Opel Zafira O-Team - tribut kepada van GMC Vandura A-Team

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Siapa yang tidak kenal dengan kelibat van GMC Vandura yang memainkan peranan di dalam penceritaan fiksyen The A-Team (Hannibal, Murdock, B.A Baracus, Face) sekitar tahun 1980-an. 

Van yang dipandu oleh B.A Baracus ini menampilkan jaluran merah, layangan warna hitam penuh, rim jenis turbine dan spoiler bumbung ini kemudian membuat kemunculan semula pada filem adaptasi The A-Team pada tahun 2010.

Dek kerana penampilannya yang sangat ringkas itu, van The A-Team ternyata menjadi rebutan dan ikutan, malah ia juga pernah diabadikan di dalam bentuk diecast Hot Wheels (penulis ada satu).
 


Namun, bagaimana jika pengeluar lain menghasilkan produk ala-ala A-Team tersendiri? 

Ya, kami ada jawapannya, Opel. 

O-Team (bersempena dengan nama Opel) dibina oleh Opel Special Vehicles dan banyak mengambil inspirasi daripada van GMC Vandura The A-Team, seperti jaluran yang merintangi badan, skirt sisi, dan spoiler bumbung. 
 


Ruang arca roda pula menampilkan rim BBS bersaiz 20 inci yang dibaluti tayar Michelin Cup 2. 

Namun, tatkala van GMC Vandura hanya mempunyai kombinasi dua warna yang ringkas, Opel O-Team ini pula tampil dengan layangan tiga tona warna yang tidak begitu menarik untuk dilihat. 

Mungkin lebih baik jika mereka kekalkan penggayaan asal van The A-Team yang berwarna hitam merah itu. 
 


Di bahagian dalam pula, pihak Opel Special Vehicles telah menempatkan kerusi sports yang diperoleh daripada model Insignia GSi, dan dihiasi dengan upholsteri kulit dan Alcantara serta jahitan kontras kuning terang (neon yellow). 

Tidak seperti GMC Vandura yang dijana oleh enjin V8, Opel Zafira O-Team ini hanya dikuasakan oleh enjin 2.0 liter diesel dengan 175 hp dan 400 Nm yang memutarkan roda hadapan menerusi transmisi automatik lapan nisbah kelajuan. 

Kekurangan tersebut nampaknya disedari oleh pihak Opel Special Vehicles, dan mereka telah menambah modul bunyi yang membekalkan nada enjin V8 pada van O-Team ini.
 


Namun, berita baiknya, anda boleh memulakan operasi O-Team anda sendiri apabila Opel dikatakan akan menjual versi ini kepada umum tidak lama lagi.