Operasi Bersepadu JSPT dan JPJ - 134 saman dikeluarkan, 17 motosikal disita

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Sinar Harian
Satu operasi bersepadu telah dijalankan di jalan bypass Bukit Bayas, Kuala Terengganu dan telah menyita 17 buah motosikal di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 pada Jumaat.


Datuk Wan Rukman Wan Hassan, Timbalan Ketua Polis Terengganu berkata, dalam operasi bersepadu itu, sebanyak 134 saman turut dikeluarkan kepada pengguna jalan raya di atas pelbagai kesalahan.

 

Menurutnya, operasi tersebut dijalankan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu (JSPT) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama lima jam bermula 4 petang.


Lokasi operasi iaitu jalan bypass ini dipilih kerana golongan remaja sering menggunakannya untuk berlumba dan melakukan aksi melulu dan berbahaya.


Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu beliau turut menyarankan agar ibu bapa memantau aktiviti anak mereka supaya tidak terlibat dengan perkara yang boleh mengundang kecederaan dan kemalangan jiwa.


Operasi ini melibatkan seorang pegawai kanan dan 11 anggota polis bersama lima pegawai serta 19 anggota JPJ terlibat dalam operasi pada hujung minggu berkenaan.


Beliau turut berkata bahawa pihak polis akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh pemandu atau penunggang serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya lain.

 

 

Sinar Harian