Operasi Khas Kenderaan Komersial -132 kenderaan diambil tindakan

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari JPJ Melaka
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka telah mengambil tindakan terhadap 132 kenderaan yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Kenderaan Komersial yang bermula 1 Okt hingga hari Rabu.

Pengarahnya Muhammad Firdaus Shariff berkata 346 notis kesalahan turut dikeluarkan ke atas pemandu dan pemilik kenderaan sepanjang operasi berkenaan, yang setakat ini melibatkan pemeriksaan ke atas 678 kenderaan komersial.

 

"Operasi hingga 31 Okt ini melibatkan pemeriksaan kenderaan komersial secara menyeluruh, khususnya kesalahan berkaitan lebih muatan, dengan tindakan tegas kepada pihak yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.

"Terdapat tujuh kesalahan utama dikesan iaitu kegagalan mematuhi lampu isyarat, penggunaan telefon bimbit, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan dan garisan berkembar, tidak memakai tali pinggang dan membawa muatan secara berbahaya," katanya pada pemberita di Bukit Katil di sini hari ini.

Mengulas lanjut Muhammad Firdaus berkata JPJ Melaka turut menyita tiga kenderaan komersial yang diambil tindakan di bawah APJ 1987 membabitkan kesalahan tiada lesen kenderaan motor (LKM atau cukai jalan) dan lesen memandu.

Sementara itu beliau berkata JPJ Melaka juga telah mengeluarkan saman terhadap seorang pemandu bas berusia 40-an yang didapati melakukan kesalahan memandu bas bergerak secara mengundur di lebuh raya seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

"Tindakan saman telah dikeluarkan (kepada pemandu) di bawah Seksyen 79(2), Kaedah 15(D) Kaedah-kaedah Kenderaan Perkhidmatan Awam 1959 dan Kaedah 53 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959. Wakil syarikat bas itu juga telah hadir untuk siasatan di bawah Akta APAD 2010 (Akta 715)," katanya.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, operasi dijalankan bermula kira-kira jam 9 pagi…
Informasi
MyEG berkata kedua-dua syarikat itu masing-masing menerima surat pelantikan daripada JPJ pada Isnin…
Berita Domestik
"Sekiranya bayaran kompaun tidak diselesaikan dalam tempoh tiga bulan, kes akan dibawa ke mahkamah…