Nissan ubah strategi jualan model Z: Produksi ikut tempahan, kuota manual lebih terhad

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Nissan dilaporkan akan mengubah pendekatan pengeluaran untuk model sports coupe ikoniknya, Nissan Z, dengan beralih kepada sistem produksi mengikut tempahan (build-to-order) bermula menjelang tahun model 2027.

Langkah ini diambil selepas Nissan sebelum ini menghasilkan jumlah Z yang terlalu banyak, menyebabkan stok berlebihan di pusat jualan. 

Walaupun insentif dan potongan harga membantu mengurangkan lambakan tersebut, syarikat jenama ikonik Jepun itu pastinya tidak mahu mengulangi kesilapan sama.

Menerusi pendekatan baharu itu, pengagihan unit kepada pengedar akan dikurangkan, dan spesifikasi yang dibina akan lebih bergantung kepada permintaan sebenar pelanggan. 

Menurut laporan daripada forum peminat NissanZClub, setiap pengedar mungkin menerima purata sekitar tiga unit sahaja, bergantung kepada saiz dan kepentingan pasaran masing-masing.

 

2

 

Nissan memaklumkan bahawa strategi itu bertujuan memastikan inventori lebih mampan, di samping memberi peluang kepada pembeli mendapatkan spesifikasi yang benar-benar mereka mahukan.

Antara tarikan utama untuk tahun model 2027 ialah kemas kini rekaan bahagian hadapan serta penawaran transmisi manual enam kelajuan untuk varian berprestasi tinggi, Nissan Z Nismo.

Versi Nismo dengan transmisi manual dijangka menjadi pilihan paling diburu peminat tegar Z, namun, ia juga berkemungkinan menjadi varian paling sukar diperoleh memandangkan jumlah pengeluarannya dilaporkan sangat terhad.

Walaupun terdapat dakwaan bahawa model tersebut sudah habis ditempah, situasi sebenar mungkin lebih kepada kuota yang telah diagihkan kepada pengedar. 

 

3

 

Unit-unit itu masih memerlukan pembeli, tetapi dengan angka pengeluaran yang rendah dan permintaan dijangka tinggi, tidak mustahil akan wujud kenaikan harga oleh pengedar (dealer markup).

Secara keseluruhan, pendekatan build-to-order ini menunjukkan Nissan mahu lebih berhati-hati dalam menguruskan model niche seperti Z. 

Dengan menyesuaikan produksi mengikut permintaan sebenar, jenama itu dilihat berharap untuk dapat mengelakkan lebihan stok sambil memastikan setiap unit yang dihantar benar-benar memenuhi jangkaan peminat.

Bagi peminat transmisi manual khususnya, 2027 mungkin menjadi tahun yang menarik, tetapi juga mencabar untuk mendapatkan Z Nismo dengan transmisi manual.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan, Nada yang kini berusia 61 tahun akan melepaskan jawatannya sebagai Corporate…
Berita Global
Perkembangan itu dibentangkan sempena Persidangan Akademik ke-30 “Wildlife and Society” yang…
Berita Global
Imej teaser hanya memaparkan bahagian belakang kenderaan dengan pencahayaan minimum, namun cukup…