Pandu berbahaya sehingga kemalangan, pemandu Honda Accord di bawah pengaruh dadah ditahan

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Polis menahan seorang lelaki yang memandu secara melulu dan berbahaya di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bertam 2/3 Taman Daya, di Johor Bahru pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata lelaki berusia 39 tahun pada awalnya dikesan memandu Honda Accord dalam keadaan mencurigakan oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang melakukan rondaan Op Cegah Jenayah di Jalan Austin Perdana 3 pada 11.40 pagi.

Beliau berkata, lelaki itu melarikan diri sejauh kira-kira empat kilometer dengan memandu secara 'zig zag' setelah diarahkan berhenti bagi tujuan pemeriksaan.

"Tindakan lelaki itu menyebabkan berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta Mazda 3 berdaftar di Singapura, Proton Saga dan Peugeot 408.

"Seorang daripada pemandu kereta yang terlibat mengalami kecederaan ringan pada siku kanan dan menerima rawatan di klinik swasta, manakala lelaki itu bersama pemandu kereta lain tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan di lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan menemukan 12.99 gram syabu, 13.59 gram heroin, tiga pil yaba dan dua pil erimin 5.

Menurutnya lelaki itu positif dadah jenis metamfetamina dan amfetamina serta mempunyai 16 rekod lampau kes jenayah dan dadah.

Kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 dan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata undang-undang sedia ada terhadap kesalahan pemandu positif dadah didapati kurang…