Op Samseng Jalanan: 60 penunggang tolak motor ke balai

oleh SALINA JALIL|
Seramai 60 penunggang motosikal terpaksa menolak motosikal masing-masing lebih tiga kilometer (km) untuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Kesemua mereka yang berusia antara 14 hingga 20 tahun itu ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Tekkah, Assam Kumbang berdekatan Lapangan Terbang Tekah di sini, petang semalam.
Modenas

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Taiping itu bermula pada 5 petang dan berakhir 10 malam tadi.

 

Menurutnya, operasi itu berhasil menyita 23 motosikal, selain mengeluarkan 60 saman dikeluarkan selepas pemeriksaan dilakukan terhadap 84 motosikal.

 

"Saman turut dikeluarkan terhadap empat kereta yang turut diperiksa salam operasi ini.

 

"Secara keseluruhan sebanyak 107 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

 

"Kesalahan yang dilakukan adalah tiada lesen membabitkan 27 kesalahan, disusuli berkaitan nombor pendaftaran (21), cermin sisi (19), topi keledar (12), aksesori (11), ekzos (10) dan lesen tamat tempoh (7)," katanya.

 

Selain itu, Razlam berkata, sebanyak 13 kompaun juga dikeluarkan dalam operasi itu bagi kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) khususnya bagi kesalahan mengabaikan penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup muka.

 

Pada hari Jumaat lalu, seramai 98 individu terpaksa menolak motosikal masing-masing kira-kira sejam untuk sampai ke Balai Polis Batu Kurau.

 

Mereka yang ditahan berusia antara 13 hingga 20 tahun ditahan dalam Op Samseng Jalanan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping. Dalam Op Samseng Jalanan tersebut sebanyak 42 motosikal disita, selain 134 saman dikeluarkan dalam operasi itu.

 

"Sebanyak 98 motosikal diperiksa dalam operasi ini, namun tiada tangkapan dibuat bagi mana-mana peruntukan dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987, begitu juga bagi kesalahan lain seperti jenayah dan narkotik," katanya Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat

 

Difahamkan, kesemua yang ditahan terpaksa menolak motosikal kira-kira enam kilometer dari lokasi operasi berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelai dan sering menjadi tumpuan 'mat motor'.

 

Difahamkan juga, antara kesalahan yang dilakukan adalah modifikasi keterlaluan khususnya pada bahagian ekzos, tiada nombor plat pendaftaran, serta nombor plat tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan.

 

HM

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata…