Nombor pendaftaran PPP1 dibida pada harga RM260,000.

oleh SALINA JALIL|
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip hasil RM203.88 juta sejak pelaksanaan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) yang diperkenalkan mulai April tahun lalu.


Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Zamakhshari Hanipah, berkata hasil kutipan itu membabitkan 158 siri nombor pendaftaran kenderaan yang dibuka untuk dibida orang awam dan syarikat.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

"Bermula April hingga Disember tahun lalu, sebanyak RM61.96 juta dikutip JPJ seluruh negara membabitkan 54 siri nombor pendaftaran kenderaan melalui sistem JPJeBid.

 

"Tahun 2020 pula dari Januari hingga hari ini, sebanyak RM141.92 juta membabitkan 104 siri dikutip JPJ sekali gus menunjukkan bahawa sambutan terhadap sistem bidaan dalam talian bagi mendapatkan nombor pendaftaran unik ini tetap memberangsangkan walaupun dalam tempoh negara dilanda COVID-19," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung Keputusan Bidaan Siri PPP dan Inisiatif Pendigitalan Perkhidmatan JPJ di Ibu Pejabat JPJ Pulau Pinang, semalam.

 

Pada 5 November lalu, siri PPP bagi kawasan Pulau Pinang dibuka bidaannya melalui sistem JPJebid bermula jam 12 tengah malam hingga 9 November jam 11.59 malam.

 

Zamakhshari berkata, siri nombor pendaftaran PPP yang dibuka selama lima hari itu berjaya mengutip hasil tertinggi iaitu RM7.3 juta mendahului siri SYG yang dibuka sebelum ini dengan kutipan RM3.6 juta.

 

"Harga bidaan tertinggi adalah bagi nombor siri PPP1 yang dimenangi seorang ahli perniagaan dengan nilai bidaan sebanyak RM260,000.

 

"Bidaan kedua tertinggi pula adalah nombor siri PPP9 iaitu RM160,000 dan ketiga adalah PPP6 dengan bidaan sebanyak RM140,000," katanya.

 

Terdapat seramai 315,758 bilangan pengguna berdaftar dengan JPJeBid bagi berpeluang mendapatkan siri PPP berkenaan.

 

Sementara itu, Zamakhshari berkata, JPJ menjangkakan orang awam dapat memanfaatkan pembukaan 50 lagi tambahan kios seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021 mulai Jun tahun hadapan ke arah pengamalan norma baharu pasca COVID-19.

 

"Dalam pembentangan Belanjawan 2021, perkhidmatan dalam talian JPJ akan diperluaskan melalui penambahan kios di 50 lokasi strategik seluruh negara.

 

"JPJ kini dalam proses membuat kajian bagi mengenalpasti lokasi serta keperluan di satu-satu tempat sebelum membuka tender seterusnya menjangkakan perkhidmatan kios baharu ini dapat dimulakan pada Jun tahun hadapan," katanya.

 

 

 

BH

Berita Berkenaan

Berita Domestik
NPI siri GOLD itu diperkenalkan bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang ke-50.…
Berita Global
Walaupun bidaan baharu sahaja dibuka, tidak mengejutkan apabila angka bidaan sudah pun melepasi…
Berita Domestik
“Ketiga, M8M dengan nilaian RM450,000, diikuti M9M dengan nilai RM402,004 dan kelima, M6M dengan…