Pajero Final Edition - berakhirlah riwayat sebuah lagi nama ikonik dari Mitsubishi

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Satu lagi berita sedih daripada pengeluar tiga permata Jepun, Mitsubishi apabila mereka membuat keputusan untuk menamatkan sebuah lagi produk yang memiliki sejarah yang cukup panjang, dan penuh bersejarah. 

Mitsubishi Pajero. 

Benar, hal ini disahkan oleh Mitsubishi Motors Corporation dengan pengumuman menamatkan riwayat Pajero di Jepun pada Ogos ini, dan tiada sebarang perancangan untuk membangunkan pengganti generasi berikutnya. 
 


Mitsubishi Pajero (nama lain Mitsubishi Montero/Mitsubishi Shogun) memulakan hayat sebagai sebuah SUV bersaiz penuh dengan kod casis L040, diperkenalkan kepada umum di Tokyo Motor Show 1981. 

Pajero dibangunkan di atas platform body-on-frame bagi memberikan keselesaan sebagai sebuah kereta penumpang akan tetapi dengan keupayaan mengharungi jalan off-road yang sebenar. 

Ketika awal kemunculan Mitsubishi Pajero, ia sangat terkenal terutama di Jepun pada ketika itu yang dipengaruhi trend aktiviti luar rumah recreational vehicle (RV). 
 


Cuma, apa yang menjadikan barisan produk Pajero sungguh unik ialah penglibatan mereka di dalam sukan off-road paling mencabar di dunia, Kejohanan Ralli Dakar. 

Dengan jentera Mitsubishi Pajero Evolution, pasukan tersebut secara keseluruhan meraih 12 kejuaraan sepanjang penglibatan mereka di dalam sukan tersebut.

Sehingga kini, rekod tersebut masih belum boleh dipecahkan oleh mana-mana pengeluar, walaupun Mitsubishi sebenarnya sudah lama tidak menyertai acara tahunan semenjak tahun 2007.
 


37 tahun berlalu, dan empat generasi memberikan khidmat kepada dunia, Mitsubishi melancarkan sebuah model Pajero Final Edition sebagai tanda penamatan sebuah warisan bersejarah dengan unit produksi dihadkan kepada 700 unit sahaja.

Dibangunkan berdasarkan Pajero Exceed, ia banyak menampilkan tambahan aksesori standard seperti bumbung suria, rel bumbung, spoiler, pelindung tayar simpanan dan mud flap berlambangkan jenama Pajero.

Enjin 3.2 liter diesel menghasilkan 187 hp dan daya kilas 441 Nm itu digandingkan dengan transmisi automatik lima nisbah kelajuan. 
 


Harga jualan di Jepun pula bermula dari ¥4,530,600 (RM167,333) dan setiap pembelian akan disertakan dengan pelekat khas dan sebuah jam tangan Mitsubishi dari Citizen. 

Walaupun hayat Pajero/Shogun kian menghampiri penamatan di Jepun, anda boleh jangkakan perkara yang sama pada pasaran lain di mana Mitsubishi UK sudah mula menghentikan pengambilan stok Shogun dari Jepun. 

Namun, untuk negara-negara seperti Australia dan Timur Tengah, Pajero/Shogun masih kekal diproduksikan. 
 


Sebuah lagi nama ikonik dari Mitsubishi terkubur selepas Lancer Evolution...

Berita Berkenaan

Berita Global
Aaron O'Halloran, warga British berusia 31 tahun itu dikesan memandu SUV off-road itu di Stesen…
Berita Global
Namun, seperti yang diberitakan sebelum ini, SUV off-road ikonik itu kian menghampiri penghujung…
Berita Global
Laporan terbaharu daripada Asian Nikkei Review itu menyebut, kilang Pajero Manufacturing yang…