Nissan Roox, kereta mini hasil kerjasama dengan Mitsubishi

oleh Muhammad Md Tajudin|
Pada 19 Mac 2020 Nissan Roox bakal dilancarkan di Jepun. Roox adalah sebuah kei-wagon (mini wagon) dan mempunyai sejarah menarik.

Roox generasi pertama dilancarkan pada Disember 2009 dan ia sebenarnya adalah model yang diambil dari Suzuki Palette.

Pada 2013, pengeluaran Roox dihentikan dan diganti dengan model baharu Dayz Roox dan kali ini Nissan mengambil model Mitsubishi eK Wagon.

Seperti yang kami laporkan pada Februari, Mitsubishi melancarkan generasi baharu eK space dan eK X (dibaca cross) space di Jepun.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Nissan Roox

 

Setelah beberapa tahun menggunakan nama Dayz Roox, kei-wagon itu kembali ke nama asal Roox dan Nissan tidak berselindung untuk memaklumkan ianya adalah projek kerjasama dengan Mitsubishi.

Kerjasama tersebut adalah kesinambungan hubungan kedua-dua syarikat dalam pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi.

Sebelum itu pada Mac 2019, Mitsubishi dan Nissan telah melancarkan model kereta mini mereka iaitu eK dan Dayz.

Pasaran kereta mini yang besar di Jepun membolehkan pengeluar menawarkan pelbagai model walaupun sedikit perbezaan dari segi ukuran.

Dayz Roox dan Roox adalah model penting buat Nissan apabila jualan sejak generasi pertama iaitu 2009 sehingga kini dianggarkan mencecah 612,000 unit.

 

Nissan Roox

 

Berikut ialah ciri-ciri Nissan Roox baharu:

  • Dua model dengan reka bentuk berbeza iaitu Roox dan Roox Highway Star
  • Dua jenis enjin iaitu aspirasi normal 660cc (BR06-SM21) dan 660cc turbo dengan transmisi CVT Extronic
  • Dua jenis pacuan iaitu 2WD dan 4WD
  • Saiz dalaman selesa dengan ruang lutut penumpang belakang 795mm dan ketinggian bumbung belakang 1,400 membolehkan kanak-kanak kecil menukar baju sambil berdiri
  • Pintu belakang jenis gelungsur dan boleh dibuka dan tutup secara automatik dengan meletakkan kaki di bawah badan kereta
  • Kerusi belakang boleh ditolak sehingga 320mm
  • Kerusi Zero Gravity yang mengurangkan keletihan dalam pemanduan jarak jauh
  • Varian terpilih dilengkapi sistem bantuan pemanduan ProPilot

 

Nissan Roox

 

Berkenaan harga, varian asas iaitu Roox S dijual pada JPY1,415,700 (RM56,082) manakala varian paling premium iaitu Roox Highway Star G Turbo Pro Pilot Edition pada JPY2,066,900 (RM81,879).

Kepada yang berkenan dengan kereta sebegini, selepas Perodua Kenari tiada lagi model yang dijual kecuali Honda N-BOX yang dibawa masuk oleh pengimport bebas.

Harga yang dipasarkan adalah sekitar RM120,000 - RM130,000.

Penulis: Muhammad Md Tajudin'

Kredit foto: Nissan

Berita Berkenaan

Berita Global
  Seperti biasa, keicar sebegini menggunakan enjin 660 cc aspirasi natural dan turbo dengan yang…