Operasi LRT3 mungkin ditangguhkan elak masalah teknikal berlaku

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) menghubungkan Shah Alam dan kawasan sekitarnya dijangka mengalami kelewatan daripada tarikh operasi asal pada 31 Disember ini kerana mahu memastikan perkhidmatan itu bebas sepenuhnya daripada masalah teknikal.

Ini disebabkan oleh banyak perkhidmatan tren di Malaysia sebelum ini mengalami masalah teknikal sehingga menjejaskan operasi keseluruhan.

Menurut sumber, satu keputusan telah diambil untuk memberi tumpuan kepada ujian tekanan yang akan mengambil masa jauh lebih panjang dan dijalankan dengan lebih ketat terhadap semua sistem dalam LRT3, termasuk aspek keselamatan serta fungsi setiap tren.

"Ujian ini dijalankan dengan lebih intensif dan untuk tempoh yang lebih lama bagi mengenal pasti sebarang potensi masalah lebih awal, sekali gus mengelakkan isu daripada berlaku selepas perkhidmatan dibuka kepada orang ramai.

"Ini kerana orang ramai berhak menerima satu sistem yang bukan sahaja moden dan cekap, tetapi juga boleh dipercayai, selamat dan mematuhi amalan terbaik global.

"Justeru, operasi tidak boleh disegerakan semata-mata untuk mencapai tarikh sasaran," katanya kepada BH.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini menyatakan LRT3 bakal beroperasi 31 Disember ini kerana projek itu kini dalam fasa akhir ujian dan pentauliahan untuk menjamin keandalan dan keselamatan pengangkutan berkenaan.

Namun, Loke juga ada menyatakan bahawa tarikh operasi itu akan tertakluk kepada hasil ujian kerana dalam perkhidmatan rel, satu daripada perkara yang sangat penting adalah ujian terakhir yang dilaksanakan bagi memastikan apabila dibuka kelak, tidak berlaku apa-apa gangguan teknikal dan sebagainya.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, kelewatan pelancaran perkhidmatan itu juga dipengaruhi oleh tempoh yang panjang bagi pelepasan perisian isyarat oleh Siemens, serta masa tindak balas yang sangat perlahan untuk mengeluarkan pembetulan perisian bagi memperbaiki isu yang ditemui semasa ujian bebas gangguan.

Keadaan itu, katanya membawa kepada keputusan untuk menjalankan ujian yang lebih panjang dan tempoh 'beroperasi mengikut jadual' yang lebih lama bagi memastikan tiada masalah permulaan tambahan serta memastikan kestabilan sistem.

Menurutnya, beberapa protokol ujian akan dilaksanakan, antaranya kesemua 22 tren masing-masing perlu menjalani sekurang-kurangnya 4,000 kilometer operasi tanpa sebarang kegagalan dalam semua fungsi.

Tegasnya, jika berlaku sebarang kegagalan dalam mana-mana fungsi, walaupun sekecil mana sekalipun, ujian akan dilakukan semula sehingga mencapai 4,000 kilometer operasi bebas gangguan bagi meluluskan ujian.

"Perkhidmatan LRT3 hanya akan dibuka kepada orang ramai setelah semua penilaian teknikal, aspek keselamatan dan ujian tekanan bebas gangguan dijalankan.

"Matlamatnya adalah agar LRT3 menjadi satu kebanggaan negara. Menjadi sistem yang menampilkan kecemerlangan, keselamatan dan kebolehpercayaan jangka panjang.

"Malah, perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya sebelum ini juga turut mengalami kelewatan selama enam bulan disebabkan tempoh yang diperlukan untuk ujian sistem," katanya.

Prasarana Malaysia Bhd dan kontraktor utama projek LRT3, Setia Utama LRT3 Sdn Bhd (SULRT3) dilaporkan akan mengadakan sesi taklimat media bersama bagi memaklumkan kemajuan projek LRT3 hari ini.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Bagi memastikan keselamatan penumpang dan operasi perkhidmatan sentiasa terpelihara, perkhidmatan…
Berita Domestik
Menurut kenyataan media Rapid Rail Sdn. Bhd. yang dikeluarkan hari ini, hasil siasatan mendapati…
Berita Domestik
Menurut laporan Utusan Malaysia bertajuk "Alangkah Baiknya Kalau LRT3 Siap Seperti Perancangan Asal…