OMODA bakal melancarkan crossover SUV OMODA 5 dalam tempoh beberapa bulan lagi dengan jualan bermula pada Februari 2024.
Model UK berbeza daripada Chery Omoda 5 tempatan dengan enjin 1.5 liter TCI turbo yang menghasilkan 156 kuasa kuda (hp) dan tork 230Nm.
OMODA 5 dibekalkan enjin 1.6 liter turbo dengan kuasa lebih tinggi iaitu 197 hp dan tork 290Nm. Satu lagi yang dimaklumkan, OMODA 5 EV bakal ditawarkan di UK.
Di peringkat antarabangsa memang ada dua enjin yang ditawarkan selain transmisi CVT dan klac berkembar tujuh kelajuan dengan pilihan pacuan roda depan atau semua roda.
Satu lagi yang berbeza ialah suspensi belakang jenis multipautan atau torsion beam yang digunakan untuk Omoda 5 tempatan.
Dari segi keselamatan, OMODA 5 mempunyai keputusan yang bagus dalam penilaian EURO NCAP dengan memperolehi lima bintang.
Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) standard merangkumi fungsi kawalan suai pandu dan amaran pelanggaran berdepan.
Turut dilengkapi bantuan pengekalan lorong dan bantuan alur tinggi dan rendah.
Dari segi reka bentuk, OMODA menyerlah melalui gaya bahasa Art in Motion. Nama sedap disebut dan reka bentuk menarik, barulah sepadan!
Di antara model tempatan dan UK terdapat sedikit perbezaan, logo Chery pada jeriji diganti dengan tulisan OMODA pada bucu tukup enjin.
Bahagian belakang juga sama, logo Chery diganti tulisan OMODA dan angka 290T berbanding 230T pada Chery Omoda 5 tempatan.
Pada bahagian dalam, tiada logo Chery pada stereng dan kerusi sport menyerlahkan imej sporti seperti bahagian luar.
Dari segi dimensi, Chery Omoda 5 berukuran 4,400 milimeter (mm) panjang, 1,830 mm lebar, 1,585 mm tinggi dan jarak roda 2,630 mm.
Ukuran tersebut meletakkannya sebagai pesaing Proton X50 dan Honda HR-V.
OMODA UK tidak berkongsi harga dan sebagai rujukan Chery Omoda 5 dijual pada harga RM108,800 untuk varian C dan RM118,800 bagi varian H.
Penulis: Muhammad Md Tajudin