Op Bersepadu JPJ sempena perayaan Aidilfitri bermula 18 hingga 27 April

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan Op Bersepadu sempena perayaan Aidilfitri bermula dari 18 hingga 27 April ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.


Beliau berkata sebanyak 231 lokasi di seluruh negara dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan atau "hotspot" yang mana pemantauan akan ditingkatkan di kawasan terlibat.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

"Kalau kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan biasanya pendekatan yang digunakan adalah menempatkan kereta peronda untuk mengadakan rondaan supaya dengan kehadiran pegawai penguat kuasa pemandu akan lebih berhati-hati.

Saya harap pengguna patuh kepada peraturan jalan raya terutama di kawasan Pahang kerana ia merupakan laluan utama ke Pantai Timur dari Lembah Klang dan sudah tentu berjuta kenderaan akan lalu. Selain itu, kita juga akan laksanakan larangan kepada kenderaan berat seperti biasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pejabat Baharu JPJ Bentong, di Jalan Chamang, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim.

Sementara itu, Loke memaklumkan selain di daerah ini dua lagi bangunan baharu JPJ sedang dibina iaitu masing-masing di Sarikei, Sarawak dan Muar, Johor.

Menyentuh mengenai pembinaan cawangan baharu JPJ Bentong, Loke ketika berucap berkata ia bertujuan menggantikan pejabat sedia ada yang terletak di Taman Datuk Shah Bandar Hussin, di sini yang telah beroperasi sejak 1983.

Katanya pejabat yang berada di bangunan kedai kini telah daif dan tidak dapat menampung kunjungan orang awam iaitu seramai 180 pelanggan setiap hari atau 50,000 pelanggan setahun.

Justeru, beliau berkata kerajaan telah meluluskan pembinaan bangunan berkonsepkan pejabat pintar di tapak berkeluasan kira-kira 0.6474 hektar dengan peruntukan RM10.4 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-11 dan ia dijangka siap pada April 2025.

Hanya terletak kira-kira satu kilometer dari pusat bandar Bentong, pejabat baru yang mudah diakses dapat memanfaatkan hampir 120,000 penduduk daerah ini dan masyarakat sekitar selain kakitangan JPJ sendiri.

"Kerajaan sedar bagi memastikan JPJ boleh memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, di samping memperkasakan aspek digital, infrastruktur sewajarnya harus disediakan agar tadbir urus JPJ kekal mantap dan relevan," katanya.

 

 

Bernama