Menurut laporan daripada media automotif Headlightmag, ORA Good Cat merupakan unit import sepenuhnya (CBU) dari China, meskipun sebelum ini Great Wall Motors telah pun mengambil alih kilang GM di Rayong untuk menjadikan Thailand sebagai hab utama di rantau ini.

Dari segi spesifikasi, ORA Good Cat membawakan ukuran 4,235 mm, lebar 1,825 mm, tinggi 1,596 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,650 mm dan jarak kelegaan tanah setinggi 120 mm.
Ruang kargo pula adalah sebesar 228 liter dan boleh mencapai sehingga 858 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
Sistem gantungan pula terdiri daripada topang MacPherson dengan bar penstabil di hadapan, sementara bahagian belakang pula menggunakan sistem torsion beam juga dengan bar penstabil.

Sebagai sebuah EV, ORA Good Cat didatangkan dengan motor elektrik tunggal yang menghasilkan 143 kuasa kuda, daya kilas 210 Nm dengan kelajuan tertinggi 150 km/j.
Terdapat dua saiz kapasiti pek bateri, di mana versi 47.8 kWh membenarkan jarak pemanduan sejauh 401 km, sementara versi 59.1 kWh pula sejauh 501 km (data NEDC).
Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah enam beg udara, kamera keliling 360 darjah, kawalan kestabilan, sistem anti-gelincir, amaran titik buta, sistem pemantauan tekanan tayar, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik, amaran lintasan trafik belakang, serta ciri pengekalan laluan.

Harga jualan hanya akan diketahui menjelang pelancaran rasmi, namun di China, EV comel ini dijual pada harga bermula serendah 103,900 yuan (RM66,853).
Sebagai makluman, unit ujian ORA Good Cat dan ORA Black Cat turut dikesan berada di Shah Alam minggu lalu.
Sumber: Headlightmag