Operasi percubaan bas elektrik Taiping bermula 1 Mei

oleh Hamimah Hamid|
BAS elektrik (EV) Majlis Perbandaran Taiping (MPT) akan beroperasi bagi tempoh percubaan selama tiga bulan bermula 1 Mei hingga 31 Julai ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, perkhidmatan bas tersebut hanya akan mula beroperasi secara berbayar kepada orang awam pada 1 Ogos.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sandrea berkata, dengan pengoperasian bas itu, MPT menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama dalam negara yang memiliki serta menguruskan bas EV.

 

“Bas ini akan melakukan empat kali perjalanan pada Isnin hingga Jumaat, manakala lima kali perjalanan untuk Sabtu dan Ahad melibatkan laluan Jejak Warisan di sekitar Bandar Taping sejauh 11.5 kilometer."

 

"Setiap perjalanan mengambil masa satu jam 21 minit dan disediakan pemandu pelancong bagi memberi penerangan lokasi Jejak Warisan," katanya. 

 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pelancaran bas EV MPT di Taiping hari ini. 

 

Jelas Sandrea, bas EV tersebut menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dan disumbangkan oleh kerajaan Jepun melalui Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).

 

Katanya, bas yang mempunyai kapasiti 22 penumpang dan satu penumpang orang kurang upaya (OKU) itu, merupakan inisiatif beberapa syarikat tempatan dan luar negara sejak 2015.

 

Menurut Ng tiket bas boleh didapati di kaunter tiket Zoo Taping & Night Safari dengan harga bagi dewasa ialah RM20, manakala warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya RM10, selain sebagai permulaan operasi, tiket dijual dengan kadar diskaun 30 peratus hingga 31 Disember 2023.

 

"Bas EV ini kita percaya akan membantu melonjakkan sektor pelancongan dan memperkenalkan tempat serta produk pelancongan di Taiping kepada semua warga Malaysia dan pelancong luar negara,” katanya.