Menggunakan asas daripada Lexus LX600 tahun 2022, jentera itu diberikan nafas baharu dengan membawakan komponen seperti bampar baharu, sistem cangkuk Solo Series 12.5, sepasang lampu LED tambahan, serta rak bumbung yang digunakan untuk meletakkan khemah bumbung Armadillo A2 dan bumbung awning Peregrine 270.

Keupayaan SUV off-road yang menggunakan platform ladder-frame TNGA-F itu turut ditambah baik dengan sistem suspensi yang telah diubahsuai, diikuti sistem penyerap hentak yang dinaiktaraf menjadikan ketinggiannya bertambah 2.5 inci berbanding tetapan standard.
Keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim Compression bersaiz 17 inci, serta balutan tayar off-road Kenda Klever R/T.

Sebagai pelengkap, Lexus LX600 itu dipasangkan dengan trailer off-road dengan jarak lega bumi setinggi 24 inci, sistem artikulasi 360 darjah, serta dilengkapi dengan kemudahan seperti ruang tidur saiz Queen, sistem pendingin hawa dan sistem pemanas air.
Trailer itu turut mempunyai ruang dapur yang boleh diluncurkan keluar dan boleh disimpan kembali selepas digunakan.

SUV off-road Ultimate Overland Vehicle ini akan dilelong kepada umum di mana hasil daripada jualan akan disalurkan kepada pertubuhan amal Overland Expo.
Sumber: Motor1