Ops Pelbagai Kesalahan : 11 pemandu mabuk dan 5 'Superman' ditahan

oleh SALINA JALIL|
gambar dari JSPT
Seramai 11 individu yang dikesan memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan polis menerusi Ops Pelbagai Kesalahan di sekitar ibu negara yang bermula pada 15 Oktober lalu sehingga awal pagi Ahad semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, kesemua mereka ditahan dalam operasi hujung minggu yang dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan dan Unit Risikan/Operasi JSPT Kuala Lumpur.

 

“Mereka yang berusia 21 hingga 51 tahun itu dikesan telah memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol lalu ditahan di bawah Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan telah dibawa ke Balai Polis Trafik di sini untuk tindakan selanjutnya.

 

“Turut ditahan adalah lima lelaki yang dikesan menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya dengan melakukan aksi zig-zag, roket, superman juga bersaing sesama sendiri di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE),” katanya dalam satu kenyataan.

 

Jelas beliau, kesemua penunggang motosikal yang berusia 15 hingga 22 tahun itu akan dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.

 

“Secara keseluruhan, sebanyak 358 jumlah saman telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dan pihak JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan mambanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan.

 

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi balai polis trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-2026 0267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujar beliau.

 

 

 

K! ONLINE

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu Superintendan Ismail Man…
Berita Domestik
  Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kelima-lima mereka…
Berita Domestik
  Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri…