Sebagai sebuah kei-car, Nissan Sakura memiliki ukuran sepanjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,655 dengan jarak antara roda sepanjang 2,495 mm, di mana jarak antara roda itu agak panjang jika dibandingkan dengan saiz keseluruhan.

Ini kerana Nissan Sakura menggunakan platform EV yang khusus, di mana jarak gantungan berjaya diminimumkan, sekaligus menjadikan ruang kabin yang mampu memuatkan empat orang pada satu-satu masa dan kapasiti kargo sebesar 107 liter.
Nissan Sakura didatangkan dengan motor elektrik tunggal yang mampu menjana kuasa setinggi 63 hp (ikut peraturan keicar) dan daya kilas 195 Nm, dengan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 130 km/j.
Pek bateri lithium-ion berkapasiti 20 kWh pula membenarkan jarak pemanduan sejauh kira-kira 180 km berdasarkan data kitaran WLTC.

Bateri Nissan Sakura ini boleh bertindak sebagai unit bank kuasa untuk kegunaan isi rumah selama satu hari, dan pengecasan penuh bateri pula memakan masa sekitar lapan jam menggunakan soket domestik.
Sistem pengecasan pantas pula membolehkan bateri dicas sehingga 80 peratus dalam tempoh 40 minit sahaja.

Di dalam ruang kabin, Nissan Sakura dilengkapi dengan skrin paparan Advanced Drive Assist Display bersaiz tujuh inci, serta skrin paparan tengah bersaiz sembilan inci yang diposisikan menegak yang menyokong sambungan kepada Apple CarPlay secara nirwayar.
Nissan Sakura turut didatangkan dengan tiga mod pemanduan, iaitu Sport, Standard dan Eco, ditambah dengan ciri operasi pedal tunggal, dan sistem keselamatan ProPILOT serta ProPILOT Park.
Ciri ProPILOT Park ini merupakan ciri parkir automatik di mana ia akan mengawal stereng, pendikit, brek, penukaran gear dan brek parkir - ciri yang pertama untuk sebuah kei-car.

Terdapat tiga varian ditawarkan, di mana harga jualan pula bermula dari 1.78 juta yen (RM61,016) setelah subsidi berjumlah 550,000 yen atau RM18,853.