Norton kembali, kini di bawah TVS dan superbike V4SV dibuka untuk tempahan!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Norton V4SV
Norton V4SV
Norton Motorcycles adalah sebuah syarikat yang lama, ditubuhkan pada tahun 1898 dan mula mengeluarkan motosikal pada tahun 1902.

Dengan sejarah yang panjang, Norton Motorcyles menjadi salah satu jenama motosikal ikonik Britain dan menghasilkan pelbagai model popular.

Di antaranya 650SS, Atlas, Commando, Dominator, Manx, Navigator dan satu lagi yang menaikkan nama Norton ialah penglibatan dan kejayaannya di dalam dunia perlumbaan.

Pada tahun 1907, Rem Fowler dengan motosikal Norton menang perlumbaan pertama Isle of Man TT dalam kelas silinder berkembar.

Sejarah yang panjang juga menyaksikan beberapa kali Norton bertukar tangan dan pada April 2020, syarikat ini dimiliki oleh TVS Motor Company.

TVS bukan calang-calang, ianya adalah pengeluar motosikal ketiga terbesar di India.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Dr Robert Hentschel

 

Di bawah TVS, Norton kini mempunyai pusat pengeluaran baharu di Solihull, West Midlands dan masih kekal dipasang dengan tangan dan kombinasi mesin moden.

Baru-baru ini juga diumumkan Norton telah menerima pelaburan berjumlah £100 juta (RM537.5 juta) dari TVS dan membolehkan banyak perkara dilakukan.

Apa produk yang ditawarkan kepada peminat dan pengguna? Motosikal yang dipengaruhi litar, V4SV.

Superbike ini dipacu oleh enjin 1200cc V4 dengan sudut 72 darjah. Kuasa yang dihamburkan ialah 185 bhp pada 12,500 rpm dan daya kilas 125 Nm pada 9,000 rpm.

Aci (cam) dipacu rantai dengan idler gear bagi mengurangkan ketinggian enjin. Injap inlet diperbuat daripada titanium.

Enjin itu mempunyai nisbah mampatan 13.6:1 dengan saiz gerek dan lejang 82mm x 56.8mm.

 

Norton V4SV

 

Komponen suntikan bahan api terdiri daripada lapan penyuntik manakala sistem drive-by-wire jenis bebas pada silinder depan dan belakang untuk lebih kawalan dan feel.

Turut dilengkapi slipper clutch, sistem tukaran gear cepat dan auto blipper.

Suatu yang menarik, reka bentuk casis V4SV dibangunkan di litar Isle of Man TT.

Casis motosikal ini jenis aluminium berongga dan rangkanya dikimpal dengan tangan secara TIG dan juga dikilatkan dengan tangan bagi menampakkan kilatan seperti cermin!

Peredam handle dari Ohlins dan pilihan roda pula berbeza. Model V4SV Carbon dipasang roda gentian karbon BST manakala V4SV dengan roda aluminium forged dari OZ Racing.

Suspensi depan dan belakang boleh laras penuh juga dari Ohlins dengan model NIX30 untuk depan dan Ohlins TTXGP sesuaian khas Norton di belakang.

 

Norton V4SV

 

Dari segi gayaan, V4SV tampil unik dengan elemen klasik seperti lampu bulat di depan dan bahagian sisi yang menyerlah dan dan rangka yang bersinar.

Rangka dibalut dengan panel gentian karbon penuh dan tangki minyak 15 liter dibawah tempat duduk juga diperbuat dari gentian karbon dan diperkukuh bersama Kevlar.

Seperti yang dinyatakan, ada dua pilihan V4SV iaitu Carbon dan Manx Silver. Model Carbon menampakkan kesan gentian karbon pada badan dan roda gentian karbon BST.

Model Manx Silver pula menggunakan warna badan perak dengan riasan merah dan karbon dan roda OZ Racing warna merah.

 

Norton V4SV

 

Memperlahankan V4SV ialah brek Brembo dengan cakera 330 mm di depan dan 245 mm di belakang.

Kelengkapan elektronik V4SV terdiri daripada kawalan cengkaman sudut rebahan enam paksi, IMU dan tiga mod enjin iaitu Wet, Road dan Sport.

Penunggang disediakan paparan warna penuh saiz enam inci dan menariknya turut dilengkapi kamera pandangan belakang.

Norton V4SV sudah pun ditawarkan untuk tempahan dan dijual dari £44,000 (RM236,487).

Norton akan mengutamakan pembeli yang telah meletakkan deposit sebelum syarikat dimiliki oleh TVS.

Penulis: Muhammad Md Tajudin