Op Selamat CNY : Polis Perak Keluarkan 1,446 Saman

oleh Hamimah Hamid|
SEBANYAK 1,446 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya telah dikeluarkan dalam Op Selamat 17/2022 Tahun Baharu Cina yang dijalankan di 12 lokasi di Perak semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata, memandu laju merupakan kesalahan tertinggi dikesan dalam kalangan pengguna jalan raya dengan 1,247 saman dikeluarkan dalam operasi dari 8 pagi hingga 7 malam itu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut Superintendan Azizan, daripada jumlah itu, 65 kesalahan berkaitan nombor plat kenderaan, 45 membabitkan tali pinggang keledar dan 35 tiada lesen memandu.

“Sejumlah 23 saman juga dikeluarkan atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM), tujuh membabitkan penggunaan telefon bimbit dan empat kerana tidak mematuhi lorong betul serta kesalahan lain,” katanya. 

Tambah Superintendan Azizan, polis turut menahan seorang lelaki Orang Asli berumur 31 tahun yang beralamat di Kampung Mangsok, Rancangan Penempatan Semula Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan kerana disyaki menunggang motosikal dalam keadaan mabuk. 

Katanya, lelaki yang bekerja di sebuah kilang kayu itu ditahan pada kira-kira 1 pagi di Ipoh dalam Op Mabuk dan kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.