Orange Phase AD3 - eMTB tiga roda khas untuk golongan OKU aktif

oleh Mohamad Hanif|
Semangat tidak mudah mengalah ternyata menguasai atlit penunggang basikal gunung professional, Lorraine Truong meskipun beliau disahkan mengalami lumpuh separuh badan akibat kemalangan yang dialami pada tahun 2015.

Truong yang juga seorang jurutera pembangunan basikal gunung mula mencari alternatif untuk mendapatkan sebuah basikal gunung yang boleh ditunggang meskipun keadaannya tidak mengizinkan.

Penyelesaiannya? Basikal gunung adaptif beroda tiga!

Memperkenalkan, Orange Phase AD3 eMTB yang dihasilkan oleh Alex Desmond dari DezmotoRacing Ltd.
 

Alex


Alex sebelum ini pernah bekerja dengan firma seperti Jaguar Land Rover dan Norton Motorcycle,  dan beliau telah pun membina beberapa unit prototaip basikal gunung adaptif dan salah satu daripadanya telah diberikan kepada Truong untuk dicuba sendiri di Switzerland.

Setelah melihat betapa baiknya Truong mengendalikan prototaip basikal tersebut, kakitangan daripada Orange Bike Switzerland segera mengubungi ibu pejabat Orange di UK dengan harapan prototaip itu boleh diproduksikan.

Basikal gunung beroda tiga Phase AD3 ini dibangunkan berdasarkan model e-MTB Phase, dengan dua roda hadapan masing-masing menampilkan sistem suspensi yang tersendiri, dan dihubungkan oleh jalinan cantilever.
 

Orange


Bukan sekadar boleh ditunggang lasak seperti MTB yang lain, sistem suspensi khas ini turut membolehkan setiap roda hadapan disendengkan secara individu tanpa menyebabkan salah satu roda terangkat dan menyebabkan penunggang hilang kestabilan ketika memasuki selekoh.

Disebabkan ketidakupayaan yang dialami, Truong perlu duduk di dalam tempat duduk jenis bucket dan mengawal pergerakan basikal elektrik beroda tiga ini dengan menggunakan pendikit.

Menurut laporan daripada New Atlas, Alex memberitahu rekaan basikal tersebut adalah jenis modular, bermakna mereka boleh menawarkan penyesuaian bergantung kepada permintaan pelanggan.
 

Orange


Basikal Orange Phase AD3 e-MTB yang dimiliki oleh Truong menampilkan rangka aluminium, sistem gear Box One sembilan kelajuan, motor Paradox Kinetics yang mampu menghasilkan daya kilas 150 Nm, brek cakera hidraulik Hope Tech 3 V4, suspensi fork depan Fox 38, penyerap hentak Fox Float X2 di belakang.

Berat keseluruhan Orange Phase AD3 e-MTB ini adalah sekitar 30 kg, namun menurut Alex mereka boleh menawarkan binaan yang lebih ringan.

 

Orange


Sementara pek bateri lithium 504 Wh yang diintegrasikan dalam tiub rangka basikal ini mampu membenarkan aktiviti pendakian teknikal sejauh 700 meter, atau tunggangan denai sekitar 25 km dengan menggunakan mod pendikit, namun ia juga boleh ditunggang seperti biasa menggunakan pedal.

Kos untuk membina sebuah Orange Phase AD3 e-MTB kustom ini cuma sekitar £17,000 (RM96,372) sahaja.

 

Sumber: New Atlas