanduan Sport yang lebih mengujakan.

Kenapa penulis kata sedemikian?

Ini kerana BMW i4 ini sebenarnya dilengkapi dengan satu ciri bantuan bunyi yang sangat menarik digelar sebagai BMW Iconic Sound yang dibangunkan sendiri oleh komposer muzik terkenal Hans Zimmer.

Di dalam dua mod Eco Pro dan Comfort, bunyi ini tidak begitu jelas kedengaran, akan tetapi dalam mod Sport, bunyi yang dihasilkan itu adalah lebih menonjol sebagai satu iringan yang merdu kepada setiap pecutan agresif yang dibuat.
 

i4


Satu perkara yang penulis kurang gemar pada sedan elektrik ini sebenarnya adalah kehadiran panel paparan melengkung yang menjadi perumah kepada skrin kluster digital 12.3 inci dan skrin infotainmen 14.9 inci.

Ia bukanlah perihal operasi, memandangkan tipikal sebuah kereta mewah, ia menawarkan sistem operasi yang cukup cemerlang, mudah untuk digunakan, paparan grafik yang mudah dibaca tidak kira waktu, serta turut menyokong sistem sambungan Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar.

Akan tetapi, komponen panel itu sendiri yang dilihat tidak begitu serasi dengan rekaan papan pemuka. Pada penulis, ia dilihat seakan sebuah skrin paparan yang diletakkan pada saat akhir sebelum ia diedarkan kepada pengguna.

Ya, ia sebenarnya perkara yang sama penulis rasai pada model 'aras mula' Mercedes-Benz.
 

i4


Namun, perasaan jengkel itu perlahan-lahan lenyap tatkala penulis rasai sendiri bagaimana pemanduan sedan elektrik ini di dalam dunia sebenar.

Dengan hamburan kuasa yang sangat responsif, anda sebenarnya boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 190 km/j.

Dipadankan dengan talaan casis dan sistem suspensi yang cukup-cukup sporti, pemanduan i4 ini tiada jauh bezanya dengan sedan 3 Series atau 4 Series Gran Coupe, ia ternyata patuh pada 'arahan' yang dikeluarkan oleh pemandu setiap masa.

Pemanduan di jalan raya biasa juga cukup selesa, apatah lagi apabila sedan ini berjumpa dengan beberapa selekoh tajam di susur keluar lebuh raya, ia melekat seperti tayar diletakkan gam.
 

i4


Menjadikan sedan ini selamat di atas jalan raya adalah kelengkapan keselamatan yang cukup menyeluruh seperti brek kecemasan autonomi, kawalan jelajah adaptif, bantuan pengekalan lorong, bantuan pengekalan tengah lorong, sistem pemantauan titik buta, serta amaran lintasan trafik belakang.

Sebagai sebuah sedan elektrik, ia sudah pasti menawarkan ciri kawalan brek regeneratif untuk mengelakkan tenaga daripada terbazir begitu sahaja.

Tahap sensitiviti kawalan brek regeneratif itu juga sebenarnya boleh dilaraskan mengikut kehendak pemandu, dan bagi yang sudah terbiasa, anda sebenarnya boleh mengawal i4 ini dengan menggunakan ciri pemanduan pedal tunggal sahaja - sama macam EV yang pernah penulis pandu sebelum ini.
 

i4


Sayang sekali, penulis memperoleh unit pandu uji ini pada masa yang sangat singkat, dan dipenuhi pula dengan pelbagai acara pelancaran model baharu yang perlu dihadiri.

Dan apa yang penulis bimbangkan sememangnya terjadi pada diri sendiri, iaitu penyakit kebimbangan jarak (range anxiety) melanda saat awal kereta ini dipandu keluar dari fasiliti BMW Malaysia.  

Jadi untuk kebanyakan masa, penulis lebih gemar membiarkan i4 ini berada di dalam mod Eco Pro untuk memastikan kapasiti bateri tidak menurun dengan pantas. Nak nak bila dalam mod Sport.
 

i4


Sekali sekala tu bolehlah sebab mahu menguji seberapa pantas i4 ini memecut. Memang pantas bertenaga kalau ikut kepada spesifikasi yang ditawarkan. Selepas itu, penulis kembali insaf dan banyakkan berzikir sepanjang perjalanan pulang.

Sebagai info, BMW i4 boleh menyokong pengecasan arus ulang alik (AC) 11 kW yang membolehkan bateri dicas dalam tempoh lapan jam 15 minit, serta pengecasan pantas arus terus (DC) 200 kW di mana tempoh pengecasan dipendekkan kepada 31 minit sahaja (dari 10%-80% SoC).

Sayang sekali, aspek pengecasan bagi model ini tidak dapat penulis rasai sepenuhnya, memandangkan rumah penulis sendiri tidak mempunyai kemudahan tersebut dan jauh pula daripada fasiliti pengecasan yang ada di sekitar Lembah Klang.
 

i4


Setelah tiga hari meminjam EV ini dengan menghadiri pelbagai acara dan jarak gerak sejauh hampir 300 km, kapasiti bateri masih lagi tersisa sebanyak 42 peratus sebelum kereta ini dipulangkan semula kepada BMW Malaysia.

Beberapa perkara yang penulis boleh simpulkan sepanjang tempoh pinjam BMW i4 ini:

1. Penulis perlu berusaha keras untuk membeli model EV yang sedap dipandu pada harga RM389,800

2. Penulis perlu bekerja keras untuk membeli sebuah rumah sendiri, baru boleh cas EV ini dengan mudah tiap kali selepas pulang kerja.

3. Pemanduan di dalam kesesakan trafik, BMW i4 ini tidaklah begitu pelahap kuasa bateri, namun di atas lebuh raya, bersedialah untuk berdepan dengan penyakit kebimbangan jarak.

4. Disebabkan penulis peminat Hans Zimmer, ciri BMW Iconic Sounds ini satu perkara yang amat penulis hargai pada BMW i4 ini.

5. Hati penulis masih lagi mahukan sebuah sedan daripada SUV, biarpun dunia pada masa depan sudah dibanjiri dengan kenderaan elektrik.

6. Penulis nampaknya sudah pun memaafkan rekaan gril hadapan buah pinggang i4 ini, adakah penulis satu langkah menjadi seorang pemilik BMW kelak?
 

i4


Di pasaran Malaysia, harga untuk sebuah BMW i4 eDrive40 M Sport bermula dari RM398,800 dengan penawaran spesifikasi seperti berikut:

Unit pacuan: Motor elektrik tunggal
Pacuan: Roda belakang
Kuasa: 340 hp, 430 Nm
Pecutan 0-100 km/j: 5.7 saat
Pek bateri: 83.9 kWh
Jarak gerak: 590 km untuk sekali cas penuh

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Siapa yang tidak kenal dengan SUV Honda CRV yang merupakan SUV terbesar dalam kalangan keluarga SUV…
Telah Diuji
Varian tertinggi terbaharu ini merupakan gabungan trenkuasa hibrid antara petrol dan motor elektrik…
Telah Diuji
Selain daripada jenama automotif Jepun, mereka yang mahukan kelainan boleh mendapatkan SUV jenama…