Katanya, hasil operasi berkenaan, tujuh individu bersama tujuh buah kenderaan yang dipandu ditahan kerana melakukan kesalahan memandu secara melulu, berbahaya dan bersaing sesama sendiri serta berulang-alik.
Ia bermula dari arah lampu isyarat Taman Matahari Heights menghala ke arah lampu isyarat Taman Seri Pagi, Jalan Persiaran Senawang 1, Seremban pada awal pagi Ahad.
“Polis menahan empat lelaki dalam anggaran umur sekitar 26 hingga 27 tahun bersama empat buah kenderaan yang dipandu mereka.
“Keempat-empat individu terbabit yang bekerja dalam sektor swasta ditahan selepas melakukan aksi memandu kenderaan secara bersaing sesama sendiri serta memotong secara zig zag terhadap kenderaan lain yang menggunakan jalan berkenaan sebanyak lima pusingan,” katanya dalam kenyataan.
Shafiei berkata, BSPT IPD Seremban turut menahan tiga lelaki berusia 24 hingga 29 tahun yang bekerja dalam sektor swasta bersama tiga buah kenderaan yang dipandu di lokasi sama.
“Kesemua individu yang ditahan dibawa ke BSPT IPD Seremban untuk tindakan lanjut. Permohonan reman dibuat hari ini dan kesemuanya akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987.
“Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang dari RM5, 000 dan tidak lebih daripada RM15, 000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun,” katanya.