Op Aidiladha - JPJ Kedah keluar 655 saman

oleh Mohamad Hanif|
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengeluarkan 655 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya yang dikesan sepanjang Op Khas Hari Raya Aidiladha 2022 yang dilaksanakan di negeri ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pengarah JPJ Kedah Abdul Rahman Emang Anyie berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 189 notis saman turut dikeluarkan ke atas pemandu warga asing (PeWA).

"Penguatkuasaan lebih tegas pada sembilan kesalahan iaitu memandu melebihi had laju, tidak mematuhi isyarat lalu lintas atau langgar lampu merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar, membawa lebih muatan dan muatan bahaya.

"JPJ amat serius dalam mencapai sasaran pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya setiap tahun, sekurang-kurangnya 50 peratus," kata Abdul Rahman.

Katanya, dalam operasi dari 7 Julai hingga tengah malam tadi, empat pemandu dikesan positif dadah.
Jelasnya kesemua kesalahan itu tertakluk di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Abdul Rahman memaklumkan, operasi turut tertumpu pada kenderaan awam di mana penyamaran penumpang dan pemeriksaan pemandu bas turut dilakukan di terminal bas utama di Alor Setar dan Sungai Petani.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan operasi bersepadu di bandar raya ini, malam tadi.

Operasi turut membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Puspakom, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam operasi malam tadi, JIM turut menahan dua wanita warga Indonesia berusia 30 dan 32 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Sumber: Astro Awani