Opel Corsa-e Rally kereta rali tanpa enjin, guna kuasa bateri

oleh Muhammad Md Tajudin|
Opel Corsa-e Rally
Dunia perlumbaan rali memang mengasyikkan dengan kelajuan tinggi, jalan sempit dan aksi lompatan tinggi sebelum mendarat dengan sempurna. Satu lagi yang membuatkan perlumbaan rali sedap ditonton ialah bunyi ekzos dan kelajuan kereta ibarat simfoni.

Boleh bayangkan kereta rali tanpa bunyi ekzos? Satu kejanggalan yang nyata dan nampaknya ia bakal menjadi realiti.

Opel baru sahaja mengumumkan kereta perlumbaan rali elektrik dengan nama Corsa-e Rally. Pengenalan itu menjadikan Opel sebagai pengeluar pertama di dunia yang menawarkan kereta elektrik kepada pelanggan rali. 
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Opel Corsa-e Rally.08

 

Model yang dibina daripada Corsa-e akan dipertontonkan buat kali pertama di khalayak ramai pada Pameran Kenderaan Antarabangsa IAA Frankfurt yang bermula pertengahan September.

Kereta ini bukan dibuat one-off, ia dibina untuk bersaing di dalam ADAC Opel e-Rally Cup yang merupakan perlumbaan model cup (sama jenis) elektrik pertama di dunia. Perlumbaan ini juga berdasarkan kejayaan ADAC Opel Rallye Cup yang menggunakan Opel Adam sebagai kereta lumba.

Perlumbaan kereta rali elektrik ini dijadualkan bermula di antara Jun hingga September tahun depan. Perlumbaan ini lebih kepada aras mula untuk pemandu muda dari serata dunia dengan 15 buah model rali elektrik dirancang untuk digunakan.

 

Opel Corsa-e Rally

 

Corsa-e Rally boleh dipesan daripada Opel Motorsport dengan harga di bawah £46,000 (RM235,954). Model ini telah ditala dengan hasil 100kW (130hp) dan 260Nm yang boleh digunakan serta-merta dek kerana sistem motor elektrik berbanding enjin dengan pembakaran dalaman (ICE).

Selain kereta rali, Opel Corsa-e boleh dimilliki pada harga permulaan £26,490 (RM135,879) termasuk geran plug-in kerajaan bernilai £3,500 (RM17,953). Kereta elektrik dengan saiz kompak ini boleh dipandu sejauh 330 km (WLTP) dan tempoh pengecasan pantas hanya memerlukan 30 minit untuk memperolehi 80 peratus kuasa.

Berbalik kepada perenggan awal tadi bagaimana rasanya menonton perlumbaan kereta rali tanpa bunyi ekzos yang bingit? Ini satu pengalaman baharu.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Opel Corsa-e Rally