Namun begitu, katanya, masih wujud kejadian pagar-pagar baharu turut dirosakkan dan dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Untuk makluman, pagar asal yang dipasang di sepanjang jajaran LPT2 adalah berwarna hijau.
Apabila ia dirosakkan atau dicuri, pihak LPT2 telah menggantikannya dengan segera dengan pagar berwarna jingga untuk memudahkan kami untuk mengesannya jika ia dicuri atau dirosakkan.
"Selain daripada itu, pihak LPT2 juga turut menyambung pagar-pagar baharu kepada simen konkrit supaya lebih kukuh, memasang kawat berduri, menggali longkang dan sebagainya bagi mengelakkan ia dirempuh oleh haiwan ternakan.
"Akan tetapi, terdapat juga situasi di mana pihak yang tidak bertanggungjawab membina sendiri jambatan kecil untuk memudahkan haiwan ternakan melintas longkang yang digali dan terus memasuki lebuh raya," jelas beliau.
Mengulas lanjut, beliau berkata pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh pihak LPT2 dalam mengekang kemasukan haiwan ke lebuh raya tersebut.
Katanya, hasil inisiatif LPT2 sejak 2019 hingga 2020, kadar kemalangan jalan raya akibat kehadiran haiwan ternakan di LPT2 menurun sebanyak 12 peratus.
Dalam tempoh itu juga, lebih 360 laporan polis dibuat, selain mengadakan program advokasi melibatkan penduduk-penduduk kampung di sepanjang jajaran lebuh raya tersebut.
Sehubungan itu, beliau berkata LPT2 sekali lagi menggesa penduduk sekitar jajaran lebuh raya, termasuk pemilik dan penternak lembu dan kerbau di sepanjang jajaran LPT2 supaya tidak merosakkan pagar yang dipasang.