Nissan Skyline R32 HKS Zero-R, Ferrari F40 antara 50 buah jentera yang dilelong di TAS 2019!

oleh Mohamad Hanif|
Tokyo Auto Salon merupakan antara wajib tahunan yang perlu diziarahi - paling tidak, sekali seumur hidup - bagi para peminat industri automotif negara matahari terbut.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Manakan tidaknya, selain daripada pameran kereta-kereta talaan aftermarket berprestij di dunia, ia juga menjadi tempat pameran kereta tidak rasmi, terima kasih kepada para pengunjung yang sanggup memandu kenderaan mereka semata-mata memeriahkan acara tersebut. 

Artikel ini bukan berkisarkan tentang pameran kereta, akan tetapi BH Auction, pihak yang menguruskan bidaan kereta-kereta eksotik dan terhad unit produksinya akan mengadakan acara bidaan tersendiri di TAS 2019.
 


Bertempat di Makuhari Messe Chiba, Jepun pada 11 Januari 2019 nanti, BH Auction membawakan 50 buah kenderaan eksotik, dan percayalah, ia antara barisan kenderaan yang paling cool pernah kami lihat. 

Terdiri daripada beberapa buah Nissan Skyline, kereta vintaj Honda, Ferrari Testarossa talaan Koenig (bukan Koenigsegg), Mercedes-Benz 300SL AMG dan sebuah Ferrari F40!

 


Bukan itu sahaja, terdapat beberapa jentera perlumbaan sebenar yang dipamerkan seperti Audi R8 LMS Ultra Taisan R8, Dodge Viper Competition Coupe Formula Drift USA, malah terdapat sebuah jentera Nissan Skyline GT-R R32 Group A dengan livery yang ikonik juga turut dimasukkan ke dalam senarai. 
 


Tidak dilupakan, salah sebuah Nissan Skyline R32 HKS Zero-R daripada empat unit yang dibina di dunia turut tersenarai di dalam barisan kenderaan untuk dibida, dengan harga anggaran bermula dari  ¥14,000,000 (RM532,400)!

Sebagai info tambahan, unit RB26DETT telah menjalani modifikasi dan ditingkatkan sesaran kepada 2,688 cc (sesaran asal 2,568 cc) yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 600 PS. 

Bagi mencapai kadar pembahagian berat yang lebih baik, tangki bahan api telah dipindahkan ke bahagian tempat duduk baris kedua, dan siapa sangka, jentera binaan tahun 1993 ini masih mampu mencapai 300 km/j dengan mudah. 

Baca: 7 buah Nissan Skyline GT-R/Nissan GT-R Edisi Terhad yang Pernah Wujud

Terlalu banyak untuk disenaraikan, anda boleh melihat dengan sendiri senarai kenderaan dan harga permulaan yang akan dibida pada 11 Januari 2019 ini menerusi pautan di bawah dan juga senarai penuh dalam bentuk fail PDF (saiz 42.7 MB).

BH Auction

BH Auction: Tokyo Auto Salon 2019 Auction (.pdf)


Amaran: Tidak sesuai buat mereka yang menghidap penyakit jantung.