Op khas, Kempen Keselamatan jalan raya JPJ sempena Tahun Baru Cina 2025

oleh Firdaus Razani|
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia dalam usaha meneruskan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya di musim perayaan dengan strategi secara menyeluruh melalui Operasi Khas Tahun Baru Cina 2025 dan Kempen Keselamatan Jalan Raya – “Pandu Cermat, Sampai Selamat” bermula 20 Januari 2025 – 9 Februari 2025.
CHERY Omoda 5 MREC Banner Campaign March 2025

Operasi Khas Tahun Baru Cina 2025 adalah bertujuan untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan-peraturan atau undang-undang jalan raya yang berkuat kuasa.

Melalui Operasi Khas ini, pihak JPJ akan memfokuskan kepada sembilan kesalahan utama - Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah- Kaedah di bawahnya iaitu :

  • Memandu Melebihi Had Laju
  • Tidak Mematuhi Isyarat Lampu Merah
  • Memotong Di Garisan Berkembar
  • Memandu di Lorong Kecemasan
  • Memotong Barisan
  • Guna Telefon Bimbit
  • Tidak Pakai Tali Pinggang / Topi Keledar
  • Memandu Kenderaan Berat Di Lorong Laju
  • Lebih Muatan

Tambahan itu, menerusi Kempen Keselamatan Jalan Raya - “Pandu Cermat, Sampai Selamat”, pihak JPJ melaksanakan pelbagai kaedah dan pendekatan advokasi keselamatan jalan raya melalui lebih daripada 30 program antaranya pameran, ceramah kesedaran, edaran kit keselamatan jalan raya dan program advokasi dengan kerjasama rakan strategik terutamanya pihak media.

Bersempena dengan Tahun Baru Cina 2025, pihak JPJ memohon pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi peraturan-peraturan jalan raya dan pengguna jalan raya perlu memastikan kenderaan masing-masing telah diselenggara dengan baik dan selamat serta rancang perjalanan ke destinasi yang di tuju.

Para pengguna jalan raya juga dinasihati agar mempunyai rehat yang cukup dan berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) jika keletihan.

Pihak JPJ sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara seterusnya bagi mencapai sasaran pengurangan statistik kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sekurang- kurangnya 50% menjelang tahun 2030.

Laporkan aduan berkaitan kesalahan lalu lintas sepanjang musim perayaan melalui Aplikasi MyJPJ melalui menu e-Aduan@jpj atau melalui aduan email JPJ [email protected]  “Pandu Cermat, Sampai Selamat”