Nombor pendaftaran khas buat universiti awam

oleh Mohamad Hanif|
Kerajaan membuat keputusan dasar untuk memberi kelonggaran kepada universiti awam (UA) mempunyai nombor pendaftaran khas kenderaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata dana menerusi penjualan nombor plat khas itu boleh digunakan untuk penyelidikan dan pembangunan universiti.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

“Saya ada berbincang dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kira-kira dua bulan lalu dan membuat keputusan dasar untuk memberi kelonggaran kepada UA untuk memiliki nombor plat khas kenderaan.

“Ada banyak permintaan daripada pihak universiti dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik juga ada minta dan beri surat untuk tujuan ini.

“Kelonggaran ini sebagai sokongan kepada universiti sebagai institusi pendidikan tinggi awam untuk mendapatkan dana bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan generasi muda,” katanya pada sesi Dialog Universiti - Industri sempena lawatan Menteri Pengangkutan ke Universiti Malaysia Terengganu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UMT, Datuk Prof Dr Nor Aieni Mokhtar.

Loke selepas mengambil alih jawatan Menteri Pengangkutan sebelum ini menyatakan nombor pendaftaran khas kenderaan tidak lagi diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak persendirian.

Dasar baharu itu menetapkan semua nombor pendaftaran khas akan dikeluarkan JPJ dan kerajaan saja.

Loke berkata, kerajaan juga bersetuju memberi ‘harga istimewa’ yang mana sebelum ini sebarang permohonan nombor plat khas perlu membayar RM1 juta dan kini diturunkan kepada RM500,000.

Katanya, kelonggaran diberikan selama tiga tahun untuk pihak universiti menjalankan penjualan nombor plat khas itu sama ada secara tender atau bidaan.

“Penjualan satu siri boleh menjana sehingga RM10 juta dan tahun lalu kita melancarkan siri khas Malaysia, membolehkan kerajaan menjana RM13 juta daripada penjualannya.

“Jika universiti mempunyai sokongan alumni, mereka boleh diminta menyumbang pembayaran permohonan dan akan didaftarkan di bawah Naib Canselor, manakala dana (penjualan) akan diuruskan universiti,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Antaranya ialah dengan menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2, e-hailing…
Berita Domestik
Menurut Menteri Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan itu dibuat supaya cukai jalan kenderaan…
Berita Global
Dalam satu laporan oleh rakan media negara jiran Autonetmagz, kenderaan elektrik akan diberikan…