Op Selamat 13 catat penurunan kadar kemalangan, kematian

oleh Mohamad Hanif|
Memasuki hari ke 13 Op Selamat kini mencatatkan penurunan kadar kes kemalangan dan kematian berbanding tempoh yang sama dicatatkan pada Op Selamat 11 sempena Aidilfitri tahun lepas.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman SAC Shahrul Othman Mansor berkata Op Selamat 13 mencatatkan 189 kes di seluruh negara yang menyaksikan penurunan 18 kes berbanding 207 kes pada Op Selamat 11.

Menurut beliau lagi, penunggang dan pembonceng motosikal masih menjadi penyumbang utama kemalangan maut dengan mencatatkan 119 kes pada Op Selamat kali ini.

Katanya jumlah kematian turut menurun sebanyak 25 kes atau 11 peratus dengan mencatatkan 200 kes berbanding 225 kes tahun lepas.

“Jumlah kemalangan yang menyebabkan kecederaan parah pula menurun sebanyak 34 kes iaitu 72 kes berbanding 106 kes tahun lepas,” katanya pada sidang media sempena Op Khas Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi arah Utara di sini, hari ini.
 


Shahrul Othman berkata Op Selamat 13, yang akan berakhir esok, menyaksikan jumlah saman yang dikeluarkan meningkat 40 peratus iaitu 201,835 saman berbanding 159,249 saman pada Op Selamat tahun lepas, dengan kesalahan memandu melebihi had laju masih mendominasi jumlah saman iaitu sebanyak 175,745 kes.

Terdahulu, beliau mengetuai Op Khas Bersepadu itu bersama-sama dengan beberapa agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen, Agensi AntiDadah  Kebangsaan dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer.

Sebanyak 94 saman trafik dikeluarkan sepanjang operasi itu yang menyasarkan kenderaan berat dan perdagangan.

Selain itu, seorang  pemandu lori pula didapati positif dadah selepas saringan air kencing dilakukan manakala 12 warganegara  asing ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah pada operasi itu yang bermula 7.30 petang tadi.

Sumber: FrontDesk
Sumber Gambar: NST