PANDU UJI | BMW 530i M Sport 2025 – Masih Penuh Jiwa

oleh Firdaus Razani|
Selepas pengenalan BMW 520i M Sport CKD pada tahun lalu, BMW Malaysia kembali menyuntik lebih banyak pilihan untuk peminat sedan eksekutif menerusi pelancaran BMW 530i M Sport serba baharu CKD tempatan.

Penulis baru-baru ini berpeluang untuk menguji sendiri jentera generasi baharu ini, dan seperti yang dijangka, pengalaman memandu 530i M Sport ini bukan sekadar soal spesifikasi, tetapi bagaimana setiap elemen kenderaan ini bergabung untuk mencipta sebuah sedan premium yang benar-benar menyenangkan untuk dipandu.
bmw

 

Reka Bentuk: Tegas di Hadapan, Tenang di Belakang

Dari sudut rekaan, BMW 530i M Sport tampil lebih berani dan moden. Gril kidney besar yang dipadankan dengan pencahayaan Iconic Glow menjadikan bahagian hadapan nampak garang dan segar, disokong gaya “Sharknose” dan apron yang lebih beremosi.

 

bmw

 

Namun, jika mahu mencari titik neutral, rekaan belakangnya mungkin tampak terlalu ‘rata’ dan lampu belakang tirus tidak cukup menyerlah berbanding wajah hadapan yang penuh impak.

Walau begitu, keseluruhan siluet tetap nampak aerodinamik dan seimbang, tipikal 5 Series.

 

bmw

 

Sama ada dilihat dari sisi mahupun dari belakang, profil sedan ini mengekalkan karakter eksekutif yang tenang tapi penuh keyakinan.

Rim aloi M 20 inci, garis badan halus, serta lengkungan Hofmeister yang kekal ikonik menjadikan keseluruhan pakej visualnya kekal ‘BMW’.

 

bmw

 

Dalaman: Gabungan Futuristik dan Elegan

Masuk ke dalam kabin, perubahan paling ketara adalah bagaimana ruang dalaman kini kelihatan jauh lebih futuristik.

 

bmw

 

Paparan Melengkung BMW yang menggabungkan kluster digital 12.3 inci dan skrin tengah 14.9 inci memanjang dari sebalik stereng hingga ke tengah papan pemuka, disokong Sistem Operasi BMW 8.5 yang lebih intuitif.

 

bmw

 

Namun bagi penulis, yang lebih mengujakan ialah suasana kabin yang berubah mengikut tetapan pemanduan melalui pencahayaan ambien.

Ia mungkin kelihatan remeh bagi sesetengah orang, tetapi peralihan warna, suasana pencahayaan dan respons intuitif daripada sistem ini menjadikan rasa pemanduan lebih ‘hidup’.

 

bmw

 

Ia menambah jiwa pada pemanduan, sesuatu yang jarang ditawarkan dalam sedan eksekutif lain.

Kombinasi rekaan serba gelap, kemasan aluminium bercorak rhombicle pula berjaya menyatukan gaya sporty dengan elegan dalam satu ruang yang cukup matang dan ‘serious’.

 

bmw

 

 

Pemanduan: Antara Tenang dan Tegas

BMW 530i M Sport ini dikuasakan enjin 2.0 liter B48 dengan teknologi mild-hybrid 48V yang menjana 258 hp dan 400 Nm.

Angka ini bukan sahaja mampu membawa jentera ini dari 0 ke 100 km/j dalam 6.2 saat, malah melakukannya dengan lancar, linear dan senyap, sesuai dengan karakter 5 Series itu sendiri.

 

bmw

 

Ketika diuji di laluan berbukit dan B-roads yang berliku, enjin ini tidak pernah terasa lemah.

Malah, padanan transmisi 8-kelajuan Steptronic memberi penukaran gear yang halus dan responsif.

Penggunaan mod SPORT menukar dinamik keseluruhan pemanduan dengan respon pedal yang lebih tajam, stereng lebih berat, dan pencahayaan ambien bertukar tona, memberikan satu rasa keterlibatan pemandu yang lebih intim.

 

bmw

 

Namun penulis lebih menikmati kereta ini dalam mod COMFORT, di mana karakter 5 Series sebenar benar-benar menyerlah, senyap, tenang, dan menyerap permukaan jalan dengan sangat baik.

Suspensi Adaptif Profesional bersama stereng aktif Integral memainkan peranan penting dalam memastikan pemanduan kekal stabil dan yakin, walaupun di laluan sempit mahupun lebuh raya pada kelajuan tinggi.

 

bmw

 

Bantuan Pemanduan dan Teknologi: Tiada Kompromi

BMW tidak berkompromi dalam aspek keselamatan dan bantuan pemanduan. Driving Assistant Plus hadir sebagai standard, lengkap dengan kawalan jelajah aktif, bantuan stereng dan lorong, serta amaran keluar lorong dengan intervensi stereng.

Bagi yang kerap berhadapan dengan situasi parkir, Parking Assistant Plus amat membantu dengan paparan 360 darjah, pandangan 3D serta bantuan undur automatik.

 

bmw

 

Malah, BMW turut melengkapkan sistem ini dengan Remote 3D View dan perakam pemanduan terbina untuk keselamatan tambahan.

Selain itu, sistem infotainmen juga lebih mudah digunakan, dengan paparan widget vertikal, keserasian penuh Apple CarPlay dan Android Auto, serta sokongan kawalan suara semula jadi.

 

bmw

 

Penulis turut tertarik dengan kamera dalaman yang boleh digunakan untuk menangkap gambar, atau merakam jika berlaku pencerobohan, satu ciri pintar yang jarang ditemui dalam sedan sekelasnya.

 

Kesimpulan: Masih Sebuah BMW 5 Series yang Sebenar

BMW 530i M Sport serba baharu ini mengekalkan segala yang kita kenal tentang 5 Series, karakter seimbang, pemanduan yang intuitif dan kemasan premium.

 

bmw

 

Tetapi kali ini, ia dibawa ke tahap yang lebih tinggi dengan suntikan elemen futuristik dan digital yang lebih menyeluruh.

Ia bukan sekadar sebuah sedan untuk ke pejabat. Ia sebuah jentera yang mampu membuat anda tersenyum sepanjang perjalanan, tak kira jauh atau dekat, sibuk atau lengang.

 

bmw

 

Dan untuk mereka yang mencari sebuah kereta berjiwa, inilah antara pilihan paling tepat dalam segmennya dan BMW belum pernah gagal dengan saloon eksekutif 5 Seriesnya.

Harga atas jalan:
RM399,800 (tanpa insurans)
RM430,100 (dengan pakej Servis & Pembaikan Inklusif BMW)

 

bmw

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Profil Badan Lebih Rendah dan Agresif Daripada sudut sisi, BMW iX4 kelihatan lebih rendah dan…
Berita Global
  Tiga Aplikasi Utama Dalam Kenderaan M Cockpit   Aplikasi ini berfungsi sebagai pusat data…
Berita Global
Dirk Häcker   Dalam lebih sepuluh tahun ini, BMW M terus menambah model baharu, peningkatan…