Pa'din Musa Vans - Abah kayuh basikal 2 hari untuk hantar mesin jahit

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Sebut Ahmad Fadzli Musa, mungkin tidak ramai yang kenal tetapi bila Pa'din Musa disebut, pasti banyak mata terbuka dan bibir mengukir senyum.

Di dalam negara yang memuja bolasepak dan menghabiskan berbillion untuk menghasilkan pemain yang profesional dan tidak mementingkan duit, permainan skateboard dilihat sebagai hobi anak-anak kecil dan remaja.

Namun begitu, itu mereka yang sangat berminat dengan sukan alaf baharu itu, Pa'din Musa merupakan juara skateboard termasyhur yang sudah banyak kali mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Kali pertama beliau memenangi pertandingan skateboard ialah di Alor Star ketika Pa'din berusia 18 tahun.

Pa'din memenangi pingat emas dalam kategori X-Games Asia di Phuket dalam tahun 2000 dan kemudiannya di kuala Lumpur dalam tahun 2004.

Tahun 2004 juga melihat Pa'din sebagai peserta tunggal negara di dalam acara X-Games Summer di Los Angeles, US dalam tahun 2004.

Nama Pa'din Musa terus dijulang apabila Vans, jenama kasut skateboard popular dunia menghasilkan sepasang kasut model Colorway yang direka khusus untuk mencerminkan karektor Pa'din Musa.

Pa'din Musa menjadi ahli skateboard Asia Tenggara pertama yang mempunyai kasut Vans sendiri, dan ia adalah satu kejayaan yang amat besar bagi ramai, terutama generasi-generasi muda Malaysia.

Careta singgah sebentar di bengkel Pa'din Musa di Kepala Batas, Pulau Pinang untuk mengenali lebih lanjut siapa sebenarnya Pa'din Musa atau Ahmad Fadzli Musa.

Berusia 41 tahun, Pa'din dilahirkan di Bagan Belat, Pulau Pinang dan bersekolah di SK Teluk Air Tawar di Kepala Batas.

Ayahnya ialah seorang tukang kayu dan juga membaiki mesin jahit sementara ibu Pa'din bekerja sendiri.

Kali pertama Pa'din ternampak skateboard ialah bila seorang pemilik gerai di tapak Pesta Pulau Pinang bermain dengan skateboard selepas menutup gerai.

"Saya pada masa itu bekerja sambilan di tapak pesta," terang Pa'din.

Beliau berusia 12 tahun pada masa itu. 

"Skateboard pertama saya beli ialah pada usia 14 tahun, dan itupun selepas melihat abang saya giat bermain sukan itu. Harganya RM59.90 sahaja."

Pa'din meneruskan pendidikannya di Sekolah Vokasional Butterworth sebelum ke Politeknik Port Dickson untuk mengambil diploma dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal.

"Pada masa itu, saya memang berdikari. Saya beli sebuah Honda EX-5 dan disamping belajar, saya bekerja untuk mencari duit bagi membayar duit ansuran bulanan untuk EX-5 itu," terang Pa'din.

"Beberapa kali juga kedai motor menarik balik motosikal saya kerana saya tak mampu untuk membayar. Tapi saya kumpul duit, bayar balik dan akhirnya, saya langsaikan hutang saya."

"Sampai sekarang, Honda EX-5 itu ada saya simpan di rumah," ujarnya.

Pa'din juga berkata semasa beliau belajar, beliau tidak mengharapkan duit dari ibubapanya.

"Saya cari duit sendiri untuk belajar. Dan saya bernasib baik juga kerana ibubapa rakan baik saya membantu bayarkan yuran pendidikan setiap tahun."

Pastinya sikap Pa'din sangat berbeza dari wakil Mahasiswa Nasional yang belum apa-apa lagi sudah meminta subsidi minyak untuk mahasiswa.

Minat Pa'din terhadap motosikal sangat ketara pada kasut Vans Signature Colorway yang direka mengikut selera  beliau.

"Warna kasut itu, hitam kuning, saya pilih selepas terpandang jaket motosikal yang dipakai oleh rakan saya ketika kami keluar bermotosikal," ujarnya.

"Saya memang perlu berhati-hati dengan pilihan warna kerana banyak kombinasi warna sudah ada dalam koleksi Vans," sambung Pa'din yang ditemani oleh tiga orang anak-anaknya.

"Corak pada bahagian tepi tapak kasut itu pula ialah dari bunga tayar Firestone pada motosikal custom saya."

"Yang paling saya mahukan ialah pantun-pantun yang ditulis oleh anak-anak saya. Itu pada saya yang benar-benar mencerminkan bangsa kita kerana pantun tidak ada pada masyarakat lain," katanya sambil menunjukan kepada pantun-pantun yang menggunakan tulisan anaknya Muhammad Faheem, sembilan tahun dan Muhammad Fayyad enam tahun.

"Warna tapak kasut itu pula menggunakan tema laluan pelintas kaki - kuning dan hitam," tunjuknya.

Berkaitan perniagaan Abah & Sons milik beliau, Pa'din telah pun memindahkan operasi bengkelnya itu ke Taman Seri Serdang di Kepala Batas, Pulau Pinang.

