Nissan Yakin Kembali Untung Selepas Hampir Dua Tahun Rugi Berterusan

oleh Qalif Latif|
Nissan menjangkakan syarikat itu kembali mencatat keuntungan bagi tahun fiskal semasa selepas merekodkan kerugian bersih untuk tujuh suku tahunan berturut-turut.

Pengeluar automotif Jepun itu kini sedang mempercepat pelbagai langkah penstrukturan semula termasuk pengurangan kapasiti pengeluaran, penutupan operasi tertentu, pengurangan tenaga kerja serta penjualan aset bagi mengurangkan kos operasi global yang semakin meningkat.

Bagi tempoh tiga bulan berakhir Mac lalu, Nissan merekodkan kerugian bersih sebanyak ¥282.9 bilion (RM8.5 bilion), namun angka itu lebih baik berbanding kerugian ¥676 bilion (RM20.3 bilion) bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Untuk tahun fiskal yang bermula April 2026, Nissan menjangkakan hasil pendapatan meningkat 8.3 peratus kepada ¥13 trilion (RM390 bilion), selain menyasarkan keuntungan bersih sebanyak ¥20 bilion (RM600 juta).

Sebelum ini, Nissan mencatatkan kerugian bersih ¥533.1 bilion (RM16 bilion) bagi keseluruhan tahun fiskal berakhir Mac 2026.

Jualan Global Dijangka Meningkat

Nissan turut menjangkakan jualan global meningkat 4.7 peratus kepada 3.3 juta unit tahun ini selepas jualannya susut 5.8 peratus pada tahun fiskal terdahulu.

Walaupun begitu, pendapatan bagi suku keempat masih turun 1.7 peratus tahun ke tahun kepada ¥3.43 trilion (RM103 bilion).

Bagi mengawal perbelanjaan, Nissan kini sedang melaksanakan pelbagai langkah drastik termasuk mengurangkan jumlah kilang pemasangan, mengecilkan kapasiti pengeluaran global serta mengurangkan jumlah model dalam portfolio produknya.

Awal bulan ini, Nissan mengumumkan pengurangan ratusan pekerjaan di Eropah selain penstrukturan operasi di rantau tersebut.

Pada April lalu pula, Nissan memaklumkan beberapa model kurang laris akan dihentikan pengeluarannya bagi memberi fokus kepada model yang lebih menguntungkan.

Jual Kilang Kepada Chery

Sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan syarikat, Nissan sebelum ini turut bersetuju menjual operasi kilangnya di Afrika Selatan kepada Chery Automobile.

Nissan SA

Langkah itu dilihat sebagai usaha mengurangkan beban operasi global selain memperkukuhkan kedudukan kewangan syarikat.

Dalam masa sama, Nissan juga mula memberi fokus terhadap teknologi mobiliti masa depan termasuk pembangunan pemanduan autonomi dan perkhidmatan robotaxi.

Baru-baru ini, Nissan bekerjasama dengan Uber Technologies dan startup teknologi pemanduan autonomi dari United Kingdom, Wayve bagi membangunkan perkhidmatan robotaxi di Jepun.

Program perintis pertama dijangka bermula di Tokyo pada penghujung 2026.

Tarif Amerika Syarikat Terus Tekan Prestasi

Dalam laporan kewangannya, Nissan turut mengakui tarif import Amerika Syarikat masih memberi tekanan besar terhadap keuntungan syarikat.

Menurut Nissan, tarif tersebut menyebabkan keuntungan operasi susut sebanyak ¥54 bilion (RM1.6 bilion) bagi tempoh tiga bulan berakhir Mac lalu.

Kenderaan buatan Jepun ketika ini masih dikenakan tarif import 15 peratus di Amerika Syarikat susulan perjanjian perdagangan yang dimeterai dengan Washington pada Julai tahun lalu.