Pandu kereta sejauh 4km, pelajar Tingkatan Satu ditahan

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Sinar Harian
Seorang pelajar Tingkatan Satu ditahan bersama rakan sekolahnya selepas didapati memandu sebuah Proton Iswara di Jalan Rozhan, Machang Bubok di Bukit Mertajam pada petang Rabu.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, kedua-dua pelajar itu ditahan pada jam 8 malam Rabu di hadapan Flat Taman Machang Bubok di sini selepas polis mengesan satu klip video yang tular di aplikasi WhatsApp.

 

Menurutnya, turut ditahan, ibu kepada pelajar sekolah yang memandu kenderaan berkenaan.

"Pada jam 3 petang semalam (Rabu), kita mengesan satu klip video berdurasi 32 saat yang tular di Whatsapp yang memaparkan seorang remaja 13 tahun memandu sebuah kereta bersama rakannya.

"Mereka telah ditahan oleh orang awam di lokasi berkenaan selepas memandu kira-kira 4 kilometer (km) dari rumahnya.

"Susulan daripada itu, polis berjaya menahan seorang pelajar Tingkatan Satu bersama ibunya yang berusia lewat 40-an dan rakan sekolahnya. Polis turut menyita kereta Proton Iswara tersebut untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau menambah, polis masih mengesan dua lagi rakan remaja tersebut untuk melengkapkan siasatan.

"Maklumat yang diperolehi adalah, terdapat empat remaja di dalam kereta tersebut termasuk yang memandu. Dua sudah ditahan dan kita sedang mengesan dua remaja lagi.

"Kita telah mengeluarkan saman ke atas remaja yang memandu kereta itu di bawah Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu tiada lesen memandu.

"Sementara itu, kita juga telah menyaman ibu remaja tersebut yang juga pemilik kenderaan di bawah Seksyen 39 ( 5 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu kenderaan bermotor," katanya.

Cheng San berkata, polis menasihati ibu bapa dan masyarakat supaya jangan cuai dan lalai dengan membenarkan kanak-kanak di bawah umur memandu atau menunggang kenderaan kerana ia bukan saja boleh membahayakan kanak-kanak itu sendiri malah membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Awal Mei lalu, dilaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun menyelinap keluar dari rumahnya di Kampung Padang Mengkuang, Langkawi bersama adik lelakinya berusia tiga tahun lalu memandu Toyota Vios.

Ketika kejadian, bapa mereka sedang tidur manakala ibu kanak-kanak itu berada di dalam bilik air.

Kanak-kanak lelaki berkenaan telah memandu kereta tersebut sejauh kira-kira 2.5km sebelum kenderaan itu hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, berhampiran Kampung Titi Chanwang.

 

 

Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kejadian itu dikongsikan mangsa iaitu @shafiyyah_nurul di laman sosial X pada Selasa. Menurutnya,…
Berita Domestik
"Mendoakan semoga semua yang terlibat tabah hadapi dugaan ini dan kerajaan menerusi Kementerian…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mazlan Hassan berkata pihaknya telah mengesan pemilik motosikal…