Pandu melulu, langgar lari, pemandu Mercedes Benz GLE450 tidak mengaku salah

oleh Penyumbang Rencana|
Foto kejadian/tertuduh
Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Mercedes Benz GLE450 yang terbabit kemalangan sebelum kenderaannya terbakar di Kilometer 18.1 Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) berhampiran Plaza Tol Wangsa Maju, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur pada Rabu.

Tertuduh, Sum Kah Fei, 34, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Haneefa Ariffin.
CHERY Omoda 5 MREC Banner Campaign March 2025

Mengikut pertuduhan pertama, peniaga itu didakwa memandu secara melulu sehingga berlaku pelanggaran dengan sebuah motosikal sehingga menyebabkan Muhammad Nur Faiz Saini parah.

Kejadian berlaku di sekitar Lebuhraya SPE dari arah pusat bandar ke Plaza Tol Wangsa Maju, di sini, pada jam 12.35 tengah hari, Ahad lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa gagal menghentikan kenderaannya selepas terbabit kemalangan dengan motosikal ditunggang mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di lokasi sama pada tarikh dan masa yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibaca bersama Seksyen 119(1)(a) akta sama yang boleh dihukum denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Februari 2025 bagi serahan dokumen.

Bacaan sepenuhnya di Harian Metro