"Saya memang sudah lama bertekad untuk berpindah balik ke kampung bila saya berusia 40 tahun dan tahun lalu, saya tunaikan hasrat saya itu."

"Alhamdulillah, saya mempunyai pelanggan yang setia," sambung Pa'din. 

Bengkel Abah & Sons adalah antara bengkel motosikal yang paling kemas pernah Careta lihat. Nyata Pa'din memang seorang yang berdisiplin dan pembersih. 

Bayangkan, penulis boleh duduk di atas lantai bengkel Abah & Sons sambil mengambil gambar. Tidak ada setitik pun minyak pelincir di atas lantainya!

Pa'din juga sememangnya seorang peminat jentera custom dari awal lagi.

"Saya tak minat pada Harley Davidson baharu, tapi saya minat yang sudah dimodifikasi," terangnya sambil memberitahu Careta bahawa motosikal custom pertama beliau ialah sebuah Harley-Davdison Softail yang dibeli dalam tahun 2008 dan telah diubahsuai menjadi sebuah "rigid".

"Jiwa custom memang tersemat dalam di hati saya dan saya juga menempa nama di kalangan skateboarder profesional dunia kerana saya seorang sahaja yang membuat motosikal custom. Yang lain memang menunggang tetapi mereka tunggang motosikal baharu yang standard!"

Nama Abah & Sons itu sebenarnya lebih kepada menghargai arwah ayahnya. 

"Saya rasa orang lama di kawasan Butterworth pasti ingat akan arwah abah saya. Orang panggil beliau Pak Usop Mekanik dan beliau naik basikal untuk membaiki mesin jahit orang."

Pa'din berkongsi cerita di mana arwah ayahnya pernah mengayuh basikal untuk menghantar sebuah mesin jahit lengkap dengan kaki besinya dari Butterworth ke Alor Star.

"Abah mengayuh dua hari untuk hantar mesin jahit lengkap ke rumah pelanggannya. Dia ikat mesin jahit dan kakinya ke belakang basikal," cerita Pa'din sambil tersenyum.

Pa'din memang tidak pernah malu untuk berkongsi sejarah keluarga beliau. 

Ternyata sekali kebolehan mekanikal arwah ayahnya turun kepada Pa'din. Malah arwah ayahnya juga minat bermotosikal.

"Saya belikan arwah Abah sebuah KTNS RS3 dan saya katakan kepadanya, Abah, ini sahaja saya mampu untuk abah sekarang ini. Esoknya, arwah terus menunggang ke Thailand bersama rakan-rakannya," cerita Pa'din sambil ketawa.

Motosikal arwah ayahnya masih ada di bengkel Pa'din, bersama motosikal milik abangnya. Memang mereka sekeluarga minat motosikal!

Sebenarnya, kedai Abah & Sons milik Pa'din tidak melakukan kerja pembaikan motosikal. Ramai yang tersalah anggap dan berfikiran Pa'din mampu membaiki motosikal mereka.

"Saya sebenarnya cuma fokus kepada kerja-kerja modifikasi ekstrem jentera Harley-Davidson. Dan dalam setahun, saya cuma mampu lakukan tiga projek modifikasi ekstrem sahaja."

"Ada yang datang minta bantuan untuk baiki motosikal atau untuk modifikasi motosikal jenama lain dan ada juga yang mahu lakukan modifikasi kecil. Saya meminta maaf dan saya minta mereka ke bengkel kawan saya yang memang lebih arif dalam bidang pembaikan," terang Pa'din lagi yang sering ditemani oleh anak-anaknya.

Ini ialah kerana modifikasi motosikal bukanlah kerja utama Pa'din.

"Sebenarnya, kerjaya utama saya ialah merekabentuk dan membina taman skateboard."

Putrajaya sebenarnya mempunyai taman skateboard yang dibina atas khidmat nasihat Pa'din. Syarikat beliau juga sudah membina sebuah lagi taman skateboard di Pasir Gudang dan satu lagi ialah di dalam pusat membeli belah Paradgim Mall JB.

Taman skateboard yang dibina oleh seorang peluncur skateboard profesional memang berlainan dan lebih seronok dan selamat untuk digunakan.

Pa'din sekarang sudah berpuas-hati dengan apa yang ada dan nasihat beliau kepada generasi muda yang mahu berjaya agar jangan segera putus asa.

"Tidak ada benda akan datang bergolek. Cabaran akan datang dan jangan mengalah. Senyum dan teruskan usaha," ujar ayah kepada tujuh orang anak itu.

Untuk mereka yang mahu menempah motosikal custom atau ingin membina skateboard yang direkabentuk oleh peluncur skateboard profesional, hubungi Pa'din di 017-661 7105 atau lawati bengkel beliau di 
117, Lorong Seri Serdang 4/11, Taman Seri Serdang, 13100 Kepala Batas, Pulau Pinang.

Pa'din  Musa, bukan setakat ikon skateboard dan sneaker Vans, tetapi seorang anak Melayu yang bermula dari bawah dan tidak mahu menyusahkan keluarganya dalam mengejar cita-cita beliau.

Careta mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pa'din  kerana sudi menerima kunjungan team Careta.