Nissan Sentra NISMO Concept, sedan sporti 240hp 353Nm

oleh Muhammad Md Tajudin|
Berdasarkan pemerhatian di pasaran tempatan, Nissan Sylphy kurang mendapat perhatian berbanding Honda Civic dan Toyota Corolla Altis. Buktinya ialah jualan Sylphy telah lama dihentikan dan unit terpakai pula jarang ditemui.

Berkemungkinan Sylphy kurang mendapat sambutan kerana reka bentuknya yang tidak seagresif Civic atau Corolla.

Di luar negara seperti Amerika Syarikat, Sylphy dikenali sebagai Sentra dan pada 2014 ada satu projek khas dengan pakej yang begitu menyerlah.

Projek yang dimaksudkan ialah Nissan Sentra NISMO Concept yang berjaya merubah terus karakter sedan itu ke dunia prestasi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Nissan Sentra NISMO Concept

 

Projek sebegini sebenarnya sudah biasa untuk Nissan termasuk mengeluarkan model khas untuk pasaran seperti 370Z NISMO, JUKE NISMO, JUKE NISMO RS dan GT-R NISMO.

Dari bahagian luar, Sentra NISMO ini kekal dengan tema NISMO yang ada di pasaran, warna putih mutiara, bampar depan dan belakang labuh dan kemasan aerodinamik berwarna karbon dan merah. Sifir ini memang kena dan sepadan untuk model keluaran Nissan.

Selain kit badan, apa yang membuatkan Sentra NISMO ini menonjol ialah roda 19 inci RAYS dengan kombinasi tayar Michelin Super Sport berukuran 225/35R.

Lebih kemas apabila keempat sudut dipasang fender flare dan disebalik roda ialah angkup brek warna merah yang diambil dari model 370Z.

 

Nissan Sentra NISMO Concept

 

Bahagian belakang pula menonjol dengan lampu kabus dan diffuser ala 370Z dan garang ditemani dua muncung ekzos berkembar.

Bahagian dalaman pula tidak kurang hebatnya. Kerusi depan asal digantikan dengan model Recaro Sportster yang dibalut kulit hitam dan Alcantara®. Bahan Alcantara® turut digunakan pada stereng, kerusi belakang, tiang dan bumbung kereta.

Satu lagi bahagian yang menjadikan Sentra NISMO Concept ini menarik ialah enjin dan transmisi. Enjin asal 1.8 liter Sentra berkuasa 130 hp digantikan terus dengan model lain.

Enjin yang menjadi pilihan diambil dari JUKE NISMO RS dengan nadi turbo dan teknologi Direct Injection Gasoline (DIG). Menariknya enjin 1.6 liter JUKE itu diperbesarkan kepada 1.8 liter dengan kuasa anggaran 240 hp dan tork 325 Nm.

 

Nissan Sentra NISMO Concept

 

Enjin itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan manual dan limited-slip differential (LSD) untuk lebih kestabilan sewaktu memandu.

Set suspensi asal depan dan torsion beam belakang turut 'diusik' NISMO dengan penyerap hentak dan spring baharu. 

Akhirnya setelah siap, apa yang dibuat oleh NISMO ini sangat menarik dan begitu menonjol. Dari sebuah sedan biasa langsung berubah kepada kereta keluarga sporti!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Kredit gambar: Nissan