Ott Tänak juara WRC 2019, tamat kemarau Toyota sejak tahun 1994!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang berlangsung beberapa musim kebelakangan ini memang meriah. Ada pengeluar yang keluar dan masuk termasuk pemindahan pemandu.

Persaingan di antara pengeluar juga sengit dan kembalinya Toyota sebagai juara kategori pengeluar selepas bertahun-tahun menyepi.

Toyota sememangnya beraksi cemerlang sejak kembali semula ke WRC pada tahun 2017.

Pasukan TOYOTA GAZOO Racing World Rally Team mempunyai sokongan padu daripada Presiden Toyota, Akio Toyoda selain Tommi Mäkinen sebagai prinsipal.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Ott Tänak and his co-driver Martin Järveoja

 

WRC 2019 sudah mempunyai juara apabila Ott Tänak dan pemandu arah Martin Järveoja menang tempat kedua Rali Sepanyol pada hujung minggu lalu.

Ini adalah kejuaraan yang bermakna selepas kali terakhir pemandu Toyota iaitu Didier Auriol menang kategori pemandu pada tahun 1994. 

Beliau juga pemandu kelima Toyota yang berjaya memenangi kategori tersebut. Ott Tänak dan Martin Järveoja adalah pemenang warga Estonia pertama yang mencatat kejuaraan kategori pemandu di dalam WRC.

Ott Tänak sememangnya seorang pejuang sejak berlumba di dalam WRC pada 2009 sebelum menjadi juara dunia buat kali pertama pada musim ini.

 

Ott Tänak, Martin Järveoja

 

Beliau berlumba dengan garang pada musim 2018 namun beberapa insiden menyebabkannya tercicir ke tempat ketiga dan mengulangi prestasi musim 2017.

Usaha Ott Tänak pada musim lepas masih berbaloi apabila membantu Toyota memenangi kategori pengeluar selepas kali terakhir menduduki takhta tersebut pada 1999.

Kemenangan musim 2019 menjadikan Ott Tänak sebagai pemandu ketiga yang berbeza sejak 2004. Sepanjang 15 tahun kategori pemandu didominasi oleh Sebastien Loeb dan Sebastien Ogier.

Sebelum ke Sepanyol, Ott Tänak sudah pun menang enam pusingan dan mendahului dengan 28 mata. Beliau menyempurnakan kedudukan tersebut melalui pemanduan tenang dan menaiki podium sebagai naib juara.

 

Jari-Matti Latvala, Miikka Anttila
Jari-Matti Latvala, Miikka Anttila

 

Seorang lagi pemandu iaitu Jari-Matti Latvala turut membantu pasukan dalam mengumpulkan mata kemenangan dengan menduduki tempat kelima.

Pertarungan WRC sekarang ini tertumpu kepada kategori pengeluar. Mendahului kejuaraan ialah Hyundai dengan 380 mata di hadapan Toyota yang mengumpul 362 mata.

Jika mahu menjulang kejuaraan pengeluar buat kali kedua berturut-turut, apa cara sekalipun Toyota perlu menang pada pusingan terakhir di Australia pertengahan bulan November.

WRC memang mengujakan!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Kredit/sumber foto: Toyota

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
Kemasukan pemandu Perancis berusia 35 tahun yang sebelum ini berlumba mewakili pasukan Citroen pada…