Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Hamidi Adam, berkata sebanyak 2,041 kenderaan diperiksa dalam operasi bermula kira-kira jam 8.30 pagi itu sebelum 21 kenderaan disita, termasuk 17 motosikal dan dua kereta.
"Antara kesalahan tertinggi adalah tiada lesen memandu dan cermin gelap masing-masing dengan 98 notis, 52 kes tiada cukai jalan, 36 kes nombor pendaftaran dan sembilan notis berkaitan kesalahan teknikal.
"Empat lelaki yang diperiksa pula didapati positif dadah. Antara kesalahan lain dikesan ialah dua bas pelancongan yang tidak mempunyai pemandu pelancong, iaitu satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
"Ia kesalahan serius kerana boleh membahayakan keselamatan penumpang serta menjejaskan imej industri pelancongan negara," katanya pada sidang media sejurus operasi berakhir petang Selasa.
Beliau berkata, JPJ akan terus melaksanakan penguatkuasaan berterusan bagi memupuk disiplin dalam kalangan pengguna jalan raya dengan matlamat utama memastikan keselamatan semua.
Dalam perkembangan berkaitan, Hamidi memaklumkan, JPJ Kuala Lumpur mengeluarkan 137,192 saman sepanjang tahun lalu, penurunan sedikit berbanding 145,542 saman pada 2024.
"Kami juga menyita 955 kenderaan tahun lalu atas pelbagai kesalahan, antara yang tertinggi ialah lesen memandu tamat tempoh, selain cukai jalan dan insurans kenderaan tidak sah. Kami juga mengesan kesalahan cermin gelap tidak mengikut spesifikasi serta muatan berlebihan, khususnya membabitkan kenderaan berat," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan lesen memandu, cukai jalan dan insurans kenderaan dalam keadaan sah dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan trafik melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau e-mel ke [email protected].