Sebagai makluman, Nissan X-Terra merupakan Navara versi SUV dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk yang dibangunkan menggunakan platform trak pikap yang disebutkan tadi.
Rupa luaran Nissan X-Terra 2021 kini lebih tajam dan menyerupai model Patrol, terima kasih kepada penggunaan rekaan gril V-motion, bampar hadapan yang lebih agresif, lampu utama yang lebih tajam serta lampu nyalaan siang LED berbentuk C.
Aspek keselesaan penumpang kini dipertingkatkan dengan kehadiran tempat duduk Zero Gravity pada baris pertama dan kedua, selain menggunakan kaca akustik pada windscreen dan cermin sisi bagi mengurangkan bunyi bising menerjah masuk ke ruang kabin.
Rekaan papan pemuka juga turut diperbaharui sepenuhnya dan dihiasi dengan bahan sentuhan lembut, di mana seksyen atas bahagian tersebut mempunyai rekaan yang lebih rata, diikuti dengan skrin paparan infotainmen bersaiz 9 inci.
Roda stereng terbaharu Nissan turut dimuatkan pada X-Terra, selain terdapat kehadiran slot pengecasan USB A dan USB C untuk penumpang hadapan dan belakang.
Dari segi kuasa, Nissan X-Terra 2021 dilengkapi enjin empat silinder sebaris petrol 2.5 liter yang menghasilkan 165 hp dan 241 Nm yang memacu sistem pacuan semua roda menerusi transmisi automatik tujuh kelajuan.
SUV ini juga turut lengkap dengan ciri mesra off-road seperti kekunci empat roda, LSD dan locking rear differential elektronik